Piala Raja Thailand kekal berprestij, Piala PSM berkubur tanpa nisan

Mana perginya kejohanan antarabangsa anjuran Malaysia atau lebih tepat, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sedangkan inilah negara pengasas sepak takraw antarabangsa yang dikira mulai Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965?

Piala Raja Thailand kekal berprestij, Piala PSM berkubur tanpa nisan
KALI terakhir skuad negara (jersi hitam) berentap dan kalah 2-0 dengan Thailand ialah pada final Kejohanan Asia di Kunming, China, bulan lalu.
Oleh KAKI BANGKU

 

KEJOHANAN Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand (PRT) memasuki edisi ke-34 apabila tirai persaingannya dibuka esok di pusat beli-belah Fashion Island, Bangkok hingga awal bulan depan.

PRT ialah satu-satunya kejohanan sepak takraw antarabangsa yang masih bertahan sejak diperkenalkan pada 1984 oleh Persatuan Takraw Thailand (TAT) sekali gus muncul yang tertua dan kekal berprestij walaupun diadakan setiap tahun.

Sebelum itu, Persatuan Sukan Thailand (TSA) mewujudkan Piala TSA pada 1980 namun terhenti beberapa tahun kemudian.

Malaysia muncul juara edisi sulungnya di Nakhonsawan selepas mengalahkan Thailand B 3-0, Thailand A 2-1 dan 3-0, Singapura 2-1 dan Brunei 3-0.

Mendapat keizinan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej untuk mengambil sempena namanya, PRT hanyalah untuk juara acara berpasukan (tiga regu) lelaki tetapi TAT secara beransur-ansur menambah antara regu, beregu, kuadran dan gelung termasuk kategori wanita sebagai acara sampingan.

Mana perginya kejohanan antarabangsa anjuran Malaysia atau lebih tepat, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sedangkan inilah negara pengasas sepak takraw antarabangsa yang dikira mulai Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965?

Satu ketika adalah juga macam Kejohanan Dunia Piala Malaysia pada 2004, 2006 dan 2009 anjuran PSM pimpinan Datuk Seri Ahmad Ismail di Pulau Pinang dan Kuala Terengganu dan sebelum itu, Kejohanan Dunia Piala Perdana 2000 di Kuantan yang ketika itu persatuan dipimpin (Allahyarham) Datuk Saidin Thamby.

PIALA Raja Thailand diperkenalkan TAT pada 1984 dan mendapat izin Istaf untuk menambah nama Kejohanan Dunia.

Namun lama kelamaan semua kejohanan PSM ini sudah berkubur tanpa nisan dan hanya tersimpan dalam lipatan sejarah. Alasan utamanya selalu dikaitkan dengan kewangan. Namun ada juga cara pengurusan dan kepemimpinan PSM yang menjadi faktor kelenyapannya.

Samalah dengan Kejohanan Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM. Sudah elok-elok gandingan swasta dan agensi kerajaan menghulurkan ‘servisnya’ dan disambut hangat pasukan dan peminat, maka datanglah pihak-pihak tertentu dari PSM yang iri hati dan mahu campur tangan.

Bermula pada 1985 dan dijenamakan sebagai Kejohanan Sedunia, saingannya cuma mampu bertahan sehingga 1993 dan digantikan pula oleh PSM dengan Kejohanan Dunia Perilly’s (sebuah jenama rokok) setahun kemudian.

Hadiah wang tunai yang tidak kurang lumayan ditawarkan PSM sebagai daya penarik Si Gajah Putih untuk menghantar bintang-bintang utamanya namun PRT kekal tanpa sebarang baht.

Saban tahun PRT masih mampu menggamit kehadiran negara-negara kerabat Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dari segenap benua yang sejauh Brazil dan Amerika Syarikat mahupun rantau Asia Barat seperti Iran dan Oman.

PRT juga selalu dijadikan kayu pengukur utama prestasi skuad negara dan sebahagian persediaan ke Sukan SEA mahupun Sukan Asia kerana Istaf pun hanya baru mampu mengembalikan Piala Dunia (antara regu dan beregu sahaja) dengan kerjasama India mulai dua tahun lalu.

Perang Dua Tekong Emas (Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak) dengan Presiden PSM yang berlarutan sejak Aidilfitri lalu gara-gara ponteng latihan dan pemotongan elaun latihan bulanan, mengakibatkan Malaysia hadir ke Bangkok dengan skuad yang pincang.

Dalam PRT tahun lalu bolehlah PSM memukul canang mereka dan Farhan Adam, Azlan Alias dan Norhaffizi Razak direhatkan selepas membantu Malaysia mengakhiri kemarau pingat emas Sukan Asia selama dua dekad (tanpa penyertaan Thailand) di Palembang, Indonesia.

Media sosial dan media aliran perdana merakamkan luahan rasa Panjang, Sobey dan Ahmad sepanjang perang itu. Masing-masing menegakkan pendirian dan ego. Kalau yang betul itu, betullah tetapi janganlah diperisakan sesedap rasa pula.

Di sebalik itu, Kaki Bangku teringin melihat sejauh mana skuad negara boleh menyaingi tuan rumah mahupun Indonesia dan Myanmar serta Korea Selatan dalam PRT Ke-34. Kecuali Korea, trio Asia Tenggara ini pun sedang menguji kemantapan dan keserasian skuad Sukan SEA mereka.

PSM dan ketua jurulatih, Abd. Talib Ahmad kena buktikan, anda masih boleh ‘hidup’ tanpa Panjang dan Sobey. Tahun lalu di Korat, skuad negara mudah diratah anak-anak buah Kamol Tankimhong 0-2 (12-21, 17-21 dan 12-21, 15-21) dalam perlawanan akhir.

Hanya dua kali Malaysia pernah membawa pulang PRT, 1985 dan 1988. Sehingga hari ini, skuad bimbingan Allahyarham Hassan Sulaiman dan Haris Abdul Rahman kekal sebagai pemegang rekod dan sejarah gemilang itu biarpun ada yang mempertikaikannya – “dulu main bola rotan, servis kerap berpindah tangan, bolehlah.”

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.