Kegagalan rangkaian punca gangguan sistem KLIA – MAHB

“Hampir kesemua sistem kritikal di Terminal Utama KLIA kini sudah beroperasi seperti sedia kala, tetapi kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga kerana masih terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan sepenuhnya."

Kegagalan rangkaian punca gangguan sistem KLIA – MAHB
KEADAAN hari kedua berikutan gangguan menjejaskan beberapa sistem seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

 

PUTRAJAYA – Masalah gangguan sistem dialami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Rabu lalu disebabkan kegagalan rangkaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata, sebagai langkah penyelesaian, MAHB sudah menggantikan perkakasan rangkaian berkenaan yang ketika ini sedang diuji dan dipantau kestabilannya.

“Sejak penggantian perkakasan rangkaian berkenaan, MAHB melihat perkembangan positif dalam kestabilan rangkaian berkenaan.

“Hampir kesemua sistem kritikal di Terminal Utama KLIA kini sudah beroperasi seperti sedia kala, tetapi kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga kerana masih terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan sepenuhnya.

“Terminal Utama KLIA masih berhadapan beberapa kelewatan, tetapi keadaan itu semakin baik hasil pendekatan yang sudah diambil,” kata beliau dalam kenyataan yang dilaporkan oleh Berita Harian.

KETUA Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin

Raja Azmi berkata, penghargaan harus diberikan kepada keseluruhan petugas lapangan terbang atas kebersamaan dalam menghadapi cabaran ini.

“Kita tidak pernah melihat kerjasama yang cukup baik antara syarikat penerbangan yang saling bantu membantu supaya operasi penerbangan terus berjalan.

“Pada masa sama sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), secara umumnya tidak terjejas buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata, ketika tumpuan MAHB adalah untuk memastikan sistem kembali berjalan lancar, bantuan kepada syarikat penerbangan dan penumpang juga tidak diketepikan.

“Ada penerbangan yang tertunda dan juga dibatalkan, tetapi kami menguruskan perkara ini dengan memanfaatkan kesemua 38 ruang pesawat (bay), selain menyediakan bas tambahan dan perkhidmatan pengurusan di lapangan untuk memudahkan pergerakan penumpang ke pesawat yang diletakkan jauh dari terminal utama,” katanya.

Raja Azmi berkata, dalam pada itu lapangan terbang lain di seluruh negara juga akan terus melanjutkan waktu operasi mereka sekiranya terdapat penerbangan berlepas dari Kuala Lumpur.

“Kami sudah menyediakan sebanyak 1,000 kakitangan tambahan untuk membantu penumpang serta perjalanan bagasi.

“Selain itu kami juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi memastikan bagasi penumpang dihantar kepada pemilik yang sah. Tenaga tambahan akan terus diperlukan sehingga keadaan kembali normal,” katanya.

Tambahnya, beliau sangat menghargai kesabaran orang ramai terhadap isu yang dialami di KLIA dan amat menyesal atas kesulitan yang berlaku.

“Walaupun keadaan semakin baik, untuk beberapa hari akan datang kami akan menggesa penumpang untuk tiba di terminal sekurang-kurangnya empat jam sebelum berlepas.

“Penumpang juga digalakkan untuk terus menggunakan aplikasi mudah alih atau laman web penerbangan masing-masing untuk tujuan mendaftar masuk bagi mengelakkan mereka beratur panjang di lapangan terbang,” katanya.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.