Deaf Tigers buru tiket Deaflympic 2021

0
45
ONG Shin Ruenn (dua dari kiri) menunjukkan maklumat gegantung mengenai cara menyalurkan sumbangan penajaan bagi kontinjen negara ke Sukan Orang Pekak Asia Pasifik di Hong Kong, November ini.
Oleh KAKI BANGKU

 

SESUDAH menempah tiket ke Kejohanan Dunia Orang Pekak di Seoul, Korea Selatan tahun depan, skuad bola sepak orang pekak negara atau ‘Deaf Tigers’ kini mengidam satu lagi catatan sejarah berganda dengan layak ke Sukan Deaflympic 2021 pula.

Mei, tahun lalu mereka menamatkan penantian 23 tahun dengan meraih tempat keenam Kejohanan Asia Pasifik Keempat di Changwon, Korea Selatan dan kali ini mereka perlu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) di Hong Kong, penghujung Oktober ini untuk menjamin tiket Deaflympic.

Laluannya pasti lebih getir bukan sahaja di padang bahkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) kini berdepan kekangan kewangan untuk menghantar secara maksimumnya 24 pemain ke Hong Kong.

“Bola sepak pekak masih dimainkan dengan 11 pemain namun perlu sentiasa melihat bendera isyarat pengadil kerana tidak boleh mendengar tiupan wisel seperti pemain normal.

“Mungkin jika sumber kewangan dan penajaan terus berkurangan, terpaksalah MSDeaf kurangkan pemainnya kepada 18 orang sahaja. Masalah kecederaan pemain-pemain utama mungkin timbul dan menjejaskan pasukan namun itulah cara terbaik menanganinya,” kata Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn.

Beliau ditemui pada sidang akhbar di pejabat persatuan di Kuala Lumpur hari ini bagi menyeru sumbangan sektor korporat dan orang ramai sebanyak RM1 juta bagi membiayai pemergian kontinjen negara ke APDG 2019 dengan sukan lain yang disertai Malaysia ialah badminton, boling dan olahraga.

APDG di Taiwan, empat tahun lalu menyaksikan kontinjen negara meraih sebutir pingat perak dan dua gangsa menerusi Boon Wei Ying (perseorangan wanita badminton) dan beregu campuran serta rangkaian 4×400 meter lelaki.

Dijangkakan 24 pemain Deaf Tigers itu sudah mewakili 33 peratus daripada anggaran 73 atlet keempat-empat jenis sukan berkenaan selain 27 pegawai termasuk jurulatih, pengurus pasukan, ahli fisioterapi dan pegawai perubatan serta tukang masak.

Deaf Tigers kata Shin Ruen kini dilatih seorang jurulatih dari Thailand sejak tiga tahun lalu yang juga merupakan bekas pemain pekak kebangsaan negaranya malah mempunyai Lesen Kejurulatihan B.

“Dia senang berkomunikasi dengan pasukan kami menerusi bahasa isyarat. Kalau ambil jurulatih orang normal, mungkin tidak semudah tugasnya. Pasukan kami sudah berlatih sejak Januari lalu.

“Walaupun sukar dibayar elaun latihan dan pertandingan, para pemain Deaf Tigers mengerti kedudukan kewangan persatuan sekarang yang kurang mengizinkan,” katanya menerusi jurubahasa isyarat, Mohamad Nazrul Azwa Zulkipply.

Katanya, MSDeaf amat mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak yang boleh disalurkan kepada akaun CIMB Bank bernombor 8000852319 milik persatuan itu yang mempunyai 14 negeri ahli gabungan.

“Mereka juga boleh menghubungi Nazrul yang juga Pegawai Komunikasi Komuniti MSDeaf, 017-8800215 atau di alamat pejabat MSDeaf, 9-2, Jalan Dwitasik 2, Dataran Dwitasik, 56000 Kuala Lumpur,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here