Lelaki ini tidak sangka terjumpa ‘kembar’ sewaktu majlis sanding

0
26
TERSEREMPAK DENGAN KEMBAR: Seorang lelaki Malaysia menemui seorang lain yang mempunyai rupa yang sama dengannya ketika majlis sanding -Foto: FACEBOOK/ZULFADHLI ZULKIFLY

 

UNIK… Seorang lelaki yang hadir dalam satu majlis perkahwinan berdekatan ibu kota Kuala Lumpur terperanjat apabila dapati ada seorang lagi lelaki lain yang memiliki rupa sama dengan dirinya.

Agensi berita Asiaone dipetik akhbar Berita Harian Singapura melaporkan bahawa Azly Yozof, kebetulan sedang menunggu gilirannya untuk rakam gambar bersama pengantin di pelamin.

Dalam insiden pada 8 September itu, beliau kemudian sedar ada lagi seorang lelaki lain yang turut sedang rakam gambar di tempat tersebut yang kelihatan seolah-olah wajahnya sendiri.

Rakaman video yang papar detik luar biasa Azly bertemu dengan ‘kembarnya’ semasa majlis perkahwinan sahabat lamanya itu, menjadi tular sehingga dapat perhatian media antarabangsa.

Menerusi video berdurasi selama 36 saat itu yang dirakam oleh rakannya Amir Zulfadhli Zuklifly, lelaki tersebut dilihat memerhati tetamu di pelamin yang memang seiras penampilan dirinya.

Malah, ‘kembarnya’ itu turut secara kebetulan berkepala licin tanpa rambut, berpakaian kemeja-T berwarna merah, seluar jeans waima memakai kaca mata bingkai warna hitam seperti Azly.

Video berkenaan juga merakam detik ‘kemuncak’ apabila kedua-dua jejaka tersebut bertentang mata sehingga menyebabkan para hadirin di majlis berkenaan turut ketawa bersama-sama.

Insiden lucu itu bahkan dikongsikan menerusi pelbagai portal berita antarabangsa popular atas talian yang lain termasuk berpangkalan di Britain, antaranya Daily Mail, The Sun dan Mirror.

Kisah unik itu turut dikongsi melalui laman berita online yang berpangkalan di Hong Kong dam agensi berita MediaCorp Singapura serta banyak akaun media sosial popular misalnya 9GAG.

“Ini merupakan kali pertama mereka bertemu dan ia sangat menggelikan hati. Siapa sangka bahawa Azly dan si kembarnya akan memakai kemeja-T yang berwarna merah,” tambah Amir.

Beliau berkata bahawa meskipun mereka memiliki wajah seiras dengan satu sama lain, namun kedua-dua individu tersebut sebenarnya tidak mempunyai sebarang pertalian persaudaraan.

“Mereka ibarat kembar seiras. Kami merancang agar mereka berdua dapat bertemu sekali lagi dan kali ini, kami akan rakam gambar mereka secara bersama pula,” terang Amir lagi.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here