10,000 rakyat Yaman akan dibenar bekerja di Malaysia, kata duta

“Kestabilan dan keselamatan Malaysia adalah keutamaan kami. Kami sentiasa memberikan kesedaran kepada rakyat kami agar menghormati peraturan di Malaysia.”

10,000 rakyat Yaman akan dibenar bekerja di Malaysia, kata duta

SERAMAI sepuluh ribu rakyat Yaman yang memegang pas lawatan sosial di Malaysia akan dibenarkan bekerja dengan syarat-syarat tertentu yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi, kata Duta Yaman ke Malaysia Dr Adel Mohamed BaHamid.

Beliau berkata ini adalah sebahagian program yang diadakan dengan kerjasama kerajaan Malaysia dalam usaha menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Yaman selepas negara mereka musnah akibat peperangan.

“(Ia) belum dilaksanakan lagi namun telah dipersetujui Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Kami meminta agar mereka dibenarkan bekerja di tempat-tempat seperti agensi pelancongan Yaman, sekolah, kedai runcit dan restoran,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ibu pejabat agensi berita itu di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata terdapat 70 restoran Yaman yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Selangor.

Duta itu berkata kerajaan Malaysia telah membenarkan pemberian visa ketika ketibaan untuk rakyat Yaman bagi tempoh dari 90 hari hingga setahun, dengan syarat-syarat tertentu.

“Perkara itu dipenuhi kedutaan Yaman dengan kerjasama imigresen Malaysia. Setakat ini, kira-kira 10,000 pas lawatan sosial (rakyat Yaman) telah dilanjutkan,” katanya.

Adel Mohamed berkata satu lagi inisiatif, program koreksi tinggal melebihi tempoh, memudahkan pembetulan bagi status rakyat Yaman di negara ini dan membantu mereka berada di sini secara sah.

“Kestabilan dan keselamatan Malaysia adalah keutamaan kami. Kami sentiasa memberikan kesedaran kepada rakyat kami agar menghormati peraturan di Malaysia,” kata beliau.

Duta itu berkata ketika ini terdapat lebih 20,000 rakyat Yaman di Malaysia, dengan 10,000 daripada mereka memegang pas lawatan sosial, 8,000 pelajar dan 4,000 pemegang kad UNHCR.

Beliau berkata kerajaan Yaman dan rakyat di negara ini berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana prihatin dengan nasib rakyat Yaman sambil menambah bahawa program terbabit telah membolehkan mereka menetap di sini secara bermaruah.

Duta itu berkata Yaman juga amat menghargai ikrar kerajaan Malaysia untuk menyumbangkan dana sebanyak AS$100,000 bagi membantu negara yang terjejas akibat peperangan itu menangani keperluan kemanusiaannya.

Konflik Yaman bermula pada 2014 apabila pemberontak Houthi menguasai ibu kota negara itu, Sana’a.

Pada Mac 2015, satu tentera gabungan yang dipimpin Arab Saudi telah melancarkan satu kempen ketenteraan bagi menegakkan semula kerajaan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Negara itu turut berdepan ancaman kumpulan pengganas Al-Qaeda dan Daesh.

– Bernama

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.