Penyatuan ummah seruan untuk Melayu bersatu – Khaled

Penyatuan ummah seruan untuk Melayu bersatu – Khaled
Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

 

JOHOR BAHRU – Penyatuan ummah yang dipamerkan oleh UMNO-Pas bukan berkisar tentang siapa Islam dan siapa yang bukan, tetapi adalah satu seruan untuk orang Melayu bersatu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyatuan tersebut lebih memudahkan orang Melayu dan bukan Melayu di negara ini bekerjasama dan membentuk Muafakat Nasional.

“Jika sebelum ini, orang bukan Melayu pasti akan keliru. Melayu dan Islam versi manakah yang harus mereka dekati, versi Pas atau UMNO atau yang mana satu? Mengapa Melayu itu mesti bermacam-macam jenis, mengapa pula Islam itu mesti berbeza-beza.

“Penyatuan ummah ini setidak-tidaknya mampu membuang kekeliruan dan tembok perbezaan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan sebagai menjawab ‘kegelisahan’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mujahid Yusuf Rawa mengenai piagam penyatuan antara UMNO dan Pas yang ditandatangani Sabtu lalu.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, penyatuan ummah itu juga adalah satu seruan yang turut bertitik-tolak daripada kesedaran lalu, betapa sebelum ini kedua-dua parti terbesar orang Melayu berkenaan agak fanatik, berkompromi dengan kualiti dan mengambil ringan isu integriti, malah tidak mempunyai tawaran baharu yang benar-benar segar kepada bangsa dan tanah air yang sudah banyak berubah.

Menurutnya UMNO-Pas amat menyedari bahawa kedua-dua parti telah gagal dan mengecewakan ramai pendukungnya sehingga menyebabkan orang Melayu dan Islam marah serta kecewa.

“Lantas, atas kesedaran itulah kami berubah dan melakukan penambahbaikan kepada diri dan parti. Kami mahu menjadi suara orang Melayu Islam yang bukan sahaja mewakili bangsa induk negara ini dengan lebih berkesan, malah menerusi Muafakat Nasional ini, kami mahu memastikan orang bukan Melayu boleh dilindungi dan diberikan hak mereka dengan lebih adil.

Beliau berkata, serangan lapuk dan skrip kitar semula oleh Mujahid bahawa Barisan Nasional (BN) gagal menjaga institusi orang Melayu seperti MARA, Tabung Haji dan sebagainya hanya menunjukkan betapa pemimpin Parti Amanah Nasional (PAN) itu masih taasub dan terperangkap dengan cerita lama.

Nampaknya, beliau tidak mahu UMNO-Pas berubah serta seolah-olah cacing kepanasan apabila ada kesilapan BN dahulu yang mahu diperbetulkan.

“Nasihat saya mudah, ‘please move on’. Berhikmahkah ungkitan sebegini diulang-ulang oleh orang yang mendakwa mahu mempromosikan konsep Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam? Adalah ini suri teladan terbaik yang YB boleh contohkan ketika melihat orang Islam mahu membetulkan diri dan berubah menjadi lebih baik?

“Di mana semangat hijrah, sokongan ikhlas dan doa tulus yang sewajibnya hadir apabila melihat orang lain ingin berubah dan melakukan kebaikan? Beginikah akhlak dan sikap Muslim yang beliau ingin pamerkan untuk diikuti oleh orang bukan Islam?

Berbekalkan rasa bangga yang menebal kerana kononnya ramalan YB benar belaka, saya boleh mengusulkan kepada UMNO dan Pas untuk menganugerahkan pingat nujum negara kepada YB. Bukan mudah untuk mereka yang dahulunya berguling di jalanan kini menjadi pengulas politik yang berat sebelah. Saya percaya, bukan mudah untuk YB menyerang saudara seagama yang ingin berbaik-baik. Melainkan semua itu adalah keterpaksaan kerana memakan budi mereka yang menaja kelangsungan politik parti YB,” katanya.

Mohamed Khaled turut menasihatkan Mujahid supaya menghentikan tindakan mengadu domba dan melaga-lagakan orang Melayu.

Namun, jika beliau benar-benar mahu mengimbas ucapan pemimpin-pemimpin Pas sebelum ini, Mohamed Khaled mengingatkannya tentang petikan ucapan bekas Yang Dipertua Pas, Allahyarham Yusuf Rawa, ayahanda Mujahid semasa Muktamar Tahunan Pas suatu ketika dahulu yang menyeru agar umat Islam untuk ‘menjadi mereka yang mentarbiah atau ditarbiahkan’

“Dan yang paling mengesankan saya, pesanan arwah untuk kita berhati-hati kerana, ‘tidak mustahil, musuh-musuh Islam sendiri berusaha mewujudkan jemaah-jemaah Islam tertentu untuk membangkitkan perpecahan dalam kalangan pencinta Islam dari dalam.’

“Kalau mengikut interpretasi kasar saya, bolehlah dikatakan bahawa arwah cuba mengingatkan kita tentang kedatangan golongan Islam yang ditaja dan dikawal oleh cauvinis bukan Islam untuk memecah-belahkan orang Islam. Sounds familiar, YB? Tetapi itu hanyalah menurut pandangan saya. Mungkin YB ada pandangan berbeza. YB pasti lebih tahu dan mengerti.

“Allahyarham juga ada mengingatkan, ‘apabila jemaah-jemaah (Islam yang pelbagai dan berlainan) ini lahir dengan membawa hal masing-masing, dan berbangga dengan manhaj masing-masing, bersengketa dan bersaingan secara tidak sihat, kelahiran berbagai-bagai jemaah ini menjadilah ia suatu unsur negatif kepada perjuangan dan melemahkan barisan pencinta Islam’

“Tidakkah ungkapan dan pesanan ini mengajarkan kita sesuatu yang penting? Tidak timbulkah walau sedikit rasa insaf di hati kita untuk mengambil iktibar dan berusaha untuk menguatkan kembali masyarakat ini yang sedang membawa haluan masing-masing?

“Sekali lagi saya tegaskan, gelarlah apa pun kepada kami. Ungkitlah seribu cerita dan percakaran yang kami pernah lakukan ke atas sesama kami sebelum ini. Teruskan bercerita tentang kegagalan kami yang lalu,” katanya.

Walau bagaimanapun, ‘serangan’ tidak akan sedikit pun melemahkan perjuangan dan semakin diingatkan tentang perseteruan sesama umat Islam pada masa lalu, semakin mereka terpanggil untuk bersatu dan kembali berbaik-baik.

Menurutnya, UMNO-Pas menerusi Muafakat Nasional sedang memulakan satu usaha menjadikan bangsa dan negara ini lebih baik,” tegasnya.

BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.