Pemanah negara raih 4 pingat emas dalam Piala Asia

Pemanah negara raih 4 pingat emas dalam Piala Asia
PEMANAH wanita negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh.

 

SKUAD memanah negara mengubat kekecewaan dengan meraih empat pingat emas menerusi acara compound pada pusingan ketiga Kejohanan Memanah Piala Asia di Clark City, Filipina, semalam.

Kelmarin, pemanah recurve Malaysia gagal memperoleh sebarang pingat emas.

Dalam aksi semalam, trio pemanah wanita negara terdiri daripada Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Iman Aisyah Norazam menyumbang pingat emas pertama Malaysia dengan menewaskan trio Taiwan Hsu Yen-Hua, Wang Lu-Yun dan Weng Yi-Ting, 221-218 dalam acara berpasukan wanita, menurut laman sesawang rasmi Persekutuan Memanah Dunia,www.worldarchery.org.

Fatin Nurfatehah yang bergandingan dengan Mohd Juwaidi Mazuki, meraih emas kedua negara setelah mengalahkan pemanah adik beradik dari Filipina Rachelle Anne dan Paul Marton De La Cruz, 157-151 dalam final acara berpasukan campuran.

Iman Aisyah Norazam memperoleh emas ketiga negara selepas menundukkan pemanah tuan rumah Andrea Robles, 140-134 dalam acara individu wanita, sementara Nurul Syazhera  membawa pulang gangsa dengan kemenangan 138-133 ke atas Rachelle Anne.

Juwaidi memperoleh pingat emas keduanya dalam kejohanan ini selepas menang tipis 145-141 ke atas Paul Marton dalam acara individu lelaki. Rakan sepasukan Mohd Juwaidi, Syahrizan Jafar memperoleh gangsa selepas menumpaskan pemanah Thailand, Sirapop Chainak, 142-137.

Seramai 115 pemanah dari 12 negara mengambil bahagian dalam kejohanan yang bermula sejak 8 September.

– Bernama
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.