Pulau Pinang bolot Piala Merdeka jagoan floorball negara

Pulau Pinang bolot Piala Merdeka jagoan floorball negara
PERLAWANAN antara pasukan Floorball Lelaki Selangor dan Pulau Pinang untuk Piala Merdeka dalam Kejohanan Floorball Kebangsaan di Space Rubix. NSTP /SUPIAN AHMAD

 

Oleh KAKI BANGKU

 

PULAU Pinang membuktikan kejaguhan mereka dengan membolot gelaran kategori lelaki dan wanita Kejohanan Floorball Kebangsaan Kelapan, 2019 sambil menjulang Piala Merdeka di Space Rubix, Puchong, Selangor hari ini.

Skuad lelaki Pulau Pinang menumpaskan tuan rumah 6-1 dalam perlawanan akhir manakala barisan wanita mereka memerlukan pukulan penentuan penalti untuk menjinakkan Putrajaya 4-2 selepas terikat 5-5 pada final terdahulu.

Kapten lelaki Pulau Pinang, Chiam Ter Min menyumbat dua gol manakala selebihnya masing-masing dijaringkan oleh Chong Han Keong, Mohd. Fahmi Nasir, Adrian Koay dan Tristan James Desmond Dass.

Khoo Gim Hoong menjaringkan gol sagu hati Selangor. Kemenangan ini membolehkan Pulau Pinang menebus kekalahan mengejut 6-4 kepada lawan sama dalam saingan Kumpulan A lelaki, Isnin lalu.

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohd Norza Zakaria (tengah) bersama Pasukan Floorball Lelaki Pulau Pinang yang menjuarai Piala Merdeka peringkat kebangsaan. NSTP/SUPIAN AHMAD

Ter Min, 29, yang juga pemain kebangsaan yang meraih pingat gangsa Sukan SEA Singapura 2015 turut dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) edisi ini. Kejohanan anjuran Persatuan Floorball Malaysia (MFA) ini mula diadakan pada 2012.

Aksi final wanita pula menyaksikan Ang Ling Ling mencatat jaringan hatrik dan dua gol Nur Shafinaz untuk Pulau Pinang namun disamakan pemain Putrajaya, Nur Dianah Athirah juga dengan hatrik selain masing-masing satu oleh Arena Abdullah dan Fathih Hasni.

Namun Putrajaya tetap beroleh bonus apabila pemainnya, Nur Farah Syahirah diumumkan MVP kategori wanita.

Floorball merupakan sukan yang mirip hoki ais dan hoki dewan kerana bentuk kayu dan bolanya namun menemukan enam pemain setiap pasukan yang berlawanan di gelanggang yang berukuran 40 x 20 meter.

Uniknya juga ialah penjaga golnya hampir sepanjang 20 minit setiap babak (tiga babak kesemuanya) perlu berlutut untuk mengawal gawangnya secara tangan kosong sambil dibantu dua pertahanan, dua perantara dan dua penyerang.

PASUKAN Floorball Lelaki dan Wanita Pulau Pinang menjuarai Piala Merdeka dalam Kejohanan Floorball Kebangsaan di Space Rubix. NSTP /SUPIAN AHMAD

Floorball mula dimainkan di Malaysia pada 2002 selepas diperkenalkan oleh Stefan Dahlgren di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Presiden MFA, Dr. Rizal Mohd. Razman berkata, “sasaran kami tahun depan ialah sekurang-kurangnya menambah penyertaan dua lagi pasukan dalam Kejohanan Kebangsaan, tidak kiralah siapa juaranya nanti.

“Satu dua pemain telah dikenal pasti daripada kejohanan ini untuk ditambah dalam skuad negara ke Sukan SEA di Filipina, November ini walaupun kami sudah memiliki 28 pemain.

“Sasaran minimum kami ialah dua pingat gangsa bagi lelaki dan wanita,” katanya.

KEPUTUSAN KESELURUHAN
Lelaki
1. Pulau Pinang
2. Selangor
3. Kuala Lumpur
4. Johor
5. Sabah
6. Perak
7. Negeri Sembilan
8. Putrajaya

Wanita
1. Pulau Pinang
2. Putrajaya
3. Selangor
4. Kuala Lumpur
5. Sabah
6. Perak
7. Negeri Sembilan
8. Johor

 

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.