Kuala Lumpur sasarkan menang, tidak kisah Perlis-Perak

Kuala Lumpur sasarkan menang, tidak kisah Perlis-Perak
Oleh KAKI BANGKU

 

KUALA Lumpur tetap akan menganggap menentang Kedah dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-79, 2019 malam esok seperti final biar apa pun keputusan pertembungan Perlis dan Perak pada sebelah petangnya.

Sekalipun skuad ibu kota kini memiliki kelebihan gol selepas dua perlawanan, jurulatihnya, Zulkifli Samion menggesa anak-anak buahnya menyasarkan hanya kemenangan di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah itu.

“Kami tidak akan hanya bermain untuk seri apabila menentang tuan rumah sekiranya keputusan perlawanan Perlis-Perak (4.45 petang esok) masih memberikan kelebihan kepada kami.

KEDAH menagih kemenangan untuk mara ke suku akhir apabila melayani Kuala Lumpur dalam perlawanan terakhir Kumpulan D PERR..

“Kami tetap hendakkan kemenangan, begitu juga Kedah, jadi perlawanan ini ibarat final atau penentuan siapa yang akan ke suku akhir,” katanya yang pernah membimbing Kuala Lumpur mara ke separuh akhir PERR, dua tahun lalu.

Perak yang mendahului kumpulan ini dengan enam mata, sudah pun mengesahkan tiket suku akhir PERR, menyusuli Kingstown Klang FC daripada Kumpulan B selepas menewaskan tuan rumah 2-0, semalam selain menundukkan Kuala Lumpur 4-2, Ahad lalu.

Namun Perlis amat menagih kemenangan dengan gol yang besar terhadap Perak yang mungkin hanya menurunkan sebahagian besar pemain simpanan di Padang UUM bagi memberikan rehat kepada barisan utama selepas beraksi dua hari berturut-turut.

ZULKIFLI Samion

Kuala Lumpur yang mengumpul tiga mata selepas menewaskan Perlis 3-0, semalam, hanya memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk mara ke suku akhir memandangkan jurang golnya, tiga berbanding Kedah di tempat ketiga (-2) yang turut perlu menang manakala Perlis (-3).

“Masing-masing akan bermain demi maruah pasukan dan negeri,” kata Zulkifli yang turut menghela nafas lega apabila anak-anak buahnya masih mampu bangkit mencapai kemenangan dalam perlawanan kedua biarpun membuka kempen PERR dengan langkah kecundang.

“Kami menentang Perak yang kebanyakan pemainnya daripada skuad Piala Presiden PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) FC yang sudah cergas bermain dalam pertandingan itu sejak Mac lalu sedangkan persediaan kami bagi PERR cuma dua minggu.

PERLIS perlu menewaskan Perak yang sudah layak dengan jaringan besar untuk memintas Kuala Lumpur atau Kedah ke suku akhir.

“Ada sedikit masalah kecergasan dan kepenatan pemain dalam 15 minit terakhir permainan biarpun mendahului 2-1. Mujurlah dengan Perlis, mereka mampu melupakan kekalahan itu dan menghidupkan semula peluang dengan meraih mata penuh,” katanya.

Kedengaran ura-ura daripada pengurusan pasukan Perlis untuk menggesa jawatankuasa pertandingan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) meminda jadual kedua-dua perlawanan Kumpulan D ini supaya dimainkan serentak, 4.45 petang.

Dikhuatiri sekiranya perlawanan terakhir kesemua pasukan tidak dijalankan serentak, ada pasukan yang mungkin cuba bermain corak negatif dan sengaja melengah-lengahkan permainan kerana telah mengetahui keputusan lawan yang bermain lebih awal.

Namun kata Setiausaha Kehormat PBMM, Nazeri Hussain, jadual tersebut akan kekal dengan 8.45 malam untuk Kuala Lumpur dengan tuan rumah kerana melibatkan kehadiran tetamu kenamaan diraja Kedah.

JADUAL ESOK
Kumpulan A: Selangor lawan DBKL FC (Polimas, Jitra); PDRM lawan MISC (Stadium Mini Jitra)
Kumpulan B: Kingstown FC lawan Singapura; Terengganu lawan Pulau Pinang (UUM, Sintok)
Kumpulan C: Kelantan lawan Melaka; Pahang lawan ATM (UUM, Sintok)
Kumpulan D: Perlis lawan Perak; K. Lumpur lawan Kedah (UUM, Sintok)

* Sepak mula 4.45 petang kecuali K. Lumpur-Kedah, 8.45 malam

PENJARING TERBANYAK
4 gol: Mohd. Firdaus Azizul (NS)
3 gol: Amirul Syafiq Abdul Rahim (MLK), Muhammad Alif Safwan (PRK)
2 gol: Izzaq Faris Ramlan (KNG), Mohd. Hilmi Hussaini Asmadi (PHG), Nabilah Khan Razali (KL)

–BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.