UAE ‘koyak’ di kiri, Stadium Nasional dipuji

UAE ‘koyak’ di kiri, Stadium Nasional dipuji
PEMAIN Malaysia Muhammad Akhyar Abdul Rashid terjatuh ketika cuba menyerang pertahanan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2030 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. UAE berjaya menumpaskan skuad Harimau Malaya dengan 2-1. –fotoBERNAMA

 

Oleh KAKI BANGKU

 

JURULATIH Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bert van Marwijk mengakui asakan oleh bek dan sayap kanan Harimau Malaya, Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh banyak meninggalkan kelemahan pada bahagian kiri bentengnya.

Warga Belanda itu turut mengaitkan gerak-geri dua anak buahnya, Ahmed Barman dan Walid Abbas di situ yang mendorong gol tunggal Malaysia hasil tandukan Syafiq Ahmad dalam tempoh 36 saat babak pertama itu.

“Taktikal kami tidak bagus apabila bertahan di kiri. Saya cuba perbetulkannya ketika perlawanan tetapi bukan senang dan hanya dalam babak kedua, kami tambah seorang pemain di situ, masalah itu tiada lagi.

“Sebenarnya 11 pemain kami tidak bermain baik dalam babak pertama. Kami bermula dengan teruk sehingga dibolosi begitu cepat. Kami ada tujuh pemain muda yang sukar untuk biasakan mereka dengan pengalaman ini dan dalam masa yang sama, mahukan kemenangan.

“Kadang-kadang Barman dan Walid berada di tengah dan kanan serentak. Mereka hilang tumpuan tetapi saya tidak tukar pemain ketika rehat separuh masa. Saya berikan peluang mereka lagi untuk perbaikinya dalam babak kedua dan mereka berjaya atasinya,” katanya.

Van Marwijk mengulas prestasi UAE yang menewaskan Malaysia 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam untuk menduduki tempat kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023.

“Saya tengok pasukan Malaysia kepenatan mungkin akibat perlawanan pertama (Khamis lalu) namun ketika jurulatih anda (Tan Cheng Hoe) tukar (tiga) pemain, mereka jadi lebih bersemangat dan kembali mengasak kami dalam 10 atau 15 minit terakhir.

“Kami juga bekerja keras dan akhirnya gembira menang sini. Saya rasa tidak banyak negara luar yang menang di stadium ini yang saya ucapkan tahniah kepada Malaysia kerana mempunyai antara yang tercantik di dunia.

“Yang sedihnya anda tidak boleh bermain corak pantas di padangnya,” katanya yang membantu Belanda muncul naib juara Piala Dunia 2010 selain melatih Arab Saudi menentang Malaysia dan UAE dalam Kumpulan A. Kelayakan Piala Dunia 2018-Piala Asia 2019.

Kekalahan ini merupakan yang ke-10 buat Malaysia sepanjang 13 pertemuan dengan Al Abyad (Si Putih) sejak 20 September 1980 termasuk seri sekali dengan kali terakhir lawan ditumpaskan ialah 2-1 dalam Pestabola Merdeka pada 7 Ogos 1982.

Skuad Cheng Hoe bakal bertandang ke Stadium My Dinh, Hanoi untuk menghadapi Vietnam bagi perlawanan ketiganya dalam kelayakan ini pada 10 Oktober. ‘Si Naga Emas’ mengikat Thailand 0-0 di Pathum Thani, Bangkok Khamis lalu.

Thailand atau ‘Gajah Perang’ kini menerajui Kumpulan G dengan empat mata setelah turut membenam Indonesia 3-0 di Jakarta, semalam, diikuti UAE (tiga mata dan bermain sekali) dan Harimau Malaya yang membaham Garuda 3-2 di ‘sarangnya’, tiga mata tetapi dipisahkan dengan beza gol.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.