Teater Malayu – Pawana Isabella banyak pengajaran

Teater Malayu – Pawana Isabella banyak pengajaran
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

TIDAK ada kena mengena dengan politik dan watak yang dipentaskan juga tidak menyerupai sesiapa dalam dunia ini. Itu semua adalah imaginasi pengarah Erma Fatima.

Itulah jawapan pengarah teater Malayu – Pawana Isabella, yang sedang rancak dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sejak 21 Ogos lalu dan berakhir pada 31 Ogos ini.

Jelas Erma, beliau menghasilkan teater berdurasi dua jam, 45 minit itu disebabkan anak-anak dan generasi muda yang pada pandanganya perlu mengenali diri dan mengenal siapa tuan di Tanah Melayu ini.

“Itu adalah satu perkara yang sangat penting yang mana saya buat ini adalah untuk anak-anak, waris-waris dan cucu-cicit saya dan juga untuk bangsa saya. Mereka harus mengenali diri dan tahu siapa tuan di Tanah Melayu.

“Kalau kenal sejarah mereka akan tahu tanggungjawab mereka sebagai bangsa Melayu untuk mempertahankan maruah dan ketuanan bangsa Melayu sendiri,” jelasnya tatkala ditanya kenapa mengangkat tema Melayu.
Tambahnya lagi, teater yang menampilkan Syafiq Kyle sebagai Raja Pawana dan Janna Nick (Permaisuri Isabella), bukan sekadar bercerita tentang Melayu, sebaliknya bercerita tentang semua bangsa.

Kata Erma, setiap bangsa bertanggungjawab untuk menjulang kedaulatan maruah bangsa masing-masing. Semua bangsa harus ada tanggungjawab tersebut dan bukan hanya Melayu saja dan kebetulan cerita arahannya tentang Melayu.

Beliau juga mengaku untuk menghasilkan skrip Malayu – Pawana Isabella tidak semudah skrip pementasan yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Ini adalah skrip yang paling susah untuk saya siapkan. Saya perlu banyak rujukan dan membaca buku tentang Melayu. Ada dua buku yang menjadi rujukan saya iaitu Miftahul Malayu dan Tuntutan Melayu.

“Kalau dulu saya boleh buat skrip dalam masa dua tiga hari untuk skrip pentas dan kadang-kadang satu hari pun boleh siap kalau saya duduk depan komputer dari pagi sampai malam. Ini nak habiskan dua adegan pun ambil masa dua hari. Teater ini ada 32 adegan dan ini adalah skrip yang paling susah saya buat,” akuinya terus terang.

Menerusi teater ini, Erma memperkenalkan penduduk kerajaan Malayu di bawah naungan Raja Pawana dan Permaisuri Isabella yang hidup dalam keselesaan dan kemewahan tapi tidak pernah bersyukur. Sebaliknya, bersikap tamak dan pemalas.

Secara tersirat apa yang berlaku kepada penduduk Malayu itu juga berlaku di sekeliling kita. Jelas Erma, beliau bukan sengaja mencari kesalahan bangsa sendiri tapi sekadar menegur.

“Saya bukan mengutuk tapi menegur. Kalau kita tengok sekeliling, jelas serta nyata dan kita tidak boleh sanggah kebenaran. Apabila kita tengok pelajar-pelajar universiti, pelajar-pelajar Melayu cukup makan saja untuk masuk berbanding pelajar-pelajar bangsa lain.

“Kalau bangsa lain berlumba-lumba untuk berjaya dalam pendidikan, kita juga harus bersaing. Orang Melayu kena buka mata dan inilah masanya. Tidak hanya menjadi bangsa yang perlu disuap ke mulut,” katanya.

Erma bimbang jika generasi muda masih alpa dan tidak ada semangat jati diri, kedaulatan negara yang selama ini disanjung akan menjadi milik orang lain.

Seperti pementasan teater itu, kerajaan Malayu berjaya ditawan oleh Permaisuri Tishaku lakonan Azar Azmi, dari negara Barouk. Terlalu mudah negara Barouk menakluk kerajaan Malayu hanya dengan memecah belahkan rakyat dan pembesar negara itu.

Dalam keadaan sekarang, senario itulah yang berlaku di Malaysia. Jika bangsa Melayu tidak bersatu, mungkin kita juga akan menjadi seperti rakyat pimpinan Raja Pawana.

Apapun teater yang menonjolkan penggunaan set dan kostum yang menarik itu wajar ditonton oleh masyarakat tempatan, khususnya bangsa Melayu kerana Malayu – Pawana Isabella ini penuh dengan pengajaran.

Lain-lain pelakon yang menjayakan pementasan ini ialah Datuk Afdlin Shauki, Datuk Ziela Jalil, Johan Maharaja Lawak dan Ozlynn Waty.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.