Putrajaya abai perbezaan tahap miskin, kata pakar

Putrajaya abai perbezaan tahap miskin, kata pakar

TUMPUAN Putrajaya membantu kumpulan B40 dikaburi dengan perbezaan kritikal antara golongan berpendapatan rendah dan tahap kemiskinan yang dirasai oleh golongan ini termasuk untuk mendapatkan bekalan air bersih, pekerjaan dan perkhidmatan awam.

Terma B40 yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional, melibatkan mereka yang hidup dalam “kemiskinan relatif” dan keluarga “miskin mutlak”.

Namun, perbezaan antara dua golongan itu dan skop masalah mereka tidak berbangkit kerana Malaysia menetapkan tahap kemiskinan yang rendah secara tidak telus, kata pakar sosiologi Prof Denison Jayasooria.

Dengan mengabaikan perbezaan antara miskin relatif dan miskin mutlak, kerajaan tidak mampu menghasilkan dasar yang berkesan bagi setiap kumpulan itu, kata Denison dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Denison menyokong laporan seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang mendapati sejumlah besar isi rumah – rakyat Malaysia dan warga asing –  hidup dalam keadaan dianggap miskin mengikut piawaian kebanyakan negara di dunia.

Namun apabila PBB meminta penjelasan pegawai kerajaan berhubung isu itu, kebanyakan mereka membalas “hampir tiada orang miskin di Malaysia”.

Menurut Denison, ini disebabkan hampir semua orang miskin dikategorikan di bawah B40 yang merujuk kepada golongan berpendapatan rendah.

Sebagai contoh katanya, ada penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak, dan mereka mungkin menjana pendapatan lebih berbanding garis pendapatan kemiskinan ditetapkan.

“Namun rumah mereka tidak mempunyai bekalan air bersih, terletak jauh dari sekolah dan kemudahan kesihatan, serta kekurangan pekerjaan,” kata Denison kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi mereka diletakkan dalam kumpulan B40 yang termasuk golongan yang mempunyai rumah, kerja, akses ke sekolah dan klinik.”

Satu lagi contoh adalah penduduk tanpa kerakyatan yang bekerja dalam sektor tidak rasmi, kata Denison.

Memandangkan tidak mempunyai MyKad, mereka tidak mendapat akses kesihatan sepatutnya dan anak-anak tidak boleh ke sekolah kerajaan.

“Apabila kita tanya pegawai kerajaan berapa ramai penduduk tanpa kerakyatan, mereka tidak tahu kerana golongan itu tidak datang dan mendaftar.

“Sepatutnya kerajaan mencari mereka.”

http://bit.do/e5vT5
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.