Azura Yamani nama anak ketiga Jamal Abdillah

0
137
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

PENYANYI tersohor tanah air, Datuk Jamal Abdillah, 58, mengakui yang beliau berdebar menunggu kelahiran anak ketiga yang bakal dilahirkan oleh isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin pada 15 November akan datang.

Cerita Jamal, awal-awal lagi beliau sudah memberitahu isteri yang beliau tidak akan berada di bilik bersalin kerana takut.

Katanya, ini bukan kali pertama beliau tidak berada di bilik bersalin untuk menyambut kelahiran cahaya mata.

“Terus terang cakap, semakin hampir waktu isteri nak bersalin, saya semakin berdebar. Sekarang ini saya rasa gementar bila tengok isteri berjalan dengan perut yang besar itu. Kandungan dia sekarang ini berusia lapan bulan setengah.

“Macam takut saja tengok dia hadapi semua itu. Awal-awal lagi saya dah cakap, Zetty, masa awak bersalin nanti, minta maaf saya tak akan berada dalam bilik bersalin kerana saya takut.

“Sebelum ini pun saya tak pernah teman, saya tak boleh bayangkan macam mana perut besar itu nak keluarkan bayi,” kongsi Jamal tentang debarannya menunggu kelahiran anak ketiga nanti.

Jamal memberitahu, beliau berdebar untuk menerima orang baharu dalam keluarga kerana sudah lama tidak merasai pengalaman kehadiran bayi, lagipun anak-anaknya, Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 12, sudah remaja.

“Saya gementar sebenarnya nak terima orang baharu dalam keluarga, dapat perempuan pula tu. Dulu saya pernah cakap pada wartawan kerana sejarah hitam, saya tak nak ada anak. Tiba-tiba Tuhan bagi juga. Okeylah saya terima juga sebab Tuhan ada caranya tersendiri.

“Saya tak mahu ada anak sebab saya sudah buat benda-benda yang tak elok, takut anak-anak saya jadi mangsa, tapi alhamdulillah mereka membesar dengan baik,” cerita Jamal tentang perasaannya.

Dalam debaran itu, Jamal sudah pun ada nama pilihan untuk diberikan kepada bayi yang bakal lahir di salah sebuah hospital di Shah Alam, Selangor itu. Kata penyanyi Kekasih Awal dan Akhir itu, setiap hari beliu memanggil bayi itu dengan nama Azura.

“Bayi perempuan sudah ada nama, saya yang pilih. Nama tu saya dah panggil hari-hari, Azura. Saya nak namakan dia Azura sebab setiap kali saya buat persembahan dan tanya penonton nak lagu apa, mereka akan jerit Azura. Nama Azura ini dah melekat dengan saya, jadi saya pilih untuk namakan anak saya nanti sebagai Azura Yamani.  

“Sesungguhnya, nama Azura memberi impak  besar kepada kehidupan saya. Orang awam pun sudah sedia maklum, kalau Azura itu mesti Jamal. Mana-mana konsert kalau minta lagu mesti nak Azura. Tak jauh nama itu dengan saya, kenapa tidak saya sebatikan. Isteri suka juga nama tu,” jelasnya.

Akui Jamal, beliau lebih gementar menunggu kelahiran bayi perempuan berbanding menyambut kelahiran dua orang anak lelakinya sebelum ini.
Katanya, sewaktu mendapat tahu isteri hamil, beliau berharap dikurniakan anak lelaki kerana baginya anak lelaki lebih mudah dijaga berbanding anak perempuan.

Malah dalam tempoh empat bulan isteri hamil, beliau pula yang mengidam nak makan lemang berbanding Zetty yang idam buah-buahan masam.
“Saya yang idam makan lemang, dia setakat nak makan buah masam-masam saja. Saya mula mengidam waktu isteri hamil empat bulan. Saya cakap nak makan juga sedangkan saya tak boleh makan pulut.

“Sebatang lemang tu saya makan seorang diri. Dulu tak ada. Terpaksalah pusing satu Kuala Lumpur untuk cari lemang yang siap ada rendang. Masa tu juga nak makan tak sempat balik rumah,” ceritanya yang ditemui pada majlis pelancaran single duet Belenggu Rindu bersama Wany Hasrita hari ini (11 September).

–BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here