Jinakkan UAE dengan cara kami – Brendan

Jinakkan UAE dengan cara kami – Brendan
JURULATIH skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe menjawab soalan media pada sidang media pasukan Malaysia bertemu pasukan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022. Turut bersama Pemain bahagian tengah pasukan Malaysia, Brendan Gan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

 

Oleh KAKI BANGKU

 

BIAR siapa pun Omar Abdulrahman dalam pasukan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dengan rekod pertemuan lalunya dengan Malaysia, Brendan Gan lebih gemar menumpukan cara permainan pasukan Harimau Malaya, esok.

Kata perantara Pahang itu, rakan-rakannya seperti Omar masih merupakan pemain bola sepak yang hanya mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan dan bukannya untuk kalah mahupun seri.

“Saya hormati Omar tetapi kami hanya mahu fokuskan permainan kami dengan disiplin dan saya rasa kami boleh menyaingi UAE. Macam mereka, kami pun pemain bola sepak. Setiap perlawanan yang disertai, cuma menang matlamat kami,” katanya.

Brendan dan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe ditemui pada sidang akhbar praperlawanan pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 dengan UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Cheng Hoe mengakui UAE bukan calang-calang lawan sambil menyedari harapan para penyokong Harimau Malaya kini semakin tinggi ekoran kemenangan 3-2 terhadap Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu.

“Pasukan kini perlu lebih tenang dan lebih fokus. UAE ada ramai pemain yang berkualiti baik dan mereka berpengalaman bermain dalam pentas berbeza seperti pusingan akhir Piala Asia 2019 tetapi kami tidak akan fokus pemain tertentu.

“Kami juga kena kurangkan kesilapan (seperti dibolosi dua gol Indonesia itu). Kena ada keyakinan untuk elakkan kesilapan yang sebesar itu kerana itu yang buatkan kami dihukum oleh UAE nanti,” katanya.

Sementara itu, Malaysia dijangka mampu memanfaatkan persediaan suntuk hanya dua minggu Al Abyad yang dibimbing Bert van Marwijk bagi menghadapi kelayakan ini antaranya mengadakan kem latihan di Syria dan persahabatan di Bahrain.

“Sebagai jurulatih pasukan kebangsaan, memang menjadi hasrat untuk punya masa yang lebih panjang dengan pemain-pemainnya. Saya juga tidak boleh bandingkan pasukan saya dulu, Arab Saudi dengan UAE pada Kelayakan Piala Dunia-Piala Asia lalu.

“Bagi saya, segala yang lepas sudah tidak boleh dikira sekarang. Dengan Belanda (naib juara Piala Dunia 2010), saya hanya ada tiga empat hari untuk bekerja bersama pasukan. Saya hanya fikir perlawanan ini (dengan Malaysia) sekarang, bukan pasukan lain di Asia Tenggara kumpulan ini.

“Kami sudah berlatih di Malaysia sejak minggu lalu malah menonton aksi mereka dengan Indonesia di Jakarta,” katanya yang membimbing Arab Saudi dalam kelayakan 2018-2019 Kumpulan A menewaskan Malaysia 3-0 dan 2-0 di Shah Alam dan Riyadh.

Kata Omar, 28, beliau turut menghormati Malaysia walaupun UAE yang dianggotainya pernah membelasah skuad Dollah Salleh di Dubai 10-0, empat tahun lalu selain menganggap tuan rumah semakin meningkat pada setiap kali mereka bertemu.

UAE hanya akan memulakan aksi Kumpulan G kelayakan ini namun sempat menewaskan Republik Dominica 4-0 dan Sri Lanka 5-1 dalam siri persahabatan pemanas badan di Riffa, Bahrain pada 30 dan 31 Ogos lalu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.