Shahriman kena ‘caras orang dalam’ Masca?

Shahriman kena ‘caras orang dalam’ Masca?
MEGAT D. Shahriman Zaharudin menunjukkan buku karya Zam, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan. Presiden Masca ini turut menyumbangkan RM10,000 bagi pembelian pukal akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo, semalam.
Oleh KAKI BANGKU

 

APALAH nasib Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin? Malang berganda menyapa ahli perniagaan kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini.

Sudahlah status mesyuarat agung tahunan pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang melibatkannya sebagai calon Presiden masih tergantung tidak bertali sejak Jun lalu, ini datang pula kes ‘caras atau sailang’ penyertaannya ke Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.

Sudah lebih setengah juta RM dikatakan telah dilaburkan bagi Persatuan Kanu Malaysia (Masca) yang dipimpinnya sejak November lalu, tiba-tiba ada orang dalam badan sukan itu sendiri yang tergamak membuang namanya dalam skuad lumba bot tradisonal (TBR) ke temasya serantau itu.

Daripada hampir sifar kantung kerana kanu kurang meraih pencapaian antarabangsa, Masca cuba dijenamakannya semula dengan wawasan baharu tetapi ini balasan yang diperolehnya.

Shahriman khabarnya meletakkan namanya sebagai atlet TBR negara namun hanya berperanan sebagai pemukul gendang di depan bot dan bukanlah selaku pelumba yang perlu cergas berlatih sepenuh masa dan mendapat pendedahan pertandingan.

Kaki Bangku diberitahu, namanya sebagai antara pegawai pasukan itu turut dicantas dan digantikan dengan orang lain yang mahu merebut kemasyhuran dan tumpuan memandangkan pasukan TBR 12 pendayung lelaki negara dianggap berpeluang cerah untuk menaiki podium.

Mereka yang kini mendapat bimbingan jurulatih China, Ly Changsong, pernah mara ke separuh akhir Sukan Asia Jakarta-Palembang, Indonesia, tahun lalu.

Ekoran ‘caras nama di pintu belakang’ itu, Shahriman seperti sudah tawar hati malah ‘menarik brek tangan’ terhadap penyertaan pasukan TBR ke Sukan SEA yang venuenya di Tasik Malawaan, Subic menjelang tarikh tutup penghantaran senarai nama atlet kepada penganjur, 2 September ini.

Setakat ini Masca pimpinannya, cuma merestui pemergian jurulatih, Ahmad Nasir Mohd. dan seorang pelumba kanu acara MK1 1,000 meter, Adam Aris ke Sukan SEA sementara TBR katanya dalam satu siaran media, semalam, perlu bergantung kepada sumbangan penaja.

Berikut antara inti pati siaran media berkenaan:

“Masca mengesahkan hanya akan menghantar seorang atlet pecut ke Sukan SEA Filipina 2019 dan sedang menilai sama ada ingin menghantar atau tidak TBR kerana perlu meneliti kosnya secara terperinci apatah lagi acara berpasukan itu melibatkan lebih ramai atlet.

“Kami memang berminat menyertai TBR Sukan SEA tetapi masih memerlukan penajaan untuk menghantar pasukan. Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga telah diminta memberikan kelonggaran penyerahan nama atlet itu sebelum 2 September ini.”

Sebagai rekod, kanu dan TBR tidak dipertandingkan walaupun ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Namun aksi dan kejayaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mantan Menteri Belia dan Sukan membantu skuad polo ekuestrian negara meraih pingat emas Sukan SEA Ke-29 itu diakui menjadi sumber inspirasi kepadanya untuk menyertai skuad TBR negara ke Tasik Malawaan.

Shahriman mendakwa tidak kenal KJ secara peribadi, begitu juga mantan menteri yang juga Ahli Parlimen Rembau itu dengannya. Anehnya, Khairylah yang turut mahu merebut kerusi No. 1 MPM itu sehingga AGMnya pula digantung.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

3 Responses to "Shahriman kena ‘caras orang dalam’ Masca?"

  1. Naga Asia  26/08/2019 at 4:31 pm

    Nampak penulis seorang individu yang tidak punya apa apa knowledge tentang sukan perahu naga. Orang yg memukul gendang perlu lah orang yg paling ringan diantara kesemua pendayung supaya beratnya tidak menjadi bebanan. Megat Shariman tidak layak kerana beliau mempunyai berat badan lebih dari 80kg serta tidak pernah mendayung atau memukul gendang sekalipun. Peranan pemukul gendang walaupun nampak senang tetapi ianya penting kepada pasukan. Meletak pemukul gendang yg berat akan menyebabkan bot berat di bahagian depan dan berkemungkinan tenggelam. Megat Shariman bukan seorang atlit dan tidak layan pergi ke SEA Games atas tiket itu. Cermin la diri sendiri dahulu.

    Reply
  2. Fong Sai Yuk  27/08/2019 at 10:52 am

    Naga Asia pun ibarat ketam mengajar anaknya berjalan, Hendak menegur penulis, ejaan salah memanjang. Bahasa rojak. Nama orang pun salah.
    Berikut saya ‘tiusyenkan’ dulu Naga Asia. Di bawah ini ejaan yang betul.
    Nampak penulis seorang individu yang tidak punya apa-apa pengetahuan tentang sukan perahu naga (lumba bot tradisional – menurut acara ditetapkan Sukan SEA Filipina 2019 dan Sukan Asia Indonesia 2018). Orang yang memukul gendang perlulah orang yang paling ringan di antara kesemua pendayung supaya beratnya tidak menjadi bebanan. Megat Shahriman tidak layak kerana beliau mempunyai berat badan lebih daripada 80 kilogram dan tidak pernah mendayung atau memukul gendang walau sekali pun. Peranan pemukul gendang walaupun tampak senang tetapi tetap penting kepada pasukan. Meletakkan pemukul gendang yang berat akan menyebabkan bot berat di bahagian depan dan berkemungkinan tenggelam. Megat Shahriman bukan seorang atlet dan tidak layak pergi ke Sukan SEA atas tiket itu. Cerminlah diri sendiri dahulu.

    Reply
    • Naga Asia  28/08/2019 at 1:52 pm

      Fong Sai Yuk it’s quite clear that malay is not my first language but I am trying to reach as many people as I can, who might not be well versed had I written in english. Thank you for correcting my language but the content stays the same. A drummer is the heartbeat of the team and is crucial to the success in a race. One does not merely bang on the drum wily nily but follows the strategy on when to up the stroke or signals the all out. Having a drummer who is heavy and inexperienced is akin to committing a harakiri. Besides, shouldn’t an athlete prove him/herself to be worthy and the best our country has to offer at the international stage? What have this man proven except to be a president of the association? I challenge him to a solo dragonboat paddling assessment. If he passes then he has my blessing.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.