Syarat sijil halal tidak akan dilonggar, kata majlis halal

Permintaan usahawan kecil kepada Jakim untuk melonggarkan syarat pensijilan halal itu bukan perkara baru, tetapi pihaknya mahu menjaga integriti dan kredibiliti sedia ada.

Syarat sijil halal tidak akan dilonggar, kata majlis halal
FOTO: AAS

 

SYARAT pensijilan halal tidak akan dilonggarkan hanya untuk memudahkan usahawan kecil dan asnaf mendapat pensijilan itu, kerana ia bertujuan menjaga mutu dan kualiti pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu.

Sehubungan itu, usahawan kecil dan asnaf disarankan supaya menaik taraf perniagaan dan produk masing-masing agar kualiti dan kebersihan produk menepati syarat pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia Dr Sirajuddin Suhaimee berkata permintaan usahawan kecil kepada Jakim untuk melonggarkan syarat pensijilan halal itu bukan perkara baru, tetapi pihaknya mahu menjaga integriti dan kredibiliti sedia ada.

“Peniaga-peniaga ini perlu tingkatkan perniagaan mereka. Kita fokus kepada peniaga mikro ini yang mana Jakim berkerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk membantu mereka. Contohnya untuk mendapatkan dana dan bantu dalam aspek teknikal,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sesi dialog Pemberdayaan Ekonomi Umat di Pusat Pameran Mines (MIECC) di Seri Kembangan.

Turut serta dalam forum itu ialah Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Halfest JAKIM 2019 Shukri Abdullah.

Sirajuddin berkata peniaga tempatan perlu menaik taraf tempat pembuatan produk masing-masing untuk mencapai tahap produk yang lebih komersial untuk dipasarkan.

Beliau berkata agensi pembimbing di bawah Jakim seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) serta Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi khidmat latihan dan nasihat kepada peniaga baharu dan sedia ada untuk mengembangkan perniagaan.

Sementara itu, Anwar ketika sesi dialog berkata konsep halal adalah universal iaitu penekanan dalam aspek bersih, bermutu dan produk yang dipasarkan adalah halal.

Dalam usaha membantu menaik taraf perniagaan kecil dan sederhana, beliau mencadangkan kerajaan menggunakan khidmat perniagaan mereka dalam projek seperti Program Sarapan Percuma (PSP) oleh Kementerian Pendidikan.

“Saya mencadangkan syarikat besar yang mendapat tender projek seperti PSP, syarikat itu mencari peniaga kecil dari daerah-daerah terlibat untuk menyediakan makanan halal, bersih dan berkualiti kepada pelajar. Secara tidak langsung, ia dapat membantu mengangkat taraf peniaga kecil dan sederhana lebih berdaya saing,” katanya.

– Bernama
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.