Putrajaya pertahan Islam, institusi Raja, kata Dr Mahathir

0
89
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memberi ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. –fotoBERNAMA 

 

PUTRAJAYA akan memastikan kedudukan Islam serta hak orang Melayu dan kaum lain terpelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan juga akan sentiasa menghormati dan terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan, tambah beliau.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

“Kerajaan akan sentiasa menghormati dan terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan.

“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta keistimewaan orang Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipertahan dan dipelihara,” kata perdana menteri.

“Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, negara terus berada dalam keadaan aman dan makmur.

“Selain itu, patik berharap negara akan terus bebas daripada pelbagai bentuk penyelewengan untuk membolehkan Malaysia Baharu dapat dibangun dan dimajukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.”

Dr Mahathir berkata kerajaan akan terus mengukuhkan perpaduan dan melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan semua kaum hidup dalam suasana harmoni.

“Umumnya rakyat negara ini percaya bahawa perpaduan yang merentasi batas etnik dan agama adalah penting untuk menjadikan Malaysia baharu yang harmoni dan aman damai.

“Rakyat juga kini semakin matang dalam menghadapi ancaman-ancaman yang mampu memecah belahkan perpaduan,” katanya.

http://bit.do/e76nZ
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here