Syiah perlu diberi kebebasan amal mazhab asalkan ‘tertutup’, kata mufti Pulau Pinang

“Kalau para penganut semua agama selain Islam dibenarkan mengamalkan agama masing-masing di tempat-tempat tertutup, kenapa pula pengikut Syiah perlu dilarang?"

Syiah perlu diberi kebebasan amal mazhab asalkan ‘tertutup’, kata mufti Pulau Pinang

PENGIKUT ajaran Syiah sepatutnya diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan mereka selagi mereka tidak menyebarkan kepada umat Islam lain yang berpegang kepada aliran Sunnah, kata Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

“Kalau para penganut semua agama selain Islam dibenarkan mengamalkan agama masing-masing di tempat-tempat tertutup, kenapa pula pengikut Syiah perlu dilarang?

“Kita mesti konsisten dan tidak memilih-milih sesuka hati saja,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas mengenai beberapa serbuan dan tangkapan pihak berkuasa terhadap pengikut Syiah di dua negeri baru-baru ini.

Wan Salim bagaimanapun berkata pengikut mazhab Syiah perlu menjalankan upacara mereka secara tertutup untuk mengelak kecelaruan di kalangan umat Islam dan menimbulkan perpecahan ummah.

Beliau menasihatkan umat Islam beraliran Syiah untuk menghormati majoriti umat Islam aliran Sunnah dengan tidak bertindak menyebarkan fahaman itu di Malaysia.

Katanya, isu mengenai hak agama pengikut Syiah menimbulkan dilema kepada kerajaan Malaysia.

“Dari satu sudut, kerajaan perlu menghormati mazhab yang diikuti oleh golongan terbanyak umat Islam Malaysia, manakala dari sudut lain pula kerajaan perlu menjaga hubungan baik antara Malaysia dengan Iran dan mungkin juga beberapa negara lain yang penduduknya berpegang kepada fahaman Syiah,” katanya.

“Justeru tidaklah bijak hubungan baik yang sedia terjalin selama ini dikeruhkan oleh tindakan segelintir penganut Syiah yang dilihat cuba mengembangkan fahaman mereka atau menonjolkannya kepada khalayak umat Islam di negara ini,” katanya.

Wan Salim akur dengan hak pihak berkuasa agama negeri mengambil tindakan yang difikirkan wajar terhadap pengikut Syiah atas kepentingan masyarakat Islam di bawah tanggungjawabnya.

“Ini termasuk menahan individu atau kumpulan yang dianggap boleh mengelirukan kefahaman agama masyarakat Islam di negeri masing-masing.

“Di samping itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2 dan 3 Mei 1996 memutuskan sebarang ajaran mengenai agama Islam selain Sunnah wal Jamaah adalah dianggap bercanggah dengan hukum syarak dan dilarang penyebarannya.”

Menurutnya, perlu ada keseimbangan di antara menjaga hak perlembagaan dan mempertahankan status Islam sebagai agama persekutuan.

Pihak berkuasa agama di Selangor dan Johor sebelum ini menahan berpuluh-puluh pengikut aliran Syiah, dalam beberapa serbuan sempena Hari Ashura yang memperingati ulangtahun kematian Sayyidina Hussein, cucu Nabi Muhammad.

Tindakan itu dikritik Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), yang menyifatkannya melanggari hak perlembagaan umat Islam Syiah untuk bebas mengamalkan agama.

Mazhab Syiah, yang mempunyai ramai pengikut di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa bahagian Arab Saudi, Yaman dan Pakistan, adalah aliran Islam kedua terbesar.

Bagaimanapun, pihak berkuasa agama di Malaysia mengeluarkan fatwa mengisytiharkan ajaran Syiah menyimpang, sementara khutbah Jumaat di Selangor kerap mengutuk aliran Syiah sebagai sesat.

http://bit.do/e8gRZ
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.