Aplikasi MYWC dilancar bagi bantu carian tandas awam

Aplikasi MYWC dilancar bagi bantu carian tandas awam
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan warga kerja kementerian dan agensi bergambar bersama maskot WC selepas melancarkan Aplikasi MyWC (My Water Closet) pada majlis sambutan Hari Inovasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Seri Mohammad Mentek (depan, empat kiri). –fotoBERNAMA

 

PUTRAJAYA — Aplikasi mudah alih MyWc (My Water Closet) diperkenalkan bagi membantu orang awam dalam carian tandas awam berpandukan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan jarak tandas awam dari pengguna.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata aplikasi yang dibangunkan Jabatan Kerajaan Tempatan itu membolehkan pengguna mendapatkan maklumat tandas berdasarkan penarafan bintang, tandas berbayar dan tidak berbayar.

“Pengguna juga dapat mengetahui tentang kemudahan lain yang terdapat di setiap tandas seperti keperluan orang kurang upaya dan kemudahan bilik tukar lampin bayi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu pada sambutan Hari Inovasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2019 di sini hari ini.

Sebanyak 2,625 buah tandas telah dimuat naik ke aplikasi MyWc itu yang merangkumi tandas awam milik pihak berkuasa tempatan (PBT), perhentian awam, sekolah, restoran, stesen minyak, kawasan pelancongan, pusat beli-belah dan pejabat kerajaan di seluruh negara, katanya.

Beliau berkata aplikasi itu menggunakan data yang diperoleh daripada pengkalan data asas yang dinamakan Daftar Tandas Awam Seluruh Malaysia (DATAM).

Ditanya mengenai loji pertama penghasilan tenaga daripada bahan buangan (waste-to-energy-WTE plant) di Tanah Merah, Negeri Sembilan yang pada awalnya dijadualkan memulakan operasinya pada Jun lepas, Zuraida berkata perancangan itu dipanjangkan tempohnya sehingga Disember disebabkan isu-isu teknikal membabitkan jalan penghubung.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.