Mamat perlu bantuan untuk pulih

Mamat perlu bantuan untuk pulih
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

BILA keluar berita Mamat ditahan polis pada 8 September lalu, tiada siapa yang terkejut kerana itu bukan kali pertama bekas vokalis Exists itu berhadapan dengan pihak berkuasa.

Lain halnya bagi anggota Exists yang rancak mengadakan latihan untuk menjayakan konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September ini, berita tersebut memberi kesan kepada mereka.

Tanpa salah seorang anggota, tema konsert Exists Reunion tidak membawa makna kerana tujuan utama konsert penganjuran Shiraz Projects adalah untuk menggabungkan semua anggota Exists di satu pentas.

Komposer dan pemain keyboard Exists, Ajai berkata, berita penahanan Mamat mengejutkan mereka yang sibuk membuat persediaan untuk konsert tersebut.

Jelasnya, anggota Exists iaitu Along (gitar), Musa (bes), Shah (gitar), Ujang (dram) dan Ezad (vokal), walaupun sedikit kecewa bila mendapat tahu berita tersebut tapi mereka tidak mahu membiarkan Mamat keseorangan.

Atas dasar ‘brotherhood’ mereka sepakat untuk membantu Mamat kembali ke pangkal jalan dan bukan kerana penyanyi itu diperlukan untuk konsert tapi untuk masa depannya sendiri.

“Kami semua sebenarnya berpegang kepada brotherhood. Perkataan brotherhood saja yang mampu mengatasi kemarahan, emosi dan perkataan itu saja boleh tolong. Saya rasa dia dah serik, dia beritahu kami yang dia letih menghadapi prosuder apabila ditahan polis.

“Sebelum ini kita sudah dengar cerita dia tapi tak ada peluang bertemu. Ini kali saja kita bertemu dan ada benda penting kena uruskan dan kena selesaikan semuanya sebelum reunion,” jelas Ajai pada sidang media khas yang diadakan di Bangsar, semalam (12 September).

Menurut Ajai, apa yang berlaku ke atas Mamat ada rahmat yang tak dijangka dan katanya, jika perkara itu tidak berlaku, mungkin rakannya itu akan terus hanyut.

“Mamat tak akan balik Johor. Kita akan pastikan dia sentiasa bersama kita. Dia perlu sokongan kami. Bila kami berbincang, ada bagus juga jadi benda ini, ada rahmatnya. Kalau tak jadi benda ini kita tak tahu dia akan jadi macam mana.

“Saya rasa bila dah jadi begini, ini adalah pengajaran terakhir untuknya. Orang masih lagi saya dia, fikirkan soal dia dan ambil berat tentang dia. Kalau dia tak kenang itu semua, dia akan hilang dalam bidang ini. Sayang bakat dia, Mamat ni bagus tapi pasal benda itu kita tak boleh buat apa-apa. Semoga dia menggunakan peluang ini dengan baik,” kata Ajai.

Sementara itu, Musa berkata, anggota Exists tak pernah belah bagi menyokong Mamat sejak dulu hingga kini. Kali ini semua anggota sepakat untuk membantu Mamat selepas penyanyi itu bersedia untuk menggubah diri.

“Kalau dulu kita tidak boleh nak dekati dia sebab semua dibuat oleh pihak pengurusan. Kali ini berbeza kerana kami tidak ada pihak pengurusan tapi lebih kepada mengurus diri masing-masing.

“Sebelum bantu, kami tanya, kau betul-betul nak berubah tak? Kalau kau betul nak berubah kita akan bantu dan sama-sama bina semula. Bila dia serius untuk baik, kami akan serius untuk bantu dia. Kalau dia tak serius bagi saya buang masa. Saya tak nak buang masa sebab dia bukan anak-anak macam dulu, sekarang sudah jadi bapa,” jelas Musa tentang pendiriannya.

Tambahnya, pada mulanya anggota Exists hanya akan membantu Mamat sehingga selesai konsert di Singapura yang akan berlangsung pada 5 Oktober depan saja.

Namun niat itu berubah apabila Ajai berkata, apa yang berlaku kepada Mamat ada rahmat di sebaliknya. Berpegang kepada semangat sahabat, anggota Exists sepakat untuk membantu Mamat dan mula menyelami isi hatinya.

Bagi Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamaruddin, 41, sokongan yang diberi oleh anggota Exists adalah peluang yang harus diambil demi masa depannya.

Kata Mamat, jika peluang tersebut tidak digunakan dengan sebaik-baiknya, mungkin beliau tidak akan dapat lagi kesempatan begitu di masa akan datang.

“Saya tak boleh nak gambarkan macam mana perasaan untuk hadapi mereka bila perkara ini berlaku. Rasa bersalah teramat sangat terhadap mereka yang menaruh kepercayaan pada saya untuk menjayakan konsert Exists Reunion ini.

“Bila diberi peluang ini, saya rasa syukur dan terima kasih kepada mereka kerana sudi membantu saya. Saya cukup kesal dengan apa yang berlaku ke atas diri saya. Saya mohon maaf atas apa yang berlaku ke atas diri saya, terutama kepada peminat, saya mohon maaf dan akan cuba buat yang lebih elok dan terbaik untuk masa akan datang,” janji Mamat.

Malah, beliau juga tidak mahu bercerita lanjut mengenai kes penangkapannya itu kerana perkara tersebut kini berada dalam siasatan pihak polis dan menungu masa untuk dibawa ke mahkamah.

Sebaliknya, Mamat berjanji yang beliau akan cuba memberikan persembahan yang terbaik dan akan memastikan keadaan dirinya dalam kondisi sihat.

“Apa yang berlaku ini memang di luar jangkaan saya. Saya nak bercerita lebih lanjut tak boleh sebab ia sudah menjadi kes polis. Mereka yang akan mengambil segala tindakan dan urusan.

“Apa yang boleh saya katakan saya pun tak sangka benda ini boleh berlaku ke atas diri saya dalam waktu terdekat untuk menjayakan konsert Exists. Saya cuba terima perkara ini dengan reda dan dengan sokongan yang diberikan oleh anggota Exists, saya akan cubakan diri untuk terus menghadapi masa akan datang,” katanya.

Jelas Mamat, beliau sudah mula berubah hampir setahun kerana menyedari apa yang dilakukan tidak mendatangkan faedah. Antara punca kenapa beliau membabitkan diri dengan dadah adalah kerana sunyi.

Tambahnya, bukan tidak pernah cuba untuk memulihkan diri di pusat pemulihan tapi usaha itu gagal kerana tidak ada sokongan.

“Proses pemulihan adalah idea daripada rakan-rakan Exists dan ini adalah kali pertama saya akan masuk pusat pemulihan.  Bukan saya tak ingin sertai pusat pemulihan sebelum ini tapi sebab tak ada sokongan dan dorongan. Semuanya sendiri.

“Sekarang ini saya ada sokongan dan dorongan yang kuat daripada mereka (Exits) yang benar-benar mahu saya berubah dan saya akan buktikan kepada mereka dan peminat yang saya boleh berubah,” kata Mamat yang mengaku silap memilih kawan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, kes yang melanda Mamat tidak menganggu jualan tiket konsert Exists Reunion.

Katanya, selain dijual atas talian, tiket juga boleh dibeli di kaunter yang akan dibuka di hadapan Stadium Malawati mulai 24 September ini sehingga hari konsert.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.