Usah Tun M gelisah, biar UMNO-Pas tentukan hala tuju sendiri

Usah Tun M gelisah, biar UMNO-Pas tentukan hala tuju sendiri
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

JOHOR BAHRU – “Secara peribadi, saya sangat tidak faham, mengapa Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) begitu sakit hati dan gelisah jika orang Melayu bersatu dan berbaik-baik. Bukankah, pada saat dan usia sebegini Tun sepatutnya menyaran dan mencontohkan kepada kami untuk berbaik-baik, mengeratkan hubungan sesama saudara seagama dan bekerjasama memberikan kebaikan kepada rakyat?”

Demikian ditegaskan dan reaksi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tentang kenyataan Perdana Menteri bahawa Pas perlu meminta maaf kepada UMNO kerana pernah menyifatkan bekas parti tunjang pemerintah itu sebagai kafir suatu ketika dahulu.

Mohamed Khaled berkata, sepatutnya nasihat yang baik lebih cocok dan serasi dengan imej Dr. Mahathir sebagai seorang negarawan dan tokoh Melayu.

“Saya harap Tun Mahathir tidak lagi akan mengeluarkan kenyataan dan saranan yang mengungkit-ungkit kesilapan lepas dengan hasrat melihat kami terus berpecah. Amat sedih jika perkara sebegitu masih terus menjadi pilihan bagi Tun Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor menegaskan demi bangsa, agama dan negara ini, UMNO dan Pas akan terus bersatu dan telah melupakan segala persengketaan antara mereka.

“Yang ada, hanya keyakinan dan iltizam untuk kami bersama-sama membina masa depan yang lebih baik untuk semua, insya-Allah,” katanya.

Beliau mengakui sangat terkejut dan keliru serta tidak faham dengan ketaasuban Tun Mahathir terhadap UMNO dan Pas kerana setiap gerakan, tindakan oleh kedua-dua parti Melayu terbesar itu pasti akan mengundang perhatian rapat, ulasan segera serta pandangan serius daripada beliau.

Bukan setakat itu, kini Tun Mahathir sudah sampai ke tahap menjadi pihak yang memberikan pula cadangan dan saranan bagaimana kedua-dua parti ini harus bekerjasama.

“Terbaru, beliau pula yang tidak semena-mena tampil meletakkan syarat bahawa UMNO-Pas hanya boleh bekerjasama jika Pas meminta maaf kepada UMNO terlebih dahulu.

“Saya ingin tegaskan bahawa saranan tersebut, tidak kami perlukan. Pertama, benarlah nasihat adalah perkara yang baik, akan tetapi buat masa ini, saya yakin UMNO dan Pas tidak memerlukan saranan dan nasihat daripada Tun Mahathir khususnya dalam urusan dalaman kami dan bagaimana kami akan kembali menyantuni orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Kedua, katanya, mengapa Tun Mahathir bersikap double standard kerana semasa Tun dan DAP mahu bekerjasama, adakah syarat meminta maaf yang serupa telah Tun letakkan kepada mereka atau adakah Tun sendiri mengambil pendekatan berjiwa besar dengan meminta maaf kepada Lim Kit Siang dan DAP secara umum atas segala gelaran cauvinis, rasis dan kata-kata buruk yang Tun lemparkan kepada mereka sebelum ini sebelum Tun kembali mendakap mereka?

“Demikian juga apabila Tun mahu bekerjasama dengan YB Mohamad Sabu dan PAN. Adakah Tun meletakkan syarat yang sama kepada beliau yang pernah mengeluarkan ungkapan ‘penyangak’ kepada Tun? Atau adakah Tun sendiri pernah meminta maaf kepada beliau atas segala gelaran buruk yang Tun gunakan ke atas YB Mohamad Sabu?

“Saya percaya perkara yang sama juga terpakai dalam kes Tun dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR,” katanya.

Ketiga, sampai bila Tun Mahathir mahu menjadi batu api dan mengungkit-ungkit perkara silam, katanya.

Mohamed Khaled mengakui segala perselisihan antara UMNO dan Pas amat disedari kedua-dua belah pihak dan kini telah ditinggalkan demi perpaduan ummah.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.