Bangkok sekali lagi atasi Paris, London paling ramai pelancong

0
50
FOTO: Creative Commons

 

HEBAT… Ibu kota Thailand, Bangkok, sekali lagi berjaya mengatasi Paris, Perancis dan London, England sebagai bandar raya yang paling popular dikunjungi ramai pelancong asing di dunia.

Menurut tinjauan yang dikeluarkan oleh firma kad kredit ternama antarabangsa, MasterCard Inc. kelmarin dipetik majalah kewangan global Forbes, ranking itu jelas berita baik bagi Thailand.

Ia susulan Bangkok pernah alami kemerosotan pada jumlah kedatangan warga asing ke negara itu namun kini ceria dinamakan sebagai kota paling dikunjungi buat empat tahun berturut-turut,

Sejumlah 22.8 juta orang dilaporkan mengunjungi bandar tersebut dalam ranking tahunan Global Destination Cities Index 2019, manakala Paris dan London menduduki tangga kedua dan ketiga.

Dua bandar utama Eropah itu masing-masing menerima 19.1 juta dan 19.0 juta orang. Ia disusuli Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berjaya sambut kedatangan 15.9 juta pelawat asing.

Sementara itu, dua lagi bandar Asia Tenggara iaitu Singapura dan Kuala Lumpur, Malaysia turut duduki tempat kelima dan dan keenam, masing-masing 14,6 juta dan 13,7 juta pengunjung.

New York, Amerika Syarikat; Istanbul, Turki; Tokyo, Jepun dan Antalya juga di Turki pula antara kedudukan ketujuh sehingga ke-10 dalam senarai teratas diterbitkan pihak MasterCard Inc.

Jumlah pengunjung luar yang diperoleh itu sebenarnya berdasarkan hasil kajian bebas pihak ketiga, analisis proprietari dan data awam merangkumi 200 bandar destinasi seluruh dunia.

Dalam pada itu, Dubai dinamakan firma tersebut sebagai bandar paling banyak dibelanjakan pelancong antarabangsa iaitu AS$30.82 bilion (RM129.24 bilion) pada sepanjang tahun lalu.

Ini diikuti Makkah, Arab Saudi dengan AS$20.09 bilion (RM84.25 bilion) ekoran kehadiran 10 juta jemaah umrah dan haji, manakala Bangkok tempat ketiga dengan AS$20.03 bilion (RM84 bilion).

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here