Erti ‘Demi Bendera Di Dada’ buat atlet negara

Erti ‘Demi Bendera Di Dada’ buat atlet negara
ABD. Rahim Abdullah (depan, tiga dari kanan) menganggotai skuad negara pada Sukan Olimpik Munich 1972.

 

Oleh KAKI BANGKU

 

DALAM koleksi pingat, piala dan gelaran yang dimenangi dan dijulang, Syarul Azman Mahen Abdullah tidak akan sesekali melupakan Kejohanan Bina Badan Asia di Macau dari 30 hingga 31 Ogos 2004.

Sekalipun hanya bergelar naib juara dan mengucup perak, anak jati Kuala Lumpur ini tetap berasa amat bangga kerana dia dan Buda Anchah berjaya memastikan Malaysia yang membolot dua podium teratas kategori Master kejohanan itu.

“Satu penghormatan apabila terpiih mewakili negara. Ibarat kamilah duta kecil Malaysia. Ditambah pula apabila menang emas dan perak buat negara pada hari sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-47, pastilah suasana dan perasaan kami ketika itu berlainan sekali.

WAJAH terbaharu Abd. Rahim Abdullah yang kini berusia 72 tahun.

“Gembiranya kami kerana menyanyikan Negaraku dalam dewan pertandingan itu dan melihat atlet dan pegawai negara lain bangun memberikan penghormatan kepada Malaysia apatah lagi pada Hari Kebangsaan kita,” katanya mengulas mengenai erti Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun buat atlet negara.

Juara dunia tiga kali dan Asia empat kali ini juga menganggap Jalur Gemilang di dada baju yang dipakainya dalam kejohanan antarabangsa mewakili amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dijaga dan dipikulnya sentiasa.

“Setiap kali memakainya, orang luar akan kenal kita orang Malaysia dan memanggil nama Malaysia, bukannya nama saya. Jadi imej dan disiplin sentiasa menjadi keutamaan saya kerana jika tersilap langkah, negara yang akan turut terpalit kecaman mereka,” katanya.

Farkhan Haron, 31, menyifatkan Jalur Gemilang di dada jersi atau jaket yang dipakai kerap mendorongnya memberikan komitmen, semangat dan fokus sepenuh jiwa raga.

SYARUL Azman Mahen Abdullah

Hasilnya – dia kini menyandang kejuaraan light heavyweight dan cruiserweight Asia Majlis Tinju Dunia (WBC), Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Persekutuan Tinju Asia (ABF),
Kata petinju tanpa kalah dalam 10 pertarungan profesionalnya setakat ini sejak 7 Mac 2015, “berjuang demi negara dengan semangat Malaysia Boleh bererti tiada yang mustahil untuk dicapai dan diharungi.

“Komitmen itu menjadi sumber perjuangan saya walaupun kadangkala terpaksa berdepan lawan di ranking lebih baik dan dari negara yang lebih maju dalam sukan,” kata anak jati Johor Bahru, Johor ini.

Jalur Gemilang di dada katanya, turut memberikan penghormatan besar kerana bukan calang-calang orang yang terpilih mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

FARKHAN Haron, penyandang kejuaraan Asia WBC, WBA dan ABF.

Jalur Gemilang tidak pernah lekang dengan petinju profesional negara dalam kelas featherweight (57 kg), Aiman Hisyam Abu Bakar, 27, yang juga bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan.

“Setiap kali saya bertarung, saya membawa bendera Malaysia. Bila tiba detik sukar dalam pertarungan, saya tahu dan ingat yang saya sedang berjuang demi maruah dan kebanggaan negara.

“Walaupun tinju ini sukan individu, saya mengaku saya seorang yang patriotik demi Malaysia,” kata petinju pertarungan sampingan di Arena Axiata, Bukit Jalil ketika juara dunia empat kelas berat, Manny Pacquiao menentang Lucas Matthysse, Julai tahun lalu.

Masih kukuh terpahat di memori Abd. Rahim Abdullah, anggota skuad bola sepak negara dalam Sukan Olimpik Munich yang menentang Jerman Barat, Amerika Syarikat dan Maghribi pada saingan Kumpulan A tanggal 27, 29 dan 31 Ogos 1972.

AIMAN Hisyam Abu Bakar

Malah setahun sebelum itu, betapa bangganya beliau dan rakan sepasukan sekembalinya mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang selepas mereka berjaya meraih tiket Olimpik Munich dengan menjuarai Kelayakan Kumpulan 2 Asia.

“Kami diberi sambutan wira negara apabila pulang dari Seoul, Korea Selatan. Kami diarak dengan kereta dari Subang ke Kampung Baru, Kuala Lumpur dan melihat orang ramai memenuhi kiri kanan jalan raya sepanjang perarakan itu.

“Ada yang mahu salam, cium dan pegang tangan serta tandatangan autograf. Saya tidak pernah rasa sebegitu bangga dan hebat, semua orang gembira,” kata sayap kanan skuad negara yang baru menyambut hari jadinya yang ke-72 pada 12 September lalu.

“Pemain zaman dulu kalau kalah, macam satu tragedi besar. Semua orang dalam bas bersedih dan hanya diam. Sekarang pemainnya macam tidak rasa apa-apa, mereka boleh ketawa pula.
“Sedangkan semangat kami lain ketika itu. Saya mengetahui sikap pemain sekarang kerana saya pernah jadi pemain kemudian ketua jurulatih negara (1991),” katanya yang meletak jawatan itu selepas mengesan ‘pasukan telah dibeli’ ketika Sukan SEA Manila tahun itu.

Bekas pegawai polis berpangkat supritendan kelahiran Nibong Tebal, Pulau Pinang ini turut menggesa generasi pemain bola sepak sekarang agar berjuang demi negara dengan memiliki ‘sikap angkuh’ di gelanggang.

“Dalam bola sepak, pemain mesti berasa angkuh, jangan terlalu hormati lawan supaya anda boleh hadapi sesiapa sahaja. Angkuh itulah yang menambah keyakinan kita. Jangan sesekali berhati kecil, kalau kecut perut, anda akan ‘habis’,” katanya.

BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Erti ‘Demi Bendera Di Dada’ buat atlet negara"

  1. herman farispetra9599  16/09/2019 at 2:00 pm

    Tabik untuk Kamu Semua!
    MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA

    Selamat Hari Malaysia
    **Di sini Lahirnya sebuah CINTA**
    Sayangi Malaysiaku; MALAYSIA BERSIH!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.