Selesaikan pelbagai isu berbangkit ikut keutamaan – Harussani

Selesaikan pelbagai isu berbangkit ikut keutamaan – Harussani

IPOH — Kerajaan harus menangani pelbagai isu yang berbangkit ketika ini mengikut keutamaan dan sejajar dengan kepentingan majoriti tanpa mengenepikan hak-hak minoriti, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Katanya, ia kerana masyarakat masih lagi berbicara mengenai isu semasa seperti tulisan Jawi, penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Dr Zakir Naik yang masih tidak menampakkan penyelesaian yang tuntas dan melegakan pihak yang bertelagah.

Beliau berkata, apa pun yang dibicarakan pada asasnya menzahirkan betapa masyarakat sebenarnya peka dan sensitif dengan suasana persekitaran terutama apabila ia menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan tanah air.

“Saya mengambil berat dan meneliti isu-isu yang berlaku, namun menurut pangamatan saya kesemua isu hendaklah ditangani mengikut senarai keutamaan dan kepentingan terhadap rakyat negara ini.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kesemua isu ini perlu dianggap penting dan diselesaikan mengikut keutamaan dan sejajar dengan kepentingan majoriti tanpa mengenepikan hak-hak minoriti,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Harussani berkata, penzahiran terhadap beberapa isu yang tular oleh netizen itu menyebabkan masyarakat kurang mempedulikan isu tertunggak yang masih belum diselesaikan seperti isu pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, isu Rang Undang-Undang Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor, isu dakwaan jenayah terhadap pembantu rumah dan isu lain yang berbangkit.

Justeru, beliau melihat isu Dr Zakir Naik adalah sentuhan sentimen kurang senang dan salah persepsi daripada golongan tertentu yang tidak menyenangi kehadiran beliau yang terdiri daripada golongan ekstremis termasuk Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF).

“Saya menghargai sumbangan dan kepakaran Dr Zakir Naik dalam pentas dakwah Islamiah. Penerimaan beliau sebagai penduduk tetap sudah pasti telah dinilai oleh kerajaan dengan kriteria yang rasional dan munasabah.

“Adalah tidak wajar kita bersama-sama menyahut seruan menghalau beliau pulang semata-semata meraikan dan mengikut rentak kebencian pihak-pihak tertentu,” katanya.

Katanya, Zakir adalah tetamu dan saudara seagama yang perlu diraikan berasaskan nilai ukhwah dan nilai kemanusiaan yang sekiranya terdapat kekhilafan maka langkah pembetulan perlu diambil yang tidak sampai ke tahap pengusiran.

Harussani juga berkata, isu penghinaan terhadap ATM adalah perbuatan yang paling tidak beradab dilakukan oleh warga yang mendapat nikmat keamanan dan kekayaan daripada jerih payah pihak yang diperlekehkan.

“Saya menyokong ucapan tegas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menyebut `sesiapa sahaja tidak kira daripada mana-mana kaum yang menghina ATM, dia adalah musuh negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar tindakan tegas diambil terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin sebagai menunjukkan ketegasan dalam menegakkan undang-undang atas prinsip `the rule of law’ agar perbuatan itu tidak diulangi oleh sesiapa pun.

Harussani turut berpandangan bahawa isu pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah tahun empat di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan mulai tahun depan sebagai isu yang sepatutnya tidak perlu dipanjangkan.

Katanya, ia kerana pihak kerajaan sewajarnya bertegas tanpa tunduk kepada pihak-pihak tertentu termasuk terhadap Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang mempunyai sejarah panjang sebagai pembantah dasar-dasar kerajaan sebelum ini.

“Saya yakin bahawa kehendak asal pelaksanaan ini sudah mengambil kira objektif dan keperluan yang bersifat holistik untuk kebaikan negara bangsa.

“Maka, saya mengharapkan ketegasan dan kebertanggungjawaban pihak kerajaan dalam menangani sesuatu perkara yang menimbulkan keresahan dan penerapan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang sering diuar-uarkan perlulah dilaksanakan secara menyeluruh.

“Sampai bila kita harus tunduk kepada tekanan pihak-pihak minoriti dalam memelihara kepentingan umum yang lebih utama dan kritikal?,” katanya.

KENYATAAN RASMI BIL.11 2019 - MEMBINA KEBERTANGGUNGJAWABAN BERSAMA TERHADAP PERMASALAHAN UMMAH
-NSTP
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.