Kisah cinta Habibie-Ainun, kematian bukan lagi menakutkan

Kisah cinta Habibie-Ainun, kematian bukan lagi menakutkan
Oleh FAUZAN UDA AHMAD

 

BACHARUDDIN Jusuf (BJ) Habibie kembali ke rahmatullah. Dia kembali menemui Ainun, kekasih belahan jiwanya, yang menemui Yang Maha Pencipta lebih awal pada 22 Mei 2010.

Tempoh berjarak sembilan tahun memisahkan pasangan ini. Hari ini, Khamis, 12 September, jenazah Habibie dikebumikan di Taman Pahlawan Nasional Kalibata, Jakarta Selatan.

Jasad presiden ke-3 Republik Indonesia ini ditempatkan di sebelah kubur Hasri Ainun Besari, lapor CNN Indonesia.

Kisah kasih Habibie dan Ainun dianggap sebagai cerita cinta yang sempurna dan menjadi inspirasi banyak pasangan di dalam negeri. Cinta mereka digambarkan sempurna.

Cinta kedua-dua pasangan sebaliknya bukanlah cinta pandang pertama. Lelaki yang ‘genius’ yang dikenali dengan panggilan Rudy sudah mengenal Ainun sejak masih berusia 12 tahun.

Habibie pada mulanya tidak tertarik dengan Ainun. Kalau pun Rudy ini kerap datang ke rumah Ainun, tujuannya adalah untuk belajar dengan ayah gadis tersebut.

Bahkan ketika kedua-duanya di bangku sekolah menengah yang sama, tidak ada cinta di hati Habibie. Begitu juga dengan Ainun.

Kedua-duanya kemudian berpisah selepas sekolah menengah. Habibie meninggalkan tanah air untuk belajar dan bekerja di Jerman.

Sekian lama berpisah, Habibie dan Ainun kembali bertemu. Sekembali dari Jerman, Habibie diajak orang tuanya bertandang ke rumah Ainun.

Ketika itulah cintanya mulai bersemi. Habibie terpesona dengan Ainun. Wanita yang sempat digelarnya sebagai ‘gula jawa’, sudah berubah bagai ‘gula pasir’.

Rudy jatuh hati. Cintanya bersambut dan berakhir dijenjang pelaminan pada 12 Mei 1962. Lantas, lahirlah dua buah cinta, iaitu Ilham Akbar Habibie dan Thareq Kemal Habibie.

Kedua-dua pasangan mengharungi pahit manis kehidupan baik waktu susah dan juga waktu senang. Malah, ketika Ainun harus menjalani rawatan akibat kanser di sebuah hospital di Singapura, Habibie tetap setia wanita yang amat dikasihinya.

Kedua-duanya saling menghormati, memahami dan bersumpah setia. Sekali lagi atas nama cinta.

“Kamu itu orang paling keras kepala dan paling sulit yang pernah aku kenal. Tapi jika aku harus mengulang hidupku, aku akan tetap memilih kamu,” begitu kutipan dialog Ainun dalam filem Habibie dan Ainun yang menggambarkan cinta keduanya.

Tiada siapa yang mampu menghindari takdir. Kematian memisahkan mereka di dunia. Tanggal 22 Mei 2010 menjadi hari yang paling memilukan bagi Habibie. Wanita yang setia menemani hidupnya selama 48 tahun berpulang ke hadrat tuhannya.

Dia sedih, sangat berduka. Air mata tak terbendung, mengiringi tubuh Ainun dikebumikan selepas lama sakit.

Meski raga terpisah, cinta Ainun tetap hidup di hati Habibie. Dia setia mengunjungi pusara kekasihnya untuk meletakkan bunga segar pada setiap hari Jumaat.

Kisah cinta yang tak lekang dek waktu itu kini dimulai kembali . Habibie kini pulang menyusul belahan hatinya. Jika kematian terdahulu memisahkan, kini kematian juga menyatukan mereka.

“Dulu saya takut sekali mati, tapi sekarang tidak karena yang pertama menemui saya adalah Ainun,” ujar Habibie dalam acara Mata Najwa di NTV7 beberapa waktu lalu.

Ah, padahal sebelumnya Habibie begitu takut mati. Bukan tanpa alasan. “Kalau saya mati, siapa yang jaga Ainun, siapa yang kawani dia?” katanya.
Jadi, selamat jalan Habibie. Selamat bertemu kembali dengan kekasih hati.

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.