Pahang catat hatrik Piala Agong hadiah buat Yang di-Pertuan Agong

Pahang catat hatrik Piala Agong hadiah buat Yang di-Pertuan Agong
PEMAIN Skuad Piala Emas Raja-Raja (PERR) Pahang (depan) diasak pemain Terengganu pada Perlawanan Piala Agong di Stadium Mini Kompleks Sukan Sultan Haji Ahmad Shah. NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL
Oleh KAKI BANGKU

 

JUARA bertahan berganda, Pahang mempertahankan Piala Agong sekali gus menjadi hadiah terbaik buat Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang, hari ini.

Mencatat kejayaan hatrik sejak 2017, skuad bimbingan Ahmad Yusoff menumpaskan Terengganu 4-0, semalam dalam perlawanan pembuka tirai musim 2019 itu menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-79, Sabtu ini.

Kejayaan di depan 2,500 hadirin Stadium Mini Kompleks Sukan Sultan Ahmad Shah, Pekan ini juga membolehkan Pahang mengaut hadiah wang tunai RM10,000 manakala Terengganu, naib juara PERR musim lalu, beroleh sagu hati RM5,000.

Pahang juga kini beroleh suntikan semangat untuk turut mempertahankan PERR yang diraihnya musim lalu di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, juga selepas menumpaskan Terengganu 1-0.

Skuad Ahmad akan mengharungi kempen Kumpulan C PERR dengan menentang Negeri Sembilan, Kelantan, Melaka dan Angkatan Tentera Malaysia di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah dari Sabtu ini hingga 19 September.

Pahang merupakan juara PERR tiga kali termasuk dengan menewaskan Melaka di Temerloh pada 2011 dan Polis Diraja Malaysia di Kuantan, tiga tahun lalu.

Semalam kekuatan tuan rumah sudah terserlah sehingga berjaya mendahului 2-0 dalam tempoh tujuh minit ketika babak pertama perlawanan berusia setengah jam menerusi Zazrir Naim Rani dan Ridhwan Maidin.

PASUKAN Pahang bergembira meraikan kejayaan mempertahankan Piala Agong bagi edisi 2019 di Pekan, semalam.

Babak kedua menyaksikan kedudukan Pahang kian melebar apabila Rizua Shafiqi Kamaruzaman dan sepakan penalti Azuan Izam pula membolosi gawang Terengganu yang dikawal Muhammad Syahmi Yunof pada minit ke-68 dan 75.

“Satu penyala semangat Pahang sebelum menghadapi PERR. Saya tidak menyangka mampu menang besar malam ini memandangkan kami hanya menggunakan khidmat ramai pemain Piala Presiden,” kata Ahmad.

Jurulatih Terengganu, Mohd. Yasin Ali berkata, “kami akan perbaiki kelemahan pasukan hasil perlawanan malam ini. Ada masa lagi untuk meningkat menjelang PERR.

“Tahun lepas kami cuma naib juara tetapi tahun ini sasaran kami jadi juara walaupun hanya seorang pemain musim lalu dikekalkan, selebihnya muka baharu,” katanya.

Terengganu pula menganggotai Kumpulan B dengan juara PERR 2017, Pulau Pinang selain pasukan undangan luar negara, Singapura dan muka baharu, Kelab Kingstown Klang.

JUARA-JUARA PIALA AGONG

1962: Melayu Selatan
1963: Melayu Selatan
1964: Melayu Utara
1965: Melayu Utara & Selatan
1966: Melayu Utara & Selatan
1967: Melayu Utara
1968: Melayu Utara
1969: Melayu Utara
1972: Melayu Selatan
1973: Melayu Utara
1974: Melayu Utara
1975: Melayu Selatan
1978: Johor
1979: Kelantan
1980: Kelantan
1981: Singapura
1982: Singapura
1983: Singapura
1984: Singapura
1985: Kelantan
1986: Wilayah Persekutuan
1987: Selangor
1988: Johor
1989: Johor
1990: Johor
1991: Kelantan
1992: Kelantan
1993: Perlis
1994: Kuala lumpur
1995: Kelantan
1996: Kedah
1997: Kedah
1998: Pulau Pinang
1999: Pulau Pinang
2000: Pulau Pinang
2001: Kelantan
2003: Kelantan
2005: Pahang
2006: Pahang
2007: Pahang
2008: Johor
2009: Johor & Kelantan
2010: Perlis
2011: Kelantan
2013: Perak
2014: Perak
2015: Perak
2016: Negeri Sembilan
2017: Pahang
2018: Pahang
2019: Pahang

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.