MP DAP tak setuju jika Umno diharamkan

“PH patut berjiwa besar, memberi Umno masa yang cukup untuk memperbetul salah lakunya. Pada masa sama, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) perlu lebih bijak berurusan dengan Umno dengan memberi panduan bagaimana parti itu boleh membaiki kelemahannya.”

MP DAP tak setuju jika Umno diharamkan

ANGGOTA Parlimen Kepong Lim Lip Eng berpendapat Umno tidak wajar diharamkan hanya kerana kesalahan dilakukan oleh pemimpin-pemimpinnya.

Sebaliknya, kata Lim, kerajaan harus membiarkan pihak berkuasa menyiasat dari mana sumber dana yang masih dinikmati pemimpin-pemimpin Umno.

“Pendaftaran Umno sebagai parti tertua orang Melayu tak wajar dibatalkan berdasarkan kesalahan sebahagian pemimpinnya. Adalah penting kerajaan PH membenarkan Umno terus beroperasi atas nama demokrasi, tetapi politik kotornya perlu dibanteras.

“PH patut berjiwa besar, memberi Umno masa yang cukup untuk memperbetul salah lakunya. Pada masa sama, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) perlu lebih bijak berurusan dengan Umno dengan memberi panduan bagaimana parti itu boleh membaiki kelemahannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam yang mempersoalkan kenapa Umno masih dibenarkan beroperasi sehingga “menjadi kaya semula”, sedangkan parti itu berdepan banyak tuduhan salah laku.

Mahathir merujuk laporan oleh The Edge Markets yang menyatakan yang Umno sedang berdepan masalah kewangan berjaya menjana RM2 bilion daripada jualan sahamnya.

Beliau turut membandingkan Umno sekarang dengan situasi Umno bawah kepimpinannya pada era 1980-an, yang menyaksikan parti itu diharamkan kerana tidak menepati beberapa syarat ditetapkan pihak berkuasa.

“Sekarang saya nampak seolah-olah, Umno banyak buat salah tetapi masih diterima dan tidak dibatalkan pendaftaran. Kita tidak desak tetapi hanya beri pendapat,” katanya.

Mengulas lanjut Lim berkata langkah mengharamkan Umno pasti akan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk menyalahkan DAP dan NGO Cina yang lain.

“Sebahagian pemimpin Umno pasti akan menuduh DAP dan NGO Cina yang lain sebagai dalang di sebalik pembatalan pendaftarannya, kalau pun ia (sebenarnya) dilakukan mengikut proses yang profesional dan berlandaskan undang-undang oleh ROS.

“Sesetengah kumpulan pula akan menggunakan pembatalan pendaftaran Umno untuk memainkan sentimen agama dan perkauman, dan kesannya negara kita akan lebih berpecah belah,” katanya.

Tambah Lim lagi, bagi memenangi hati ahli Umno, adalah lebih penting buat PH mencipta peluang pekerjaan yang mencukupi buat rakyat bagi menjana ekonomi negara.

“Anggota Umno akan sendirinya meninggalkan parti itu apabila taraf hidup mereka lebih baik bawah pentadbiran kerajaan PH,” katanya lagi.

http://bit.do/e6xDV
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.