KL kembalikan khidmat Zul sasar final PERR

0
65
BARISAN pegawai dan pemain skuad Piala Emas Raja-raja Kuala Lumpur melaungkan sorakan semangat pada majlis pelancaran di ibu negara.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

GAGAL yang lalu, ‘barakan’ yang baharu.

Kuala Lumpur kembali mendapatkan khidmat Zulkifli Samion dalam misi besarnya memburu tiket perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-79, 2019 di Kedah yang bermula esok.

Kegagalan melepasi peringkat awal musim lalu, mendorong Persatuan Bola Sepak Melayu Kuala Lumpur (PBMKL) memilih semula bekas jurulatih skuad Piala Presiden Kuala Lumpur dan Felda United ini.

“Musim lalu, Kuala Lumpur dilatih Mat Zan Mat Aris yang gagal pada saingan pusingan awal lagi namun musim ini kami dapat semula khidmat Zulkifli yang pernah bawa pasukan ke separuh akhir PERR 2017. Dia juga seorang jurulatih berpengalaman.

RAMLAN Askolani (kiri) di samping Zulkifli Samion memberikan kata-kata perangsang kepada tonggak skuad Piala Emas Raja-raja Kuala Lumpur.

“Kami yakin dengan khidmatnya, Kuala Lumpur akan mencapai sasaran saya, ke final PERR,” kata Presiden PBMKL, Datuk Ramlan Askolani pada majlis pelancaran pasukan di Restoran Warisan, Dataran Merdeka di ibu negara.

Kuala Lumpur diundi dalam Kumpulan D PERR yang beraksi di Universiti Utara Malaysia, Sintok dengan tuan rumah, Kedah, Perlis dan Perak yang menjadi lawan sulungnya pada Ahad ini.

Kuala Lumpur pernah bergelar juara PERR sekali iaitu pada 1994 dengan mengalahkan Perlis 2-1.

“Saingan PERR masih terbuka kerana tanpa pemain Liga Super dan Perdana. Kuala Lumpur juga membuat persediaan rapi bagi menghadapinya dengan memenangi tiga perlawanan pemanas badan, baru-baru ini.

RAMLAN Askolani

“Antaranya kami mengalahkan Kingstown Klang FC (pasukan Kumpulan B PERR) 4-0 dan Kilat Metro, seri dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) FC (Kumpulan A) dan kalah tipis 2-1 kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Kami kekalkan 10 pemain musim lalu dan digandingkan dengan pemain Piala Presiden Selangor, Kuala Lumpur dan Felda United. Dengan disiplin tinggi dan latihan pesat serta pengalaman Zulkifli, kami yakin mampu menyerlah,” katanya.

Ramlan ialah bekas pemain Kuala Lumpur dari 1982 hingga 1990 yang pernah menjulang Piala Malaysia tiga kali (1987 hingga 1989) turut memiliki 15 penampilan antarabangsa bersama skuad negara.

Mengenai kelebihan penyokong dan gelanggang sendiri milik Kedah dan mungkin jiran Utaranya, Perlis, katanya, “bukan masalah besar bagi Kuala Lumpur. Kami pun pernah kalahkan tuan rumah Perlis yang ketika itu dilabelkan pasukan pilihan PERR, dua tahun lalu.

“Perlawanan pertama dengan Perak akan jadi penentuan kemaraan Kuala Lumpur ke peringkat kalah singkir. Menang kedua-dua perlawanan pertama ini (termasuk dengan Perlis, Isnin ini) akan menjamin tiketnya sekali gus mencerahkan sasaran kami,” katanya.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here