Timbul semangat: Sepatutnya kekal disebut Hari Kemerdekaan Malaysia

Ungkapan 'kemerdekaan' ternyata lebih menimbulkan semangat patrotik yang mendalam dan berkobar-kobar dalam jiwa setiap anak bangsa.

Timbul semangat: Sepatutnya kekal disebut Hari Kemerdekaan Malaysia

PADA awal kemerdekaan Tanah Melayu yang juga dikenali sebagai Malaya pada 31 Ogos 1957 dahulu, ia disebut sebagai ‘Hari Kemerdekaan.’

Tunku Abdul Rahman Putra selaku Ketua Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu pada hari bersejarah bermulanya sambutan ‘Hari Kemerdekaan’ di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur itu melaungkan perkataan ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’ sambil mengangkat tangan kanannya.

Berpuluh tahun selepas itu apabila negara kita menyambut ulang tahun tarikh keramat 31 Ogos itu, majlis rasminya terus kekal disebut ‘Sambutan Hari Kemerdekaan.’

Ungkapan ‘kemerdekaan’ ternyata lebih menimbulkan semangat patrotik yang mendalam dan berkobar-kobar dalam jiwa setiap anak bangsa.

Betapa tidak, bukan senang untuk pahlawan, anggota keselamatan dan rakyat jelata terdahulu bermati-matian berjuang untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajahan kuasa asing durjana bermula dengan penaklukan Portugas ke atas Melaka pada 1511.

Selepas itu Tanah Melayu dijajah oleh Inggeris, kemudian diserang oleh Jepun, diikuti penguasaan pengganas komunis Bintang Tiga selama 14 hari sebelum Inggeris kembali berkuasa menjajah negara ini.

Inggeris paling lama menjajah secara diplomasi ke atas negara ini dan ketika penjajahan itu, Inggeris berjaya mengaut keuntungan daripada galian bijih timah dan emas serta hasil mahsul lain di Tanah Melayu.

Selain itu Inggeris juga membawa buruh asing dari China untuk sektor perlombongan bijih timah, manakala buruh dari India pula sebagai buruh sektor perladangan dan kerja binaan jalan raya atau rel kereta api.

Ketika Inggeris memerdekaan Tanah Melayu, penjajah itu tidak memulangkan semula ke negara asal terhadap buruh asing dari China dan India tersebut.

Kita tidak tahu kandungan sebenar rundingan antara rombongan Tunku Abdul Rahman dengan pihak Inggeris di London, England sebagai syarat untuk memerdekan Tanah Melayu ini?

Penulis sendiri ketika berbual dengan Tunku Abdul Rahman sewaktu hayatnya di Kuala Lumpur, terlupa untuk bertanya intisari sebenar rundingannya dengan Inggeris itu, sebaliknya Almarhum lebih banyak memperkatakan perihal lain kepada penulis.

Tunku Abdul Rahman juga tidak pernah mendedahkan kepada rakyat jelata mengenai intisari rundingan tersebut sehingga Inggeris dengan mudah bersetuju untuk menurunkan bendera Union Jack di Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Rakyat jelata pun tidak ambil kisah terhadap intisari rundingan Tunku Abdul Rahman di England itu kerana apa yang penting ialah Tanah Melayu sudah berjaya merdeka daripada cengkaman penjajah, cuma pengganas komunis sahaja degil buat kacau sehingga awal tahun 1980-an.

Sesungguhnya rakyat jelata terlalu gembira kerana Tanah Melayu sudah merdeka daripada penjajahan Inggeris dan sejak tanggal 31 Ogos 1957 itu, kedengaran laungan ‘merdeka’ bergema di seluruh tanah air.

Sehinggakan ada dalam kalangan rakyat jelata mampu meniru gaya dan suara Tunku Abdul Rahman dalam loghat Kedah melaungkan ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka1’ di Stadium Merdeka yang turut dihadiri oleh Raja-Raja Melayu.

Justeru tidak terdengar pula oleh kita Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan ‘kebangsaan, kebangsaan, kebangsaan’ pada detik bersejarah 31 Ogos 1957 itu.

Sebab itulah berpuluh tahun kemudian, bagi setiap 31 Ogos kekal disebut ‘Sambutan Hari Kemerdekaan’ yang bunyinya
lebih bersemangat, memberi keinsafan dan patriotik…!

Ini kerana apa yang diperjuangkan bermati-matian oleh pahlawan, anggota keselamatan dan rakyat jelata adalah menuntut kemerdekaan daripada daripada cengkaman penjajahan sehingga berjaya memerintah sendiri di tanah air yang merdeka dan berdaulat.

Namun sekitar tahun 1970-an membawa ke 2000-an, ‘nama khas’ bagi ‘Sambutan Hari Kemerdekaan’ itu ditukar kepada ‘Sambutan Hari Kebangsaan’ pula.

Lantaran itu hilanglah perkataan ‘kemerdekaan’ yang sebenarnya patut dikekalkan pada nama sambutan rasmi ‘Hari Kemerdekaan Malaysia’ sudah memasuki usia 62 tahun merdeka pada 2019.

Anehnya ada pula nama program ‘Bulan Kemerdekaan’ tetapi apabila sampai pada upacara rasmi ‘Hari Kemerdekaan’ dinamakan sebagai ‘Sambutan Hari Kebangsaan.’

Di situ sudah menyaksikan kecelaruan atau tidak selari dalam menamakan hari ulang tahun sambutan kemerdekaan negara sehinggakan dalam temu ramah stesen televisyen tempatan kita dapat saksikan rakyat jelata terus kekal menyebut ‘Hari Kemerdekaan.’

Bagi negara jiran kita iaitu Republik Indonesia yang mula merdeka daripada penjajahan Belanda pada 17 Ogos 1945, kerajaannya tidak pernah menukar nama ‘Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Kemerdekaan.’

Republik Indonesia mula merdeka yang diisytiharkan oleh Presiden Soekarno pada hari Jumaat 17 Ogos 1945 Masehi bersamaan 17 Ramadan 1365 Hijrah dan sejak itu juga terpahat dalam jiwa serta fikiran rakyatnya perkataan ‘merdeka’ demi menanam kukuh semangat patriotik.

Bagi sambutan terbaru HUT kemerdekaan ke-74 negara itu pada 2019, kita dapat menyaksikan tersergam meluas ungkapan rasmi ‘Sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia’ terutama pada kain rentang di seluruh republik itu.

Memandangkan ramai rakyat Malaysia generasi muda yang semakin terhakis semangat patriotik, maka eloklah kita kembalikan sebutan ‘Sambutan Hari Kemerdekaan’ kerana nama rasmi itu lebih tepat.

Yang boleh ditukar-tukar ialah ‘tema’ bagi ‘Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia.’ Ini kerana ‘tema’ adalah mengikut aspirasi semasa, tetapi ungkapan ‘merdeka’ adalah nama khas yang muktamad.

Pengembalian nama ‘Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia’ ibarat pepatah ‘sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan’ itu ‘mestilah diwartakan secara muktamad’ kerana kita khuatir apabila berubah kepemimpin kerajaan, mereka akan sesuka hati menukar nama rasmi mengikut selera tersendiri yang pada akhirnya janggal dan gagal mencapai matlamat…!

Sesungguhnya, tidak ada salahnya untuk kita kembali ke pangkal jalan, asalkan dapat membetulkan kesilapan agar tidak terus melakukan kesilapan yang tersasar dan merugikan.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.