Himpunan Penyatuan Ummah untuk seluruh rakyat Malaysia

Himpunan Penyatuan Ummah untuk seluruh rakyat Malaysia
FOTO: NSTP/AIZUDDIN SAAD

 

Oleh ARRAZAQ NAZRI

 

SHAH ALAM – Himpunan Penyatuan Ummah semalam adalah demi masa depan rakyat Malaysia dan bukannya agenda rasis seperti tuduhan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan Piagam Muafakat Nasional tersebut.

Jika himpunan tersebut dianggap rasis sudah pasti tiada wakil MCA dan MIC turut berada di Putra World Trade Center (PWTC).

Menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Dato’Shaari, beliau terkilan kerana melabelkan orang Melayu dan Islam dengan tuduhan sedemikian jelas menonjol sikap dangkal pemikiran pihak terbabit.

“Malahan saya menganggap kata-kata pemimpin PH yang mengatakan gabungan UMNO dan PAS sebagai rasis adalah suatu tuduhan yang biadap dan tidak menggunakan akal.

KETUA UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

“Kita ingin menegaskan bahawa gabungan PH sendiri ibarat perkahwinan songsang, malahan menggabungkan parti bersifat rasis yang lebih tegar lagi, “katanya kepada BebasNews di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari (PKR) yang dipetik Bernama sebagai menyuarakan kebimbangan akan wujud gerakan politik perkauman melampau dengan penyatuan Umno dan PAS itu.

Azhari berkata, puluhan ribu umat Islam yang datang ke PWTC semalam bukan berhimpun sekadar untuk beretorik tetapi untuk membuktikan majoriti orang Melayu akan bangkit mempertahankan agenda bangsa selaras Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, gabungan kedua parti dan lain-lain parti atas nama Muafakat Nasional akan menjadi mimpi ngeri dan Tsunami politik kedua pada Pilihanraya Umum ke 15.

“Jika memperjuangkan agenda yang sudah diiktiraf undang-undang sebagai rasis, tiada siapa yang dapat membantu pihak yang membuat kenyataan jelik tersebut, “katanya.

AHLI Jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Raja, Muhd. Ali Zakariah.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Raja, Muhd. Ali Zakariah berkata, mengapa ahli UMNO dan PAS yang berkumpul untuk membela masa depan umat Islam, orang dari parti lain pula separuh gila membantah penyatuan tersebut.

Jelasnya lagi, nasib sesuatu kaum diubah oleh kaum tersebut dan bukannya orang luar yang takut kepada bayang-bayang mereka sendiri.

“Nasib umat Islam di negara ini harus ditentukan oleh orang Islam sendiri. Bukannya pemimpin bukan Islam yang memandai-mandai menentukan halatuju kita.

“Saya berharap agenda umat Islam akan diperkukuh selamanya hingga mampu kembali berkuasa di negara ini, “katanya.

Beliau menambah, momentum penyatuan UMNO dan PAS yang kini semakin berkembang ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bukan omongan kosong kerana buktinya gerakan tersebut menjadi trending di media sosial sejak sebulan yang lalu.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.