Terima kasih Hussain Haniff

Apabila kita menyentuh tentang filem melayu di era klasik, sudah tentu kita terlalu asyik dengan nama P. Ramlee.

Terima kasih Hussain Haniff

DR Norman Yusoff dalam satu tulisannya di akhbar The Star baru-baru ini membangkitkan persoalan besar mengenai keperluan mendesak Malaysia untuk merintis usaha mempromosikan pendidikan filem serta memberi penekanan menyeluruh tentang apresiasi sinema.

Dalam artikel yang sama beliau melihat bagaimana celik filem dalam kalangan penonton arus perdana akan meningkatkan cita rasa dan daya intelektual mereka ketika menonton filem.

Keadaan ini sekaligus menjadi usaha penting untuk kita akhirnya membentuk khalayak penonton yang benar-benar mampu menghargai filem.

Suasana apresiasi filem di Malaysia yang longgar sebenarnya turut menyumbang kepada kegagalan kecelikan penonton untuk mengenali pembikin-pembikin filem hebat lain, sebaliknya mata mereka hanya tertumpu kepada yang popular sahaja.

Apabila kita menyentuh tentang filem melayu di era klasik, sudah tentu kita terlalu asyik dengan nama P. Ramlee.

Kadangkala kita seperti terlupa bahawa di era emas filem Melayu itu, ada pembikin-pembikin lain yang turut memiliki keunikan dan kehebatan yang tersendiri.

P. Ramlee hebat kerana kemampuannya yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Ia manusia pelbagai bakat, mencipta lagu, menyanyi, berlakon, dan mengarah.

Ini menjadi sebab beliau sentiasa diingati dan selalu diletakkan di tempat tertinggi apabila kita membuka mulut dan berbicara tentang filem Melayu.

Namun begitu, ada satu nama yang sebenarnya penting dan harus diraikan, beliau ialah Hussain Haniff.

Hussain sepanjang usianya mengarahkan 12 filem. Beliau meninggal pada umur 32 tahun.

Ya! 32 tahun! Dunia perfileman Melayu pernah mempunyai pengarah hebat dan muda yang telah membikin 12 filem dan semuanya amat penting dalam khazanah kita.

Bermula dengan Hang Jebat (1961), diikuti Dang Anom (1962), Mata Shaitan (1962), Korban Kaseh (1962), Masok Angin Keluar Asap (1963), Gila Talak (1963), Dua Pendekar (1964), Kalong Kenangan (1964), Istana Berdarah (1964), Chinta Kaseh Sayang (1965), Jiran Sekampong (1965) dan yang terakhir Udang Di Sebalek Batu (1966).

Apa yang membuatkan Hussain kelihatan berbeza pada waktu itu ialah teknik dan gaya pengarahannya.

Kebanyakan yang dibikin Hussain pada waktu itu dianggap segar dari sudut bentuknya.

Ini menjadikan filem-filemnya sangat kukuh dari segi visual dan kita dapat merasakan imaginasi beliau bukan biasa-biasa.

Bermula sebagai seorang penyunting, ini membuatkan filem-filem Hussain memiliki kekuatan dari sudut suntingan, malah kepakaran ini menjadi titik terpenting dalam Hussain membikin filemnya.

Jika P. Ramlee memiliki daya penceritaan yang kuat, Hussain pula boleh dianggap guru kepada teknik dan suntingan perfileman.

Hussain diketahui cukup cerewet dan tegas ketika membikin filem, beliau tidak pernah main-main dan menganggap bikin filem sebagai kerja yang serius. Ini kita dapat lihat dalam kerja kerasnya setiap kali berada di set.

Hussain mahu semuanya kelihatan ‘real’, beliau mahukan filemnya benar-benar menjadi dan bukan sekadar usaha-usaha kosong.

Semasa membikin Dang Anom misalnya, Hussain benar-benar mahu membentuk babak pengkhianatan Sang Rajuna Tapa dan pencerobohan Majapahit dengan sangat berkesan.

Berdasarkan laporan akhbar pada ketika itu, Hussain telah mengarahkan untuk kota yang diceroboh itu dibina dengan baik dan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk tugas itu telah memesan lebih 7,000 batang pokok pinang untuk membina kota berkenaan.

Pokok pinang itu dipesan dari Batu Pahat, Johor dan 40 tukang kayu telah bekerja keras untuk menyiapkan set yang dikehendaki Hussain.

Selain itu, bagi menambah realisme bagi babak berkenaan, Hussain juga telah menggunakan beratus-ratus pelakon tambahan bagi memainkan peranan sebagai tentera dalam babak pertempuran hebat itu.

Ia sesungguhnya satu pengorbanan besar dan kesannya, Dang Anom dianggap sebagai antara filem Melayu terbaik yang pernah dihasilkan.

Namun sayang, kaca TV kita seperti tidak berminat dengan Dang Anom dan lebih gemar memutar filem-filem P. Ramlee secara berulang kali lantas menyebabkan ramai tidak mengenali tokoh perfileman lain, selain daripada P. Ramlee.

Dalam Dang Anom juga, Hussain memberikan pengertian lebih baik dalam babak pergaduhan. Beliau sebelum itu mempunyai pandangan sinikal terhadap babak pergaduhan dalam filem Melayu. Bagi beliau, kebanyakan babak berkenaan hanya satu bentuk sahaja dan membosankan.

Malah menurut Hussain lagi, ada sesetengah babak pergaduhan itu seperti tidak boleh diterima akal, termasuk melibatkan tikaman, tetapi pelakonnya masih kebal.

Sehubungan itu, dalam Dang Anom, Hussain cuba menimbulkan sesuatu yang lebih sejati dan kukuh untuk babak pergaduhan.

Justeru, beliau memilih sebuah kawasan lopak yang berlumpur dan satu babak pergaduhan dalam Dang Anom melihatkan watak-wataknya bergelut di dalam lumpur.

Babak itu sebenarnya hanya beberapa minit, namun kerana cerewet dan tidak cepat puas hati, penggambaran bagi babak itu sahaja telah mencecah sehingga tempoh seminggu.

Hasilnya, kita melihat satu pergelutan yang sangat jantan dan maskulin. Ia sangat kena dengan tema-tema filem Hussain yang keras dan bersifat kejantanan.

Seniwati Roseyatimah yang pernah memegang peranan dalam filem Dua Pendekar, mengakui bahawa Hussain adalah pengarah yang hebat dan beliau pernah menyebutkan bahawa jika ingin menjadi pelakon yang baik, pengarahan dari Hussain tidak seharusnya dibantah.

Hussain juga terkenal dengan filem Istana Berdarah, sebuah adaptasi daripada karya Shakespeare berjudul Macbeth.

Namun sayang sekali filem ini dilaporkan telah hilang dan kita dalam generasi baharu tidak berkesempatan untuk menonton filem ini.

Berasaskan kepada ulasan daripada wartawan pada ketika itu, ramai beranggapan bahawa ini merupakan antara filem Melayu yang wajib ditonton.

Dalam sikap tegas dan cerewetnya serta disebalik kehebatan dan kehandalan yang ditonjolkan melalui filem-filemnya, Hussain tetap memiliki sikap rendah diri dan menghormati orang yang lebih hebat seperti P.Ramlee.

Dalam satu temubual di akhbar Berita Harian pada tahun 1963, Hussain menyatakan:

“Saya akan berusaha mulai hari ini dengan seboleh-bolehnya, supaya pada satu masa nanti, saya akan menjadi popular dan terkenal seperti P. Ramlee.

“Memang sukar seseorang pengarah atau pelakon atau penggubah lagu di negeri ini, menandingi P. Ramlee.

“Dia (P. Ramlee) tidak boleh begitu popular dan terkenal tanpa sanjungan dari orang ramai. P. Ramlee berusaha dengan lebih tekun untuk mempopularkan dirinya dalam ketiga-tiga jurusan tadi.

“Saya akan berusaha mulai dari hari ini untuk menandingi P. Ramlee.”

http://bit.do/e7PNy
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.