Muafakat Nasional ambil kira kemajmukan Malaysia – Khaled

Muafakat Nasional ambil kira kemajmukan Malaysia – Khaled
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

JOHOR BAHRU – Seiring dengan namanya Muafakat Nasional, ‘perkahwinan’ semula antara UMNO dan Pas akan sentiasa berpendirian bahawa apa jua kerjasama antara kedua-duanya, mestilah mengambil kira kemajmukan tanah air ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasti ramai yang menjangkakan perkara itu akan digelar penyatuan ummah, sesuai sangkaan banyak pihak bahawa ia adalah gabungan yang berorientasikan kaum dan agama semata-mata.

Beliau berkata, UMNO dan Pas bukan parti setahun dua usianya serta telah banyak melalui pelbagai pengalaman, sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang.

“Kerjasama UMNO dan Pas semata-mata tidak akan menjelmakan kemenangan politik yang diharapkan. Ini sangat difahami oleh kedua-dua parti.

“Untuk menjadi kerajaan, UMNO dan Pas memerlukan sokongan setiap rakyat Malaysia, bukan hanya Melayu dan Islam.

“Selama ini pun UMNO dan Pas tidak pernah membelakangkan kepentingan pelbagai rakyat Malaysia dengan keturunan dan anutan berbeza. Dan kerana itulah, UMNO dan Pas telah bertindak selaras dengan kepelbagaian,” katanya dalam satu kenyataan sebagai mengulas kerjasama antara parti terbesar Melayu itu semalam.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, ada beberapa ciri yang mesti difahami kenapa UMNO dan Pas memilih menggunakan terma Muafakat Nasional.

Pertamanya, kerjasama itu bukan sekadar perikatan politik, malah adalah permuafakatan yang lebih besar, iaitu ikhtiar nasional kedua-dua parti untuk menangani pelbagai isu negara rentas politik termasuk pendirian tentang pelbagai isu kemanusiaan, ekonomi, pendidikan, federalism dan isu antarabangsa.

Tujuannya adalah untuk mencetuskan ‘national discourse’ pada skala dan impak yang tidak pernah terlihat sebelum ini, katanya sambil menegaskan bahawa negara ini tidak lagi boleh dibiarkan berkisar tentang politik personaliti dan ditentukan hala tujunya oleh hanya seorang Perdana Menteri.

“Kita memerlukan wacana nasional pelbagai dimensi yang lebih agresif, agar akhirnya perjalanan negara ini ditentukan secara bersama, bukan hanya aktor tertentu sahaja.

“Semoga menerusi Muafakat Nasional ini akan terjelma pelbagai pendirian yang mencerminkan pandangan pelbagai pihak. Dan pendirian yang pelbagai ini akan diolah dan diperhalusi dengan harapan dapat terbit akhirnya, muafakat bersama untuk kepentingan nasional,” katanya.

Yang kedua, menurutnya, sifat persefahaman UMNO dan Pas itu ialah meraikan perbezaan, tidak akan diikat dengan persefahaman yang mengikat dan sempit kerana UMNO tahu Pas memang berbeza dan Pas pun sedar bahawa UMNO itu sangat berlainan.

Ini kerana UMNO wujud dengan nilai dan ideologinya, begitu juga Pas dengan kepercayaan dan nilainya.

“Jadi kedua-duanya menyedari had dan keterbatasan masing-masing. Cuma kedua-duanya berikhtiar untuk mencari titik temu yang boleh melonjakkan ‘a national solution to a national issue’.

“Ia tidak seperti perikatan politik yang lain, semuanya terikat dengan keputusan bersama dan segala perbezaan itu, selalu dilihat sebagai melanggar semangat kerjasama politik,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama yang terlalu ‘prescriptive’ sifatnya akan menutup ruang kreativiti, kepelbagaian perspektif dan citra yang berbeza.

“Ketiga, Muafakat Nasional ini luwes sifatnya, bukan hanya eksklusif untuk UMNO dan Pas dan bukan sekadar kesefahaman parti politik.

“Gelarnya pun sudah Muafakat Nasional. Maka ia akan membuka ruang dengan seluas-luasnya kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pelbagai pergerakan madani untuk bersama-sama UMNO dan Pas dalam membangunkan konsensus nasional dalam pelbagai isu,” katanya.

Malah parti dari Sabah dan Sarawak, dan pelbagai pertubuhan sivil sangat dialu-alukan menyertai Muafakat Nasional.

Justeru, katanya, UMNO dan Pas adalah jauh lebih ‘sophisticated’ dan tidak akan sama sekali terjerumus dalam perangkap kaum dan agama yang digambarkan oleh Pakatan Harapan.

Keempat, melalui Muafakat Nasional, segala keputusan dasar berdasarkan konsensus mestilah dihormati tetapi pelaksanaan keputusan tersebut terpulanglah kepada kebijaksanaan pelbagai pihak yang terlibat, katanya.

Oleh sebab itu, Mohamed Khaled meminta semua rakyat Malaysia memberikan kesempatan kepada UMNO dan Pas untuk menterjemahkan kerjasama yang disandarkan kepada Muafakat Nasional.

“Jika ia tidak meyakinkan, anda boleh menolaknya dalam pilihan raya akan datang, tetapi untuk tidak memberikannya ruang bagi diperkenalkan, dinilai dan diuji, ia adalah petanda bahawa demokrasi Malaysia masih jauh dari dewasa dan berhikmah,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.