Nasib pekerja di belakang tabir terabai

"Hampir 30 tahun, bayaran daripada pihak stesen TV swasta masih di takuk lama dan kini menentukan pelakon semua adalah kuasa mereka."

Nasib pekerja di belakang tabir terabai
RASHID Sibir bersama pelakon dan kru drama Lelaki Kiriman Tuhan yang telahpun disiarkan di astro pada awal tahun ini.
Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

SESEBUAH drama tidak akan terhasil jika hanya diterajui para pelakon dan skrip tanpa mereka yang bertugas di belakang tabir yang tidak pernah mengenal erti lelah kerana panjangnya waktu penggambaran.

Pekerja di belakang tabir di sebalik penerbitan sesebuah drama adalah orang penting. Tanpa mereka tidak mungkin akan ‘lahir’ sebuah penerbitan yang bermutu.

Mereka yang dimaksudkan adalah kru perbitan dan kru teknikal dengan teraju utamanya adalah pengarah!

Bekerja atas dasar tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka, pekerja di belakang tabir walaupun menjadi ahli persatuan yang menjadi syarat wajib untuk mereka berkerja tetapi sayangnya nasib mereka bagaikan tidak terbela sejak sekian lama.

“Sejak saya menjadi pengarah lebih 20 tahun dahulu, bayaran kru produksi dan kru teknikal masih di takuk lama.

“Sebagai pengarah yang juga merupakan mereka di belakang tabir saya mengharapkan ada penambahbaikan dari segi bayaran tugasan kami,” kata Rashid Sibir yang juga Penerbit Opera Klasik apabila ditanya pandangannya tentang skim EPF dan Perkeso untuk penggiat seni yang dicadangkan oleh Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac baru-baru ini.

Hans mencadangkan mulai Januari 2020, setiap penggiat seni seperti pelakon dan kru produksi dan kru teknikal akan menerima manafaat tersebut bergantung kepada gaji dan polisi insurans mereka.

MIRA Filzah dan Remy Ishak dalam drama arahan Rashid Sibir “Lelaki Kiriman Tuhan”

Caruman akan dibuat oleh majikan iaitu penerbit dan mekanisme pembayarannya ialah penerbit wajib membuat pemotongan bayaran kepada mereka yang mendapat gaji RM1,100 sebulan.

Jika penerbit tidak membayar caruman tersebut, Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) yang merupakan syarat penerbitan mereka akan ditarik.

Menurut Rashid, cadangan itu sangat menarik dan berharap Hans dapat membantu agar stesen TV menaikkan bayaran drama menjelang 2020 sesuai dengan tahap kehidupan yang semakin tinggi.

“Bermula sebagai pengarah pada tahun 1993, kemudian menubuhkan syarikat penerbitan sendiri, harapan saya agar pihak stesen TV menaikkan bayaran untuk setiap drama yang disiarkan.

“Hampir 30 tahun, bayaran daripada pihak stesen TV swasta masih di takuk lama dan kini menentukan pelakon semua adalah kuasa mereka,” kata Rashid Sibir yang mula mengarah pada tahun 1993 dengan drama pertamanya “Persinggahan Abadi” untuk TV3.

Menurut pemilik syarikat penerbitan Opera Kelasik dan Rasbir Media Sdn. Bhd.,sebagai penerbit dan pengarah beliau mahu menghasilkan sesuatu yang berkualiti dan dikagumi tetapi dengan bayaran yang sama dan keputusan menentukan pelakon oleh pihak stesen TV, mereka di belakang tabir terabai.

“Bayangkanlah sebuah cerekarama atau telefilem dibayar sama sejak dulu tetapi apabila pelakon utama ditentukan pihak TV, percaya atau tidak kadangkala bayaran pelakon utama lebih tinggi daripada pengarah!” kata Rashid.

Menurut beliau, kebanyakan pelakon apabila tahu mereka menjadi pilihan stesen TV sudah tentu mereka demand dari segi bayaran kerana stesen TV hari ini mahukan pelakon popular dan ramai ‘followers’ di media sosial dan yang menjadi mangsa kru di belakang tabir!

“Sebenarnya saya kesian dan kadangkala sebagai penerbit saya mahu menaikkan bayaran mereka tetapi saya tidak mampu kerana bayaran pelakon utama lebih tinggi daripada saya sebagai pengarah,” akui Rashid Sibir.

Disamping soal bayaran, sikap
pilih kasih dalam pengagihan slot menerbitkan drama untuk stesen TV swasta juga menjadi satu beban yang amat menyeksakan bagi penerbit lain yang juga dikatakan mampu menghasilkan drama bermutu.

Jika anda adalah pengikut setia drama yang disiarkan di TV tentu anda perasan syarikat penerbitan apa yang kerap muncul dan mendapat peluang menerbitkan drama puluhan episod malah kadangkala lebih 100 episod!

Jangan terkejut, untuk mengaburi mata penonton ada syarikat penerbitan yang sama menubuhkan satu atau dua lagi anak syarikat demi kepentingan mereka. Tetapi bak kata pepatah ‘bangkai gajah masakan boleh ditutup dengan tudung saji!

Sementara itu, Rashid Sibir ketika diasak dengan rumours kononnya suatu waktu dahulu beliau pernah menjadi ‘blue eye’ sebuah stesen TV menafikan sambil berkata;

“Itu hanya tanggapan orang sedangkan tiada keistimewaan yang diberikan kepada saya. Seperti syarikat penerbitan lain saya juga perlu menghantar proposal dan kemudian melalui proses ‘pitching’ sebelum diberi peluang menerbitkan drama untuk stesyen berkenaan.”

Bagaimanapun beliau tidak menafikan Opera Klasik pernah diberi kontrak selama 5 tahun untuk menerbitkan drama “Tanah Kubur” sebanyak 15 musim di mana setiap satu musim sebanyak 13 episod dengan durasinya hanya 30 minit.

Rashid yang baru selesai mengarah drama seram ” Malam
Tahlil Suhaila Balik” yang akan ditayangkan di Astro Citra Oktober ini, akan meneruskan tugas mengarah drama 20 episod terbitan Zeel Production,
“Rindu Yang Terlarang.”

Selepas itu, beliau akan mengarah MegaDrama terbitan syarikatnya, “Sepi Tanpa Cinta,” sebanyak 20 episod.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.