Animasi canggih, skrip elemen cerita dongeng kejayaan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal

Animasi Upin & Ipin memiliki peminatnya tersendiri berikutan jalan ceritanya yang padat dengan unsur nasihat dan menghiburkan.

Animasi canggih, skrip elemen cerita dongeng kejayaan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal

TIDAK dinafikan bukan sahaja kanak-kanak malah ibu bapa dan orang dewasa juga turut sama meminati siri Upin & Ipin ini, malah ada yang boleh meniru gaya dan dialog setiap watak dalam animasi itu.

Terbaharu, filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal telah memenangi anugerah Filem Cetera Terbaik di Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (ANIMAZE) di Montreal, Kanada.

Perkongsian berita gembira dan cukup membanggakan itu dikongsi sendiri oleh Les’ Copaque di Twitter.

Menurut salah seorang pengarah yang bertanggungjawab dalam filem itu Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal telah memenangi award dalam kategori “featured” filem dan diberi penghargaan khas kepada skrip.

“Dari pengalaman saya disana semasa menayangkan Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal buat kali pertama di negara barat…majoriti yang menontonnya sangat teruja dan tidak sangka melihat kualiti animasi 3D dari Malaysia sudah sampai ke tahap ini.

“Tetapi apa yang membuat mereka lebih teruja adalah kandungan yang dibawa di dalam animasi tersebut yang kaya dan menonjolkan nilai budaya dan nilai-nilai murni yang kurang di ketengahkan dalam kebanyakan animasi kini,” katanya kepada FMT.

Tambah beliau selepas menonton tayangan tersebut, juri menjadi lebih teruja apabila mendengar cerita bahawa setiap karektor yang mereka lihat didalam filem itu adalah berdasarkan kepada cerita dongeng dan setiap satu daripada mereka mempunyai cerita sendiri seperti Mat Jenin, Si Tanggang, Mak Deruma dan Raja Bersiong.

“Salah seorang daripada mereka mengatakan perasaan dia hampir sama ketika anime buat pertama kalinya diperkenalkan di negara barat. Kami berasa bangga filem kami berjaya menang diantara 65 filem- filem lain dari seluruh dunia,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, ANIMAZE adalah festival filem antarabangsa berpangkalan di Montreal yang dianjurkan untuk mengiktiraf karya animasi dari seluruh dunia.

Filem arahan Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim dan Ahmad Razuri Roseli terbitan Les’ Copaque Production itu merupakan antara 65 filem dari seluruh dunia yang dipertandingkan.

Dengan kemenangan ini, Syed Nurfaiz Khalid tidak menafikan ia akan menjadi pemangkin kepada dirinya serta rakan seperjuangannya untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti tinggi dengan tidak mengabaikan nilai-nilai murni budaya masyarakat Malaysia.

“Sudah tentu ini memberi semangat kepada kami untuk filem animasi seterusnya akan tetapi kepentingan Les’ Copaque adalah sentiasa untuk mengeluar produk-produk berkualiti tinggi dan mampu membawa budaya dan negara kita ke mata dunia.

“Dengan kemenangan ini kami tahu kami dalam hala tuju yang benar.”

Untuk pengetahuan setakat ini kutipan bagi filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal di dalam negara telah mencatat RM26.2 juta, manakala kutipan di luar negara mencecah RM20 juta.

Bagaimanapun filem ini masih lagi ditayangkan dan akan ditayangkan di beberapa negara lain seperti China.

“Selaku salah seorang Pengarah dan team dari Upin & Ipin Keris Siamang tunggal, saya ingin berterima kasih kepada semua peminat-peminat kami dan juga semua rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan kepada hasil karya kami sampai mampu dibawa ke mata dunia.

“Kami juga berharap sokongan-sokongan tersebut akan diteruskan dalam perjuangan kami untuk menghasilkan kandungan animasi yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa yang akan datang.”

http://bit.do/e8sgz
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.