Dilema kru dan penerbit drama

Dilema kru dan penerbit drama
PENGARAH Bade Haji Azmi di set penggambaran.

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

 

BAYARAN yang terlalu rendah terhadap pekerja di belakang tabir penerbitan drama menjadi taboo yang tidak tahu bila akan berakhir.

Biarpun tahun silih berganti dan kemunculan pelakon baru yang bagaikan cendawan di musim hujan dengan mendapat bayaran lumayan, apa yang pasti kru teknikal dan kru produksi tetap menerima bayaran yang sama.

Bayangkan dalam situasi taraf kehidupan hari ini yang terlalu tinggi, mereka bukan sahaja masih menerima bayaran yang sama malah ada kalanya lebih rendah berbanding dahulu.

Pengarah yang tidak asing lagi, Badaruddin Haji Azmi atau lebih dikenali Bade Haji Azmi berkata.

“Jika 20 tahun dahulu satu team kru teknikal seramai enam orang untuk penggambaran sebuah telemovie dibayar melebihi RM8,000 sekarang hanya dibayar RM6,000 tetapi yang sedihnya kadangkala dibayar RM5,000 sahaja.

“Dalam keadaan sekarang tawaran pekerjaan yang terlalu terhad, mereka terima berapa sahaja bayaran walaupun terpaksa bekerja dengan tiga orang kru sahaja demi kelangsungan hidup.

“Bukan itu sahaja, malah apa yang buat saya terkilan saya berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pengarah filem yang dahulunya dibayar RM4,000 untuk satu episod drama berdurasi 1 jam, kini ada produksi hanya mahu membayar RM2,000 sahaja sama seperti bayaran pengarah baru!

“Sebagai pengarah saya bukanlah demand tetapi biarlah bertimbangrasa. Disebabkan terlalu memenuhi permintaan stesen TV, kebanyakan pelakon utama drama episod menerima bayaran lebih tinggi berbanding pengarah!”

Menurut Bade, beliau tidak pernah putus berharap agar nasib kru teknikal dan kru produksi drama akan terbela apabila baru-baru ini, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac mengumumkan skim EPF dan Perkeso untuk penggiat seni.

Skim tersebut dicadangkan mulai
Januari 2020 itu akan memberi manafaat kepada penggiat seni bergantung gaji dan polisi insurans mereka.

“Memandangkan caruman EPF akan dibuat oleh penerbit kepada penggiat seni bergaji RM1,100 alangkah baiknya jika pihak FINAS dapat membantu agar menjadi syarat bayaran untuk kru tidak kurang daripada itu,” kata Bade penuh harapan.

Bagi Penerbit Zeel Productions, Haji Fadzil Teh, walaupun bayaran daripada stesen TV tidak berbaloi namun beliau akan memastikan bayaran untuk kru di belakang tabir tidak terlalu rendah.

HAJI Fadzil Teh (kanan) bersama pelakon Fendy Bakry.

“Sebagai penerbit memanglah kami mahukan keuntungan dalam setiap penerbitan tetapi saya akan pastikan kru yang bekerja dengan syarikat saya mendapat bayaran yang setimpal,” katanya yang mempunyai kru produksi dan kru teknikal tetap seramai 11 orang.

Bagi Fadzil Teh, masalah bayaran rendah yang dihadapi kebanyakan pekerja di belakang tabir mungkin boleh diatasi jika pihak stesen TV memberi pilihan kepada penerbit dalam menentukan pelakon utama dalam setiap drama.

“Dengan bayaran yang tidak lumayan dan pemilihan pelakon utama ditentukan oleh stesen TV, syarikat saya tidak mampu membayar caruman EPF apabila dimulakan Januari depan,” tegas Fadzil Teh.

Menurut beliau, orang luar tidak tahu bagaimana pihaknya terpaksa berdepan dengan sikap pelakon utama yang demand terutama apabila mereka ada pengurus sendiri yang tidak profesional!

“Bagi saya kebanyakan pengurus artis ni tidak profesional kerana mereka hanya mementingkan tentang bayaran sahaja tetapi tidak pernah berada di lokasi untuk menjaga keperluan artis mereka!” kata Fadzil Teh.

Bayangkan pengurus pelakon utama lelaki meletakkan bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 untuk satu Cerekarama atau Telemovie yang selalunya mengambil masa penggambaran antara tujuh atau lapan hari.

Sudahlah bayaran tidak masuk
akal yang ditetapkan oleh pengurus, malah mereka juga menetapkan hari penggambaran untuk artis mereka hanya empat hari kerana sudah menerima tawaran untuk terlibat dengan syarikat penerbitan lain!

“Kalaulah syarikat saya hanya menerbitkan drama, dengan ragam artis yang demand dan untung tidak sampai RM10,000 untuk sebuah cerekarama atau telemovie, dah lama Zeel Productions gulung tikar!” luah Fadzil Teh.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Dilema kru dan penerbit drama"

  1. herman farispetra9599  15/09/2019 at 5:52 pm

    “Jika 20 tahun dahulu satu team kru teknikal seramai enam orang untuk penggambaran sebuah telemovie dibayar melebihi RM8,000 sekarang hanya dibayar RM6,000 tetapi yang sedihnya kadangkala dibayar RM5,000 sahaja.”
    ….. ok lah tu, sorang kurang lebih dapat 900 hengget. Pengangkutan semasa produksi berlangsung ditanggung, makan minum di lokasi dipayung…kami ni nak pergi kerja setiap hari duit minyak kena keluar duit poket, duit makan pun poket sendiri…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.