‘Pemutihan’ penerima kontrak, lesen, AP

‘Pemutihan’ penerima kontrak, lesen, AP

KUALA LUMPUR — Kerajaan dicadang melaksanakan langkah pemutihan terhadap senarai penerima kontrak, lesen dan permit import (AP) sedia ada bagi mengekang amalan kronisme serta kegiatan usahawan ‘ali baba’.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd Rahman, berkata isu AP bukan perkara baharu kerana ia sering diberikan sebagai ‘sagu hati’ kepada kroni, sekali gus merencatkan prestasi syarikat yang ingin menjana pendapatan dan pertumbuhan industri.

Sehubungan itu, katanya, penyelesaian terbaik bagi merungkai isu berkenaan ialah menerusi audit forensik kerana semakan mendapati tidak lebih daripada 30 peratus syarikat pengimport dan penjual kenderaan memenuhi kriteria asas untuk melayakkan mereka mendapat AP.

“Macam mana kata layak dapat AP kalau ruang pamer kereta pun mereka tiada dan sekadar menumpang unit orang lain, tetapi diberikan permit berkenaan atas sebab tertentu sehingga menjejaskan peluang syarikat lain untuk melakukan pusingan modal perniagaan.

“Saya sangat menyokong saranan supaya kontrak, lesen dan AP diberikan kepada individu yang layak saja, iaitu memenuhi syarat seperti modal asas perniagaan, aliran tunai syarikat serta tidak terbabit dalam kegiatan usahawan ‘ali baba’.

“Usah kita terus berpegang kepada prinsip lama dengan memberikan AP mengikut kecenderungan kaum tertentu dan mereka yang mempunyai hubungan rapat bersama ahli politik,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam menegaskan kerajaan kini tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan sebarang kontrak, lesen dan AP kepada syarikat atau individu yang tiada keupayaan.

Dasar baharu itu dilaksanakan bagi mengekang tindakan segelintir pihak yang didapati mengambil kesempatan menyalah guna dan mensia-siakan kontrak, lesen dan AP diberikan kerajaan bagi mengaut keuntungan mudah.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan, yang turut bersetuju dengan cadangan langkah pemutihan berkenaan berkata ia harus dilaksanakan tanpa mengambil kira sempadan ideologi dan hubungan politik, selain berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Mana-mana pihak sama ada dalam kerajaan atau mempunyai hubungan politik dengan pemerintah ketika ini selepas audit didapati tidak layak menerima AP harus ‘berlapang dada’ dan kembalikan kepada pihak berkenaan.

“Percaturan kerajaan ke arah pentadbiran bersih sangat bagus dan bertepatan dengan masa, namun ia harus dilakukan terhadap ‘rumah tangga’ sendiri dulu sebelum ia diperluaskan mencakupi sektor dan industri lain.

“Penganugerahan kontrak, lesen dan AP hanya kepada individu yang layak bersandarkan merit berupaya mengekang pelbagai amalan negatif, termasuk kronisme, pembaziran peruntukan kerajaan serta meningkatkan prestasi pelaksanaan projek awam,” katanya.

-NSTP
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.