Kakitangan USAS meninggal dunia ketika mendaki Gunung Yong Belar

"Hari ini kita dikejutkan dengan berita sedih bahawa salah seorang staf USAS yang menyertai program mendaki sempena Hari Merdeka meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas ketika mendaki di Gunung Yong Belar."

Kakitangan USAS meninggal dunia ketika mendaki Gunung Yong Belar

IPOH — Seorang kakitangan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, meninggal dunia ketika mendaki Gunung Yong Belar berhampiran Lojing, Gua Musang petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali, berkata mangsa yang berusia 52 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mendaki gunung berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang.

“Seramai 16 anggota dari BBP Cameron Highlands dibantu anggota dari BBP Gua Musang kemudian dikejarkan ke lokasi bagi membantu menurunkan mangsa dan sehingga kini operasi menurunkan mangsa masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, laman Facebook Wolf Hikers dalam hantaran terkini turut memaklumkan kejadian berkenaan dan memaklumkan mangsa pernah bekerjasama dengan Wolf Hikers yang sering terbabit dalam aktiviti mendaki gunung dan kemanusiaan.

“Hari ini kita dikejutkan dengan berita sedih bahawa salah seorang staf USAS yang menyertai program mendaki sempena Hari Merdeka meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas ketika mendaki di Gunung Yong Belar.

Gunung Yong Belar.

“Difahamkan mangsa ialah Encik Rosli bin Kamaruddin, 52 tahun yang merupakan kakitangan di USAS. Untuk pengetahuan semua, Allahyarham pernah berkerjasama dengan team Wolf Hikers menganjurkan program Humanitarian Walk 2019.

“Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham dan semoga segala urusan dipermudahkan. Salam takziah dari kami buat keluarga, dan USAS,” kata hantaran itu yang dipetik di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam USAS, Khalifa Mastura Abdul Aziz, ketika dihubungi memberitahu, ekspedisi berkenaan turut dihadiri Naib Canselor USAS, Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Katanya, pihaknya dimaklumkan, ketika ini proses membawa turun jenazah sedang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihaknya turut dimaklumkan kesukaran untuk berhubung dengan anggota ekspedisi berikutan masalah liputan.

“Setakat ni setahu kami, jenazah sedang dalam proses untuk dibawa turun menggunakan helikopter dan sebaik ia dibawa turun jenazah akan dihantar ke Hospital Gua Musang,” katanya.

-NSTP
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.