Perlembagaan Persekutuan: 62 tahun merdeka

Perlembagaan Persekutuan: 62 tahun merdeka
Oleh PROF. MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL

 

PADA 31 Ogos 2019, negara tercinta kita Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke-62.

Ini bermakna Inggeris, penjajah terakhir kita telah meninggalkan negara ini 62 tahun yang lalu.

Perlu difahami bahawa perjalanan menuju kemerdekaan ini melalui beberapa liku yang mencabar.

Orang Melayu yang sinonim dengan taat setia kepada Raja bangkit menentang Inggeris sejak penjajahan lagi.

Nama seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Bahaman, Dol Said dan Mat Kilau merupakan antara tokoh pejuang Melayu yang sanggup menggunakan senjata menentang Inggeris.

Bahkan ada yang menggadaikan nyawa seperti Dato’ Maharaja Lela yang mati dihukum gantung sampai mati kerana membunuh JWW Birch, Residen Inggeris di Perak kerana tidak mahu campur tangan Inggeris dalam hal ehwal negeri.

Bahkan beberapa peperangan yang dilancarkan oleh pihak Inggeris dengan kerjasama pembesar Pahang terhadap Dato’ Bahaman dan pengikutnya gagal kerana semangat kebencian Dato’ Bahaman dan orang Melayu terhadap Inggeris begitu menebal.

Mereka tidak mahu balai polis Inggeris dibina dalam kawasan yang dimiliki oleh mereka.

Begitu juga, mereka tidak mahu Inggeris mengutip hasil cukai yang sepatutnya dinikmati oleh penduduk tempatan.

Kebencian campur tangan Inggeris yang mahukan kuasa Raja-raja dikurangkan dengan pengenalan Malayan Union pada 1 April 1946 telah membangkitkan semangat perpaduan Melayu menentang hasrat jahat Inggeris.

Orang Melayu telah berjaya meyakinkan Raja-raja Melayu untuk memboikot perisytiharan Malayan Union.

Akhirnya, rancangan Inggeris gagal dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Melihat kepada kejayaan negara jiran Indonesia yang telah berjaya ‘mengusir’ Belanda dari tanahair mereka, orang Melayu bangkit berjuang untuk mendapat kemerdekaan Tanah Melayu.

Umum mengetahui bahawa Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki pada hari ini merupakan satu dokumen yang berteraskan “tolak ansur” hasil penerimaan oleh semua pihak dari pelbagai agama dan bangsa.

Ia merupakan satu kontrak sosial yang dipersetujui oleh tiga etnik besar iaitu Melayu, Cina dan India yang membentuk Parti Perikatan.

Peranan Raja-raja Melayu juga tidak kurang pentingnya.

Ini kerana, Suruhanjaya Reid yang diberi tugas untuk menggubal satu perlembagaan bertulis bagi Tanah Melayu yang merdeka telah mengadakan 118 persidangan dan menerima 131 memorandum dari semua pihak termasuk Raja-raja Melayu.

Hasilnya, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang mula terpakai pada 31 Ogos 1957 merupakan satu dokumen yang dapat diterima oleh semua pihak.

Meskipun pada kaca mata kasar Perlembagaan ini nampak bersifat berat sebelah, terutama yang melibatkan hak-hak tertentu seperti kedudukan agama Islam (Perkara 3), hak-hak keistimewaan orang Melayu dan pribumi (Perkara 153), Bahasa Melayu (Perkara 152) dan kedudukan Raja-raja Melayu. Tetapi demi untuk kebaikan bersama semua pihak dan melakukan keadilan (meletak sesuatu pada tempatnya), maka sudah pasti kita perlu memastikan Perlembagaan yang digubal sedemikian rupa kekal dan tidak menyimpang dari tujuan asal pihak yang menggubalnya.

Dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963 (Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965), peruntukan dalam dokumen tertinggi ini diterima pakai kecuali dalam 20 perkara khusus yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak, antaranya mengenai bidang kuasa undang-undang adat termasuk hal ehwal yang terkandung dalam undang-undang keluarga termasuk Mahkamah Adat; hal ehwal berkaitan imigresen; perkapalan dan pelabuhan; pembayaran 10% royalti hasil mineral dan lain-lain (Jadual Kesembilan, Senarai IIA,IIIA; Jadual Kesepuluh, Bahagian IV dan V, Perlembagaan Persekutuan).

Dalam mengamati kehidupan aman damai, sejarah hitam pada 13 Mei 1969 telah mencalar hubungan kekitaan antara kaum. Berlaku pertumpahan darah antara kaum Melayu dan Cina kerana orang Melayu merasakan orang Cina telah mengambil hak ekonomi tempatan.

Akibatnya, Parlimen digantung dan sebuah badan pemerintah dibentuk pada 16 Mei 1969 dan dikenal sebagai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN.

Bagi memupuk rapat hubungan kaum yang telah tercalar itu, Rukun Negara telah digagaskan pada 31 Ogos 1970.

Ia telah diisytiharkan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong ke IV, Almarhum Sultan Terengganu.

Kepentingan Rukun Negara adalah kerana ia merupakan satu deklarasi yang membawa cita-cita Malaysia ke arah:

1) Mencapai perpaduan yang lebih erat;

2) Memelihara satu cara hidup demokratik;

3) Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;

4) Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak; dan

5) Membina satu masyarakat progresif dengan penggunaan sains dan teknolgi moden.

Justeru bagi mencapai cita-cita tersebut, lima prinsip Rukun Negara:

1) Kepercayaan kepada Tuhan;

2) Kesetiaan kepada Raja dan Negara;

3) Keluhuran Perlembagaan;

4) Kedaulatan Undang-undang; dan

5) Kesopanan dan Kesusilaan.

Kelima-lima prinsip Rukun Negara ini menjadi tunjang dan dasar negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Kepentingan dan relevannya Rukun Negara sehingga hari ini ialah ia mendokong tiga cita-cita utama:

Pertama: Perpaduan yang lebih erat di kalangan rakyat Malaysia.
Ini penting kerana latar belakang sejarah pembentukan negara Malaysia yang melalui beberapa cabaran dan halangan.

Penolakan pembentukan Malayan Union pada tahun 1946 oleh Raja-raja Melayu dan etnik Melayu walaupun ia tidak mendapat sambutan dari kalangan bukan pribumi.

Hasilnya, ia diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Selepas itu, suara-suara tuntutan kepada kemerdekaan begitu kuat dan lantang tetapi penjajah memberi satu pra syarat bahawa kemerdekaan hanya akan diberi sekiranya semua etnik dapat ‘bekerjasama’ dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Dengan hubungan erat dan toleransi antara kaum yang menyaksikan semangat tolak ansur, negara bebas dari penjajah Inggeris pada 31 Ogos 1957.

Pembentukan negara Malaysia dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura pada tahun 1963 menyaksikan kewujudan lebih ramai etnik dan agama.

Mungkin Singapura tidak berbeza dengan Pulau Pinang dan bandar-bandar besar di Barat Semenanjung Malaysia yang menyaksikan penduduk majoriti etnik Cina, tetapi pelbagai etnik dan suku datangnya dari Sabah dan Sarawak.

Justeru, kerana mahukan identiti dan hak negeri mereka dikekalkan, perjanjian 20 perkara untuk Sabah dan Sarawak telah dimetraikan dan sebahagian besarnya dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Laut Cina Selatan yang memisahkan warga Semenanjung dan Sabah & Sarawak mesti dipadurapatkan untuk membentuk bangsa Malaysia.

Maka, Rukun Negara merupakan platform penting membentuk perpaduan erat yang dimaksudkan itu.

Kedua: Jurang ekonomi yang agak jauh antara penduduk pribumi dan ‘pendatang’
Timbul irihati dan prasangka buruk antara keduanya.

Sehingga penduduk pribumi dipandang hina dan rendah oleh golongan ‘pendatang” menyebabkan berlaku rusuhan, kacau bilau dan pembunuhan antara keduanya pada 13 Mei 1969.

Akibatnya, Perlembagaan digantung dan sebuah kerajaan mageran ditubuhkan bagi mengembalikan keamanan.

Bagi mengurangkan jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin supaya kekayaan negara dapat dikecapi secara adil dan saksama, maka mulai saat Rukun Negara diisytiharkan, Dasar Ekonomi Baru (DEB) Pertama diperkenalkan.

Ketiga: Perlembagaan Persekutuan merupakan dokumen dan undang-undang tertinggi
Ini termaktub dalam Perkara 4(1). Ia tidak bermakna kalau keluhuran Perlembagaan itu tidak diamati. Ia perlu dipertahankan oleh semua rakyat Malaysia bagi mencegah sesetengah pihak yang mengambil sikap pilih kasih dalam pelaksaan undang-undang. Ini bertepatan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kesamarataan kepada setiap individu.

Kontrak Sosial Di Era Malaysia Baharu Pendekatan “tolak ansur” dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilihat dengan jelas dalam satu ikatan yang dikenali sebagai “kontrak sosial” antara penduduk pribumi iaitu orang Melayu, Cina dan India dalam beberapa perkara yang melibatkan agama Islam, kedudukan raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.

Sebagai balasan dalam kontrak sosial ini, golongan minoriti yang bukan Melayu mendapat hak kerakyatan, hak kebebasan beragama, hak berkebudayaan, hak pendidikan dan ekonomi.

Tiga etnik besar ini berganding bahu berkongsi kuasa politik memerintah negara.

Ia menggambarkan bahawa masyarakat plural yang terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan kebudayaan adalah seumpama pelangi yang berbeza warnanya tetapi “bersama-sama” membentuknya.

Kepelbagaian budaya, bahasa, cara hidup, pertubuhan politik dan ekonomi, serta undang-undang perkahwinan yang berbeza menyaksikan komuniti Malaysia dapat hidup aman dan damai.

Sesungguhnya, masyarakat plural di Malaysia merupakan satu aset besar negara walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang kuat dek perbezaan agama, bangsa dan ideologi.

Walaupun Malaysia adalah ibarat sebuah teko yang panas tetapi kaya dengan mozek budaya (instead of melting pot, Malaysia is a rich cultural mosaic).

Tetapi, terdapat sesetengah pihak kurang memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara holistik.

Bagi mereka perkataan “kontrak sosial” tidak wujud dalam Perlembagaan.

Memang benar, perkataan ini tidak ada dalam Perlembagaan seperti perkataan “demokrasi”, “peraturan dan undang-undang”, “pengasingan kuasa” dan “kebebasan badan kehakiman”.

Persoalannya, apakah prinsip-prinsip ini tidak wujud dalam roh Perlembagaan? Adalah salah seandainya seseorang itu mengatakan bahawa Perlembagaan itu “membisu” dalam perkara tersebut kerana tidak tersurat sesuatu perkataan itu.

Ternyata bahawa di dalam Perlembagaan itu terdapat banyak perkara yang tersirat, tidak disebut satu persatu dan idea yang tidak tekstual. Penafian kewujudan kontrak sosial, sebenarnya menafikan kewujudan memorandum yang dimajukan oleh Perikatan kepada Suruhanjaya Reid.

Kesimpulan: Sesungguhnya Perlembagaan Persekutuan merupakan datu dokumen yang mengimbangi kedudukan kaum majoriti pribumi dan kaum minoriti yang lain.

Rahsianya ialah ”tolak ansur” iaitu “memberi dan menerima” (give and take) serta berkompromi atara satu sama lain, bebas dari ideologi dan pegangan agama yang ekstrem.

Ini adalah tujuan sebenar kehendak penggubal Perlembagaan dan nenek moyang kita yang mahukan setiap individu di Malaysia dapat menikmati kehidupan aman, damai dan tenteram.

Ia menyaksikan semua kaum dari pelbagai latar belakang agama dan etnik mendapat habuan masing-masing.

Semangat toleransi yang tinggi dan penerimaan kontrak sosial oleh tiga etnik terbesar dan etnik kecil yang lain serta etnik di Sabah dan Sarawak, sebenarnya adalah lahir dari pendekatan kekitaan yang kita sekian lama warisi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya, terdapat pihak-pihak yang mahukan kesamarataan (equality) secara total, sering merujuk kepada Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Rujukan ini tidak boleh dibuat secara harfiah. Ia mesti dibaca secara holistik dengan merujuk kepada peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan.

Budaya yang diwarisi dianggap sebagai ancaman untuk sesuatu kaum meskipun ianya tidak menjadi masalah dan isu suatu masa dahulu.

Semangat patriotisme semakin terhakis di kalangan generasi muda kerana mereka lupa sejarah penubuhan negara tercinta.

Isu-isu hangat yang ditimbulkan seperti khat, jawi, penguasaan Bahasa Melayu, “Buy Muslim First (BMF)” dan “Boikot Produk Bukan Islam” bukanlah perkara baru dalam era Malaysia Baharu. Ianya sentiasa dihangat dan kemudian dipanaskan oleh sesetengah pihak kerana mahukan ketidakstabilan sosial dan ekonomi.

Perlembagaan Persekutuan juga menekankan supaya rakyat Malaysia hidup dengan aman dan damai tanpa melihat kepada latar belakang agama, bangsa atau suku kaum.

 

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

 

— BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.