Wann lega hibur peminat

Wann yang mendendangkan lebih 10 buah lagu pada malam itu memberitahu, beliau tidak memerlukan persediaan yang terperinci untuk menjayakan persembahan tersebut.

Wann lega hibur peminat
SEORANG peminat tak melepaskan peluang bergambar dengan Wann.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

KIRA-KIRA 300 peminat tegar penyanyi Wann hadir bagi menjayakan acara Makan Malam Bersama Wann yang berlangsung di Phoenix Ballroom, Pearl Kuala Lumpur, Sabtu, baru-baru ini.

Wann, 49, yang ditemui selepas mengucapkan selamat tinggal kepada para tetamu di hadapan pintu masuk berkata, beliau sangat lega dan berpuas hati kerana dapat mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.

“Hari ini saya seronok macam mengimbau balik kenangan lalu waktu nama tengah top. Dapat pula bertemu dengan bekas pegawai perhubungan awam dari syarikat Suria Cipta Sempurna (SCS) seperti Calvin, Along Bakar dan Ramli Omar. Mereka ini banyak membantu Wann dulu.

“Kalaulah mereka itu muhrim, dah lama Wann peluk sebab rindu sangat-sangat pada mereka. Tak sangka mereka sudi hadir memeriahkan majlis Makan Malam Bersama Wann. Mereka ini yang banyak membantu Wann dulu,” luahnya penuh kegembiraan.

Kata Wann, beliau juga terharu kerana dalam kalangan penonton yang datang ada juga jiran lama yang sama-sama membesar dengannya hadir memberi sokongan.

Wann yang mendendangkan lebih 10 buah lagu pada malam itu memberitahu, beliau tidak memerlukan persediaan yang terperinci untuk menjayakan persembahan tersebut.

“Persediaan Wann taklah berat sangat, cuma perlukan rehat yang cukup saja. Maklumlah dalam usia begini kalau tak ada tenaga, semput juga nak menyanyi nanti.

“Kalau zaman anak dara, hari-hari boleh buat persembahan kerana tenaga masih kuat. Alhamdulillah, dengan kudrat yang ada pada malam ini Wann berpuas hati kerana melihat sambutan penonton menghiburkan,” katanya tersenyum puas.

Pada malam persembahan yang berkonsep santai itu, Wann memulakan persembahan dengan lagu Bossanova dan diikuti dengan lagu Lamunan Hati, Terlerai Kasih dan Darah Muda berduet dengan anak daranya, Tasha.

WANN menyanyi dari meja ke meja untuk menghibur peminatnya.

Selain itu untuk majlis anjuran Mareepoosa Creative & Event tersebut, Wann turut berduet dengan tiga orang peminat bertuah menerusi lagu Burung Kenari, Mawar Putih Untuk Mama dan Nilai Cinta berduet dengan peminat muda, Adam.

“Peminat-peminat Wann, lebih kurang sebaya dan Wann gembira sebab ada peminat yang muda macam Adam tadi. Kiranya berjaya jugalah Wann mencuri hati peminat muda yang tahu lagu Bossanova dari karaoke.

“Macam Tasha, dia minat menyanyi jadi Wann bagi dia peluang untuk menyanyi di pentas sebab selama ini dia nyanyi karaoke saja. Wann tengok dia nyanyi dengan cara sendiri dan Wann masukkan dia ke kelas muzik main piano sebab Wann teringin. Jadi biarlah dia yang merealisasikan impian Wann itu,” cerita Wann tentang anak bongsunya yang berusia 22 tahun.

Pada malam itu juga, Wann berbesar hati untuk membuat jualan lelong lima helai baju kesayangannya. Hasil lelongan hampir Rm1,000 itu diberikan kepada Rumah Mesra, Ampang pada malam itu juga.

Jelas Wann, persembahannya pada malam itu bukanlah penanda yang beliau akan kembali aktif dalam bidang seni suara kerana sehingga kini penyanyi asal Perak itu tidak pernah berhenti menyanyi.

Beliau sering diundang mengadakan persembahan di Singapura sehingga kini dan jika ada peluang Wann mahu merakam single baharu sebagai hadiah kepada peminat.

“Kalau ada single baharu bagus juga itu sebagai tanda yang Wann ini masih menyanyi. Bukan apa, sekarang ini kalau kita tak ada lagu baharu orang ingat kita tak aktif.

“Wann berminat nak rakam lagu yang berentak Latin, Bossa dan Funky. Lagu macam itu Wann suka sebab boleh menari-nari sikit,” kata pemilik nama sebenar Wan Rashidah Meor Abdul Rahsid.

WANN bermesra dengan peminat.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.