Ribut landa Kuala Kurau

 Ribut landa Kuala Kurau
PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari (tiga kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Parit Mat Ali, Sungai Baru, Kuala Kurau, Sulaiman Jama’an. STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

 

PARIT BUNTAR — Empat sekeluarga yang sedang tidur di tingkat atas rumah sempat melarikan diri ketika bumbung rumah diterbangkan dalam kejadian ribut hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Sulaiman Jama’an, 54, dari Kampung Parit Mat Ali, Sungai Baru, Kuala Kurau, berkata dia tersedar selepas mendengar bunyi tiupan angin kuat dan mengejutkan isteri dan dua anaknya yang sedang tidur.

Katanya, mereka yang ketakutan dengan bunyi deruan angin yang kuat itu segera turun ke bahagian bawah rumah bagi berlindung daripada sebarang kejadian tidak diingini.

“Ketika kejadian, saya baru terjaga dari tidur disebabkan bunyi kuat seperti bumbung diangkat.

“Saya segera menggerakkan keluarga agar turun ke bahagian bawah rumah dan sebaik sahaja turun, keseluruhan bumbung hilang diterbangkan angin dalam sekelip mata.

“Mujur ketika bumbung diangkat, kami dah berada di bahagian bawah rumah kerana ada kayu alang yang patah jatuh di kawasan tempat tidur kami,” katanya.Sulaiman ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari, bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, sehingga jam 4 petang tadi, pihaknya menerima laporan sebanyak 15 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau mengalami kerosakan dan tiga daripadanya mengalami kerosakan kritikal akibat ribut.

Menurutnya, pihaknya terdahulu menyampaikan bantuan awal berbentuk wang tunai dari Tabung Bencana Daerah sertabarangan berbentuk kelengkapan daripada pihak JKM.

“Penduduk khususnya di kawasan Kuala Kurau dan berhampiran laut dinasihatkan agar berhati-hati dan bersedia dengan sebarang kejadian berikutan difahamkan akan ada amaran ribut petir di kawasan ini.

“Justeru, selain penduduk, pengurusan kesemua ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) disaran lebih bersedia dan membantu mangsa yang terbabit bencana,” katanya.

-NSTP
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.