Pesta Morib 2019 cetus pembaharuan

0
54
Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

KUALA LANGAT – Pesta Morib 2019 bakal mencipta kelainan dengan menampilkan elemen udara, laut dan darat yang dijangka menarik minat lebih 30,000 pengunjung pada 14 hingga 16 September depan.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Kamal Mohd. Ramlan berkata, lebih daripada 15 acara menarik dirangka khusus sepanjang tiga hari pesta berlangsung, di Pantai Morib.

“Antaranya, gerai jualan pertanian dan industri kecil sederhana, pameran dan jualan hartanah Kuala Langat, supa dupa, ‘toys fair’, pertandingan gasing moden (beyblade), pameran motosikal klasik, persembahan tarian tradisional, persembahan kebudayaan serta pertandingan mewarna.

“Kami membawakan acara sukaneka rakyat yang pasti menjadi tarikan utama membabitkan penyertaan pelbagai bangsa di daerah ini seperti tarik tali, tuju tin, panjat tiang licin, pukul bantal dan layang-layang selain pertandingan permainan tradisional dam haji, congkak, kabadi serta xianggi, “katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Kamal berkata, di samping itu, turut dianjurkan Kejohanan Paragliding Terbuka Jugra 2019, pertandingan membina istana pasir, pertandingan bola sepak pantai, pertandingan ragbi 10 sebelah dan pertandingan memancing.

Katanya lagi, orang awam bakal dihiburkan dengan persembahan nyanyian pada malam sambutan Hari Malaysia 2019, manakala keesokan harinya akan diadakan Morib Fun Run dan pertandingan Wau Tegak.

“Kegemilangan pesta yang sinonim dalam kalangan pengunjung sejak lebih sedekad lalu dikembalikan selaras hasrat menjadikan daerah berkenaan sebagai Tahun Melawat Kuala Langat menjelang tahun 2021.

“Idea pelaksanaan pesta ini timbul daripada Yang Dipertua, Mohammad Zain A. Hamid memandangkan beliau mahu melihat kegemilangan Pantai Morib yang dahulunya terkenal dengan aktiviti bermandi-manda dan menjadi salah satu tempat pelancongan di Selangor, “katanya.

Beliau menambah, Mohammad Zain seterusnya berhasrat mengangkat kembali pelbagai aktiviti melalui pesta ini yang dilihat dapat menarik bukan sahaja penduduk tempatan, malahan pelancong luar ke daerah ini, sekali gus meningkatkan industri pelancongan Kuala Langat.

Pesta kali ini mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Persatuan Penggiat Seni dan Budaya Daerah Kuala Langat, Kelab Sukan dan Kebajikan MDKL, Kuala Langat Old Boys Rugby Club,Persatuan Olahraga Amatur Daerah Kuala Langat dan Jowo Bros Selangor.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat boleh hubungi Unit Korporat Dan Perhubungan Awam di talian 03-3180 3694 dan Jabatan Pembangunan Masyarakat 03-3180 3140.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here