Aziz Sheikh Fadzir minta maaf kesalahan Utusan sebelum ini

Aziz Sheikh Fadzir minta maaf kesalahan Utusan sebelum ini

PENGERUSI Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu Berhad Abd Aziz Sheikh Fadzir meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kesalahan akhbar Bahasa Melayu tertua itu sebelum ini.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Aziz mempertahankan pendirian akhbar terbitan Utusan sebagai suara orang Melayu dan meminta rakyat memberi peluang kepada Utusan untuk memainkan peranan itu.

“Kita akan terus menjadi akhbar yang memperjuangkan bahasa Melayu, hak orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya berlandaskan Perlembagaan bagi menjadikan Malaysia terus menjadi negara maju.

“Kepada semua rakyat Malaysia, maafkanlah kesalahan kami dahulu, berikanlah kami peluang untuk meneruskan agenda Utusan dengan terus menyokong dan membeli akhbar ini,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di Mingguan Malaysia, hari ini.

Beliau juga meminta rakyat melihat legasi Utusan selama 80 tahun lalu, sejak bermula sebagai Utusan Melayu pada 1939, sebagai “insititusi negara yang besar jasanya kepada negara”, yang harus diberi peluang untuk terus berperanan memajukan negara bangsa.

“Maka bantulah kami dengan cara membeli surat khabar dan melanggan,” katanya.

Aziz turut meminta warga kerja Utusan untuk bersama-sama membina semula akhbar itu agar ia terus relevan kepada rakyat.

“Kepada warga Utusan, kita mesti berani menerima hakikat kita sudah gagal. Inilah peluang baru untuk kita bangkit dengan sikap baru meningkatkan kemahiran selari dengan keperluan dan perkembangan semasa.

“Rasailah denyut nadi rakyat bagi menjadikan kita terus relevan sampai bila-bila,” katanya.

Utusan berdepan krisis kewangan terburuk dalam sejarah 80 tahun penubuhannya, terbelit hutang dengan bank serta terhutang pula gaji kepada pekerja dan pampasan pemberhentian kepada bekas pekerjanya.

Dagangan saham syarikat itu akan digantung pada 28 Ogos ini sebelum dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 30 Ogos.

Pada Februari lepas, Umno melepaskan 31.6% pegangannya dalam Utusan kepada kepada Opulence Asia Sdn Bhd, syarikat milik penuh Aziz.

Langkah itu menjadikan bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (2013-2018) itu sebagai pemegang saham terbesar Utusan.

Pada Julai pula, tokoh perniagaan Syed Mokhtar Albukhary meningkatkan pegangan ekuitinya kepada 19.72% menjadikan beliau pemegang saham kedua terbesar melalui Nilam Setar Sdn Bhd, diikuti Umno yang masih memegang 18.1%.

Mengenai masa depan Utusan, Aziz berkata beliau sedia menjual saham miliknya dalam syarikat itu sekiranya langkah itu boleh membawa pelabur baru yang akan menyelamatkan Utusan.

Malah, katanya, Umno pun sanggup mengambil langkah yang sama.

“Dari segi untuk membawa pelabur baharu, saya tiada masalah untuk jual saham saya dan Umno pun tiada masalah jual saham.

“Kita sudah jumpa dengan banyak pihak. Ada yang berminat tetapi perlu lakukan langkah yang libatkan pengurangan pekerja yang ekstrem.

“Walaupun orang melihat Utusan ini keramat, usia yang berusia 80 tahun ini mesti diselamatkan. Bagaimanapun kerugian besar Utusan menyebabkan ramai pelabur kurang yakin syarikat ini mampu berdaya maju dan mempunyai model perniagaan yang mapan,” katanya.

Aziz dalam pada itu mengakui krisis yang sedang dihadapi oleh Utusan tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat.

“Kita akan berhadapan dalam keadaan begini agak lama, tidak boleh selesai esok atau bulan hadapan,” katanya.

http://bit.do/e5vRK
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.