Umno, PAS perlu sokongan bukan Islam untuk bentuk kerajaan, kata Khaled Nordin

“Untuk menjadi Kerajaan, Umno dan PAS memerlukan sokongan setiap rakyat Malaysia, bukan hanya Melayu dan Islam."

Umno, PAS perlu sokongan bukan Islam untuk bentuk kerajaan, kata Khaled Nordin

UMNO dan PAS memerlukan sokongan setiap rakyat Malaysia bagi menjamin kejayaan kerjasama politiknya, kata Mohamed Khaled Nordin.

Sehari selepas pemeteraian piagam antara kedua-dua parti yang dinamakan Muafakat Nasional untuk memperkukuhkan kerjasama politik Melayu-Islam, Naib presiden Umno itu berkata, bahawa apa jua kerjasama antara kedua-duanya, mestilah mengambil kira kemajmukan tanah air ini.

“Umno dan PAS senantiasa berpendirian bahawa apa jua kerjasama antara kedua-duanya, mestilah mengambil kira kemajmukan tanah air ini. Kerjasama Umno dan PAS semata-mata, tidak akan menjelmakan kemenangan politik yang diharapkan. Ini sangat difahami oleh kedua-dua parti.

“Untuk menjadi Kerajaan, Umno dan PAS memerlukan sokongan setiap rakyat Malaysia, bukan hanya Melayu dan Islam. Selama ini pun Umno dan PAS tidak pernah membelakangkan kepentingan pelbagai rakyat Malaysia dengan keturunan dan anutan berbeza,” kata bekas menteri besar Johor itu.

Semalam, Umno dan PAS menamatkan perseteruan mereka dengan meterai piagam yang akan menjadi asas kepada kerjasama politik mereka.

Ribuan penyokong dari kedua-dua parti itu berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

Khaled berkata, piagam tu akan membolehkan kedua-dua parti menangani pelbagai isu negara rentas politik.

Ini termasuklah pendirian tentang pelbagai isu kemanusiaan, ekonomi, pendidikan, federalism, isu antarabangsa dan sebagainya.

Beliau juga berkata, negara ini tidak lagi boleh dibiarkan berkisar tentang seorang individu untuk tentukan hala tuju masa depannya.

“Tujuannya ialah untuk mencetuskan ‘national discourse’ pada skala dan impak yang tidak pernah terlihat sebelum ini.

“Negara ini tidak lagi boleh dibiarkan berkisar tentang politik personaliti. Dan ditentukan hala tujunya oleh hanya seorang perdana menteri,” katanya.

Beliau juga berharap kerjasama politik baharu itu turut disertai pihak lain.

“Malah parti dari Sabah dan Sarawak, dan pelbagai pertubuhan sivil sangat dialu-alukan menyertai Muafakat Nasional ini. Jadi kepada sesiapa di luar sana yang melihat kerjasama UMNO dan PAS ini hanya tentang Melayu dan Islam, mereka sangat tersasar.

“Umno dan PAS adalah jauh lebih ‘sophisticated’ dan tidak akan sama sekali terjerumus dalam perangkap kaum dan agama yang digambarkan oleh Pakatan Harapan,” tambahnya.

http://bit.do/e8Bsi

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.