Belum sampai seru Alif pergi haji

Belum sampai seru Alif pergi haji
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

ORANG lain siang malam berdoa agar Allah memilih mereka untuk menjadi tetamuNYA tapi Alif Satar pula sudah dua kali ‘menolak’ tuah.

Bukan Alif sengaja menolak peluang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tapi semua yang berlaku adalah atas ketentuan Allah.

Jelas penyanyi, pelakon dan pengacara itu, beliau merasa sedih apabila hasrat untuk menunaikan haji tidak kesampaian di saat akhir.

“Tahun ini merupakan tawaran kedua untuk Alif menunaikan haji. Siapa yang tak sedih bila peluang ada di depan mata tapi tak boleh teruskan. Masa pertama, dah hampir-hampir tapi tak dapat pergi sebab kerja.

“Kali kedua (tahun ini) sama juga. Alif dah siap pergi kursus di rumah Neelofa sebab dia pun panggil ustaz mengajar, tapi tak dapat juga. Bila dapat berita tak boleh pergi, memang sedih tapi bila ingat balik apa yang pernah Alif doa di hadapan Kaabah, hati jadi tenang balik,” katanya dengan reda.

Jelas Alif, sewaktu menunaikan umrah beliau pernah berdoa di hadapan Kaabar agar Allah memberi peluang kepada ibu bapanya menunaikan haji sebelum dirinya.

“Rupanya Alif pernah berdoa, sebelum aku pergi haji berilah peluang kepada ibu bapa aku dahulu. Alif rasa Tuhan nak makbulkan tapi bila ingat balik, rupa-rupanya doa itu yang menghalang.

“Sekarang ini Alif dah boleh tukar doa pergi haji bersama keluarga. InsyaAllah tahun depan Alif akan hantar mama dan ayah menunaikan haji. Mungkin itulah masa yang sesuai,” katanya tersenyum.

Alif yang sudah beberapa kali menunaikan umrah berkata, beliau tidak pernah jemu untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah kerana berada di sana umpama berada di rumah.

“Awal tahun depan Alif akan pergi umrah bersama anggota The Locos Band.  Mereka amat teruja nak ke sana. Alhamdulillah rezeki kami dapat pergi bersama-sama.

“Untuk itu Alif ada buat kerjasama dengan satu agensi pelancongan untuk gunakan platform YouTube Alif untuk pergi umrah. Pergi umrah ni macam balik rumah walaupun di negara lain tapi rasanya begitu selesa bila pergi sana,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.