Hentikan gelanggang hitam, kuning – amaran Istaf kepada PSM

Hentikan gelanggang hitam, kuning – amaran Istaf kepada PSM
GELANGGANG sepak takraw berwarna hitam dan kuning yang tidak pernah diluluskan Istaf tetapi digunakan PSM dalam liga tempatan mulai Jumaat lalu.
Oleh KAKI BANGKU

 

HENTIKAN penggunaan gelanggang berwarna hitam dan kuning segera!

Amaran keras ini dikeluarkan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Abdul Halim Kader kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Mohd. Salleh semalam, mereka diarah menghentikan penggunaan gelanggang yang tidak diluluskan Istaf dalam sebuah liga tempatan anjurannya dengan kerjasama sebuah stesen TV.

Kata Halim, gelanggang hitam-kuning itu tidak pernah diluluskan oleh Istaf sebelum digunakan dalam liga itu sekali gus penganjurnya, PSM dan stesen TV itu didapati secara serius menyalahi dan melanggar undang-undang permainan sepak takraw rasmi Istaf.

Liga berkenaan yang bermula di Stadium MABA, Kuala Lumpur, Jumaat lalu disertai pasukan-pasukan negeri yang bergelaran khas berdasarkan identiti atau maskot selain mereka dibenarkan mengimport pemain luar negara antaranya Thailand.

ABDUL Halim Kader

Liga itu dikatakan menggunakan gelanggang berwarna hitam di dalam dan kuning di kelilingnya yang ditaja sebuah jenama peralatan badminton dari sebuah negara Asia.

Istaf tegasnya, perlu mengambil tindakan drastik ini kerana khuatir kemungkinan kecederaan yang menimpa pemain-pemain di atas gelanggang yang tidak diluluskan itu sehingga membawa akibat buruk dan tuntutan undang-undang terhadap PSM, ahli gabungannya.

Katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) ini, “memandangkan ada pemain luar negara yang menyertai liga itu dan mengambil kira keseriusan situasi ini yang mampu melibatkan Istaf, PSM perlu menghentikan penggunaan gelanggang itu dengan serta-merta.

“Istaf juga yakin PSM akan mengambil langkah pembetulan yang diperuntukkan bagi mengekalkan piawaian (peralatan sepak takraw) yang ditegakkan oleh Istaf,” tambahnya.

Setakatini hanya gelanggang sepak takraw berwarna merah yang dianggap sah dan mematuhi piawaian peralatan Istaf seperti mana pernah digunakan dalam Piala Dunia Istaf, Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand, Sukan SEA mahupun Sukan Asia.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.