Pengasas Raudhah City mahu himpun usahawan bumiputera di Malakat Mall

Pengasas Raudhah City mahu himpun usahawan bumiputera di Malakat Mall

PUSAT beli-belah Malakat Mall yang akan dibuka berhampiran Raudhah City di Cyberjaya bertujuan untuk meningkatkan penyertaan usahawan bumiputera dalam pasaran runcit, kata pengasasnya.

Pengasas syarikat Raudhah City Sdn Bhd Mohd Fadzil Hashim berkata ia akan menghimpun pelbagai produk Muslim di pusat di kawasan kejiranan Muslim itu.

Jelasnya, idea untuk menubuhkan pusat membeli belah itu berdasarkan kajian yang menunjukkan sektor peruncitan bumiputera masih tidak berkembang kerana tidak dapat menyertai pasaran.

“Bila kami analisis data, ia menunjukkan sebab kita tak boleh pergi jauh adalah kerana kita tiada akses kepada pasaran.

“Kita tiada pusat beli-belah, jadi antara rancangan strategik kami adalah untuk mempunyai pusat beli-belah,” katanya yang turut mengusahakan sekolah tadika swasta popular Brainy Bunch.

Tambahnya, isu sebenar melibatkan peniaga terbabit bukanlah persaingan dengan usahawan masyarakat lain tetapi mengenai perkembangan usahawan bumiputera itu sendiri.

“Sebab itu, selepas 62 tahun Merdeka, komuniti Bumiputera masih ketinggalan dalam sektor ekonomi,

“Mereka tidak ada dalam sektor peruncitan sedangkan siapa kawal sektor peruncitan dia akan kuasai ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun, Malakat Mall itu tidak berkaitan dengan kempen mengutamakan produk Islam dan bumiputera yang rancak pada waktu ini, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Idea kita untuk tubuhkan Malakat Mall ini jauh lebih awal daripada kempen utamakan produk Melayu dan Islam yang berlaku hari ini,” katanya.

Beliau berkata kumpulan Melayu dan Bumiputera merupakan kumpulan pengguna terbesar namun pasaran runcit yang disertai pengusaha golongan itu hanyalah pasaran kecil.

Sektor peruncitan negara dianggarkan bernilai kira-kira RM110 bilion, namun kumpulan pengusaha Melayu dan Bumiputera hanya menguasai 8% daripada keseluruhan pasaran, tambah Fadzil.

Menurutnya, sebahagian besarnya dikuasai syarikat asing, sebanyak 60% selain perusahaan bukan Melayu dan bukan Bumiputera sebanyak 32% daripada keseluruhan pasaran sektor peruncitan.

Oleh itu, mereka mahu syarikat asing mengurangkan kepentingan dalam pasaran runcit untuk membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera terlibat melalui Malakat Mall.

“Sasaran kita adalah untuk membolehkan kehadiran perusahaan Bumiputera dalam industri peruncitan ini dirasai dengan mengurangkan pemilikan asing daripada terlibat dalam pasaran.

“Kita nak syarikat asing melabur dalam bidang strategik, tetapi bukan datang ke negara kita menjual ayam dan beras, bukan melakukan perniagaan yang rakyat kita sendiri boleh buat,” katanya

“Mereka jual produk kegunaan harian kepada rakyat kita kemudian keuntungan itu mereka bawa balik ke negara mereka,” katanya.

Fadzil juga yakin Malakat Mall mampu mengembangkan penguasaan pasaran Melayu dan Bumiputera dalam sektor peruncitan sebanyak 30% lagi.

Fadzil berkata mereka menetapkan sasaran untuk membuka 100 Malakat Mall di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun, dengan sebahagian besar daripadanya akan berada di Lembah Klang.

Beliau menganggarkan nilai jualan daripada 100 unit Malakat Mall itu berjumlah RM30 bilion.

“Sasaran kita minimum 30 Malakat Mall di Lembah Klang, manakala bakinya lagi adalah mungkin satu atau dua di setiap negeri lain.

“Cadangan kita adalah dengan mengambil alih pengurusan pusat beli-belah sedia ada yang suram dan kita akan bangunkan semula dengan konsep yang kita nak bawa,” katanya.

Dengan itu, mereka bukan sahaja membantu pemilik pusat beli-belah untuk menyegarkan kembali hartanah tetapi turut membuka peluang untuk membangunkan ekonomi Bumiputera, katanya.

Tambahnya, mereka juga bercadang untuk menyediakan 20% tempat di pusat membeli-belah itu kepada syarikat bukan Bumiputera atau syarikat asing.

Katanya, Malakat Mall sulung di Raudhah City dijangka mula beroperasi Januari 2020, dengan sasaran kunjungan 20,000 keluarga.

Tambah Fadzil, ia akan mengetengahkan konsep pusat membeli belah komuniti dengan menawarkan pulang yang menurutnya akan dikembalikan semula kepada masyarakat.

“Contohnya, bagi mereka yang berbelanja sebanyak RM20,000 di Malakat Mall, keluarga mereka akan nikmati khidmat kesihatan percuma daripada klinik yang ada dalam Malakat Mall,” katanya.

Selain itu, pemilik perniagaan atau operator pula hanya perlu membayar sewa melalui konsep perkongsian keuntungan dan tidak dikenakan kadar sewa tetap setiap bulan, katanya.

Fadzil berkata untuk itu, operator perniagaan juga akan menggunakan perkhidmatan pembayaran tunai dan tanpa tunai Raudhah Pay, yang juga akan dibangunkan syarikatnya.

http://bit.do/e72EQ
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.