NGO-i MAIS perlu bersiap-siaga hadapi cabaran berdakwah era baharu

“Dalam mendepani isu dan cabaran masa kini, NGO-i MAIS perlulah bersatu dalam apa juga tindakan supaya ikatan tali silaturrahim dapat dijaga dengan baik."

NGO-i MAIS perlu bersiap-siaga hadapi cabaran berdakwah era baharu
ANGGOTA MAIS merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian (tiga kanan), Setiausaha MAIS, Ahmad Shahir Makhtar (dua kanan) dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid (kanan) ketika beramah mesra bersama wakil-wakil NGO-i ketika majlis penutup Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) MAIS 2019 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor. NSTP/SAIRIEN NAFIS

 

Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

SHAH ALAM – Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) disaran sentiasa bersiap-siaga dalam menghadapi cabaran-cabaran berdakwah kepada Non Muslim dan juga Muslim dalam era baharu hari ini.

Menurut Anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i), Datuk Mohd. Shukri Dahlan, NGO-i MAIS perlu bersikap proaktif dan bersepadu dalam menyatakan pendirian berhubung isu-isu semasa ummah dalam usaha mempertahankan kesucian agama Islam.

“Dalam mendepani isu dan cabaran masa kini, NGO-i MAIS perlulah bersatu dalam apa juga tindakan supaya ikatan tali silaturrahim dapat dijaga dengan baik.

“Di samping mengambil pendekatan nilai kesatuan ummah supaya tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan perasmian penutup di dalam Majlis Persidangan NGO -i MAIS 2019 Dan Majlis Penyampaian Bantuan Dana NGO-i di Dewan Orkid, Wisma PKPS, Seksyen 14 di sini.

Yang hadir sama ialah Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid dan Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar.

Shukri berkata, NGO-i MAIS juga perlu sentiasa bersedia dalam mendepani sebarang anasir ataupun ancaman yang boleh menggugat kedudukan Islam sama ada ancaman akidah dan masalah sosial masyarakat Islam.

Sementara itu menurut Unit Korporat MAIS, pada majlis yang sama turut diadakan Diskusi Santai bertajuk Peranan NGO-i Dalam Memperkukuhkan Islam Sebagai Agama Persekutuan Dan Mendaulatkan Institusi Raja Berperlembagaan Berdasarkan Perlembagaan Malaysia.

Diskusi tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta bagi berkongsi cabaran dakwah dan gerakan dakwah yang berkesan.

Dalam majlis itu juga, sebanyak 78 NGO-i MAIS telah menerima bantuan dana dari MAIS.

Pada tahun ini, MAIS telah memperuntukkan RM1.019 juta kepada NGO-i MAIS bagi memperkasa dakwah dan mambangunkan sahsiah umat Islam.

Antara penerima bantuan dana MAIS adalah Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor(LKPIS),Yayasan Kasih Tauhid, Yayasan Ikhlas dan Yayasan Al-Jenderami.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.