Tekun rosak kerana rasuah zaman BN, kata menteri

Umno pernah membuat kenyataan secara terbuka bahawa skim pinjaman itu untuk ahli parti.

Tekun rosak kerana rasuah zaman BN, kata menteri

MENTERI Pembangunan Usahawan Redzuan Md Yusof memberi jaminan tidak ada lagi unsur politik dalam pengurusan dan pemberian pinjaman kepada usahawan Bumiputera melalui TekunNasional.

Beliau berkata ia dapat dibuktikan melalui keputusannya melantik pengurusan baharu Tekun yang tidak terdiri dalam kalangan ahli parti politik.

“Kalau tengok struktur (pengurusan) Tekun sekarang saya tak lantik orang parti. Saya nak lari imej kepartian dalam Tekun. Kini ia perlu lebih holisitik, apa hala tuju, hasilnya yang kita nak tengok.

“Kalau kita (letak) politik dalam perniagaan maka kita tidak ada kemajuan,” katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan The Malaysian Insight.

Tekun Nasional atau Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga itu ditubuhkan pada November 1998 untuk menyediakan pembiayaan kepada Bumiputera memula dan memajukan perniagaan.

Bagaimanapun skim itu didakwa menjadi alat politik kerajaan terdahulu kerana peminjam disyaratkan mendapat pengesahan pemimpin Umno akar umbi sebelum permohonan lulus.

Bahkan, Umno pernah membuat kenyataan secara terbuka bahawa skim pinjaman itu untuk ahli parti.

Pada 2010, bekas  ketua pengarah eksekutif Tekun Abdul Rahim Hassan juga berkata Tekun merupakan hasil usaha Umno bagi memperkasakan ekonomi kaum Melayu parti itu.

Tekun bukan Along

Mengulas lanjut mengenai tuduhan salah laku dalam Tekun, Redzuan berkata beliau mengakui banyak amalan rasuah berlaku semasa operasi pengurusan lama.

Dedahnya, antara ketirisan yang berlaku adalah apabila peminjam tidak mendapat jumlah penuh yang dipohon.

“Dulu adalah pihak yang jadi pemudahcara kalau nak dapatkan geran orang yang pinjam RM10,000  hanya dapat RM7,000 hingga RM8,000. Tapi untuk bayaran balik (peminjam) kena bayar RM10,000 juga.

“Orang-orang ini yang kita panggil rent seekers (mengambil untung atas angin) menyebabkan adanya rasuah.

“Dan kesan kepada peminjam sebab mereka terbeban modal yang mereka patut dapat dipotong. Sebab itu ada kesukaran bayar balik,” katanya lagi.

Tambahnya selain ketirisan, Tekun juga berdepan masalah daripada peniaga yang hanya mahu mendapatkan modal tapi enggan menjalankan perniagaan dengan serius.

Redzuan berkata wujud peminjam yang hanya mahu mengambil duit tapi enggan untuk menjadi usahawan.

“Masalah dulu orang cari geran ini sebab nak duit tapi tak buat perniagaan. Dari data kita ada peminjam Tekun ini gunakan untuk beli motosikal, basikal

“Jadi sekarang kita buat pendekatan kita mahu ingatkan yang Tekun bukan Along beri bantuan pinjaman tapi kita beri bantuan pinjaman untuk bantu usahawan,” katanya.

Kata Redzuan, sejak kementeriannya mengambil alih Tekun, prestasi agensi itu bertambah baik.

Katanya berlaku peningkatan kutipan sebanyak RM200 juta bagi tahun ini membolehkan kementeriannya merencana pelbagai program pembangunan usahawan.

Sejak ditubuhkan sebanyak 417,000 peminjam mendapat manfaat daripada Tekun.

Berdasarkan data Tekun, sebanyak RM2.07 bilion berjaya dibayar balik oleh peminjam dari tempoh 2014 sehingga 2018.

http://bit.do/e5vTm
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.