Mufti Perak tak setuju tindakan halau Zakir Naik

Mufti Perak tak setuju tindakan halau Zakir Naik
FOTO: NSTP/ABDULLAH YUSOF

 

IPOH – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria tidak bersetuju dengan tindakan menghalau Dr Zakir Naik keluar dari negara ini.

Ini kerana beliau melihat isu berkenaan sebagai sentimen kurang senang dan salah persepsi daripada golongan tertentu yang tidak menyenangi kehadiran pendakwah Islam.

“Tidak wajar kita bersama menyahut seruan menghalau beliau pulang semata-semata meraikan dan mengikut rentak kebencian pihak-pihak tertentu.

“Beliau ialah tetamu dan saudara seagama kita yang perlu diraikan berasaskan nilai ukhuwah dan kemanusiaan. Sekiranya terdapat kekhilafan, maka langkah pembetulan perlu diambil yang tidak sampai ke tahap pengusiran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Harussani berkata, sekiranya status penduduk tetap (PR) beliau dituntut untuk disemak atas salah persepsi daripada ucapan dikatakan menyemai kebencian kaum dan agama, bagaimana pula dengan kenyataan beberapa pemimpin yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat perkauman.

“Saya menghargai sumbangan dan kepakaran Dr Zakir di pentas dakwah Islamiah.”

“Sudah pasti penerimaan beliau sebagai penduduk tetap di negara ini telah dinilai kerajaan dengan kriteria rasional dan munasabah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin bagi memastikan perbuatan sama tidak diulangi pihak lain.

Katanya, penghinaan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan perbuatan paling tidak beradab oleh seorang warga yang mendapat nikmat kekayaan daripada jerih payah pihak-pihak yang diperlekehkan.

“Saya menyokong ucapan tegas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bahawa sesiapa sahaja tidak kira daripada mana-mana kaum yang menghina ATM, dia adalah musuh negara. Saya sarankan agar tindakan tegas dikenakan kepada individu itu atas prinsip ketegasan dalam menegakkan undang-undang,” katanya.

Harussani turut menegur kerajaan supaya bertegas dan bertanggungjawab menyelesaikan isu mengikut keutamaan dan sejajar dengan kepentingan majoriti tanpa mengenepikan hak-hak minoriti.

https://www.sinarharian.com.my/article/43923/BERITA/Nasional/Mufti-Perak-tak-setuju-tindakan-halau-Zakir-Naik
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.