PSS tak mampu tiru nostalgia Piala Malaysia

PSS tak mampu tiru nostalgia Piala Malaysia
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) bersama Raja Muda Selangor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah (kanan) menyaksikan Ketua Pasukan Selangor Pilihan, Mohd Amri Yahya (kanan) menjulang Piala Kejuaraan selepas menewaskan pasukan Singapura Pilihan pada Perlawanan Piala Sultan Selangor 2019 dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam, hari ini. –fotoBERNAMA 

 

Oleh KAKI BANGKU

 

JIKA penganjur Piala Sultan Selangor (PSS) 2019 berhasrat mengembalikan nostalgia perseteruan Selangor-Singapura seperti Piala Malaysia era 70-an hingga awal 80-an, jelas sekali aksi di Stadium Shah Alam sudah meleset dan tidak kesampaian pada mata Kaki Bangku.

Pilihan Selangor menundukkan Pilihan Singapura 1-0 untuk mempertahankan trofi saingan yang diperkenalkan pada tahun 2001 ini dengan jaringan Ifedayo Olusegun walaupun mampu melebarkan angka gol itu jika penyudahan rakan sepasukannya lebih tajam dan jitu.

Siapa penjaring tunggal ini? Oooh warga Nigeria. Siapa pula Sandro Da Silva, Endrick dos Santos, Michal Nguyen dan Nicholas Swirad? Brazil + Vietnam + England = Selangor? Semuanya import pasukan Liga M Selangor dan PKNS FC.

Lihat pula Pilihan Singapura. Kaishu Yamazaki, Jonathan Behe, Kyoga Nakamura. Dua daripadanya berasal dari Jepun dan seorang lagi kelahiran Perancis malah termasuk William Mahler yang hanyalah ‘Singapurawan celup’ dan mencari nafkah dalam Liga Singapura yang penontonnya boleh dibilang dengan jari sahaja.

Jadi sesuaikah kehadiran gerombolan ‘pemburu upahan’ ini untuk menghidupkan nostalgia Piala Malaysia? Sepatutnya PSS hanya terbuka kepada kalangan pemain warganegara sejati Malaysia dan Singapura.

Kaki Bangku benar-benar teringin melihat anak-anak jati Malaysia dan Singapura yang mewarnai aksi dan berjuang demi Piala Sultan Selangor seperti Mokhtar Dahari, Reduan Abdullah, R. Arumugam, Soh Chn Aun, Santokh Singh, Samad Allapitchay, K. Kannan, Fandi Ahmad dan Salim Moin paparkan pada era silam itu.

PERTEMBUNGAN Pilihan Selangor (jersi kuning merah) dan Pilihan Singapura dalam edisi ke-17 PSS 2019 di Stadium Shah Alam, semalam.

Tentu peminat-peminat setia bola sepak tanah air sejak era tersebut masih terkenangkan bagaimana dominannya Selangor dan Singapura saling bersaing dan menjulang Piala Malaysia masing-masing sebanyak 33 dan 24 kali sejak diperkenalkan pada tahun 1921 dengan nama Piala Malaya.

Kemuncak kehebatan perseteruan mereka ialah pada tahun 1975, 1976, 1978, 1979, 1980 hingga 1981 dengan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sebagai medan tempurnya. Selangor mengusai lima daripada enam pertemuan final ini dengan yang gemilangnya ialah berkenduri besar, 4-0 pada tahun1981.

Sampai satu tahap itu, ramai yang hairan mengapa skuad kebangsaan Malaysia pun sukar menjinakkan Si Singa Selatan ini setiap kali bertemu dalam Sukan SEA, Pestabola Merdeka, Piala Merlion, Kelayakan Olimpik-Piala Asia dan Dunia serta persahabatan mahupun Piala Ovaltine.

Terubatlah sedikit kerinduan itu apabila menonton pertembungan Veteran Selangor dengan Veteran Singapura sejam sebelumnya walaupun ramai legendanya sudah terlalu dimamah usia, kudrat terbatas dan sekadar berlari-lari anak mengejar bola malah rembatan ke gol dari jarak dekat pun tersasar liar.

Mungkin edisi PSS akan datang, elok dihadkan pertembungan veteran ini kepada mereka yang pernah bermain pada era 1990-an sahaja. Rancaklah sedikit rentak permainannya lagipun kena juga fikirkan soal kesihatan walaupun tempoh perlawanannya tidaklah sampai 90 minit yang biasa.
Jangan pula dilupakan yang ‘otai-otai’ 70-an dan 80-an ini. Khidmat mereka masih boleh penganjur gunakan dalam klinik-klinik kejurulatihan untuk bakat-bakat akar umbi bola sepak sempena PSS.

Menampilkan perlawanan Bawah 15 Tahun kedua-dua musuh lama itu berhak dipuji kerana melambangkan inisiatif dan wawasan penganjur terhadap masa depan bola sepak kedua-dua negara berjiran yang dipisahkan Selat Tebrau tetapi dijalin Tambak Johor ini.

Bolehlah Kaki Bangku beri sedikit markah kepujian dalam menilai soal konsep 3 perlawanan dalam 1 yang cuba digarapkan penganjur PSS. Masa depan + Masa silam + Masa kini = B+.

Begitu juga kemampuan menarik kehadiran puluhan ribu hadirin ke Stadium Shah Alam dengan ‘mengumpan’ hadiah lumayan sebuah kereta Honda City dan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson kerana bertunjangkan sokongan padu penaja korporat.

Barangkali kedua-dua aspek inilah yang perlu ‘disekolahkan’ kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) apabila melihat sambutan dingin lagi hambar penyokong Gergasi Merah dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.